GINJAL - sebuah novel Bali Ba...

By BukuFixi

46.3K 1.1K 80

Penyiasatan pihak polis ke atas satu siri pembunuhan yang melibatkan ginjal mangsa. Aslan, detektif yang baru... More

Kes 2
Kes 3
Kes 4
Kes 5
Kes 6
Kes 7
Kes 8
Kes 9
Kes 10
Kes 11
Kes 12
Kes 13
Kes 14 - Epilog (TAMAT!)

Prolog - Kes 1

13.6K 222 13
By BukuFixi

         

PROLOG

HARI ini sudah masuk hari kedua puluh empat dia tinggal di dalam bilik yang gelap itu. Jiwanya terasa kosong, tidak tahu masihkah ianya mampu untuk terisi dengan apa-apa lagi. Di sebelah kanan, dia lihat hanyalah kegelapan. Di sebelah kiri, malahan hadapan, belakang, atas, bawah, semua yang dia lihat kini hanyalah satu pemandangan. Kelam penuh kegelapan.

Atau mungkin bukanlah sepenuhnya hitam. Ada tekstur warna seakan-akan putih, bergerigi halus bermain pada pandangan matanya. Seakan-akan siaran kosong pada sebuah televisyen lama. Dan untuk yang kesekian kalinya, dia cuba berjalan. Sukar. Atau mungkin dia lebih selesa merangkak sahaja? Ya, rasanya lebih selamat begitu.

Dia tidak takut. Dia tidak pernah merasa takut. Dia pasti yang dia telah diajar untuk tidak takut. Dia cuma merasa benci, dan tidak selesa akan kesakitan. Dia cuba melihat di hadapannya sekarang.

"Krit krit." Dia mendengar bunyi decitan tikus yang entah daripada mana datangnya. Lalu cepat-cepat dia ikut bunyi decitan itu.

"Tikus, tolong bawa aku keluar daripada tempat ini. Tolonglah..." pinta dia yang tidak lagi dapat berfikir waras dengan apa jua yang mendatang kepadanya. Dan tikus itu pun membawa dia mengelilingi bilik tahanan itu. Beberapa kali, sehingga dia merasa penat.

Lalu dia merehatkan tubuhnya di suatu sudut bilik, menahan pada laluan sang tikus. Dan sebaik tikus itu mendatanginya tepat di sebelah kanan paha, dia tersentak. Ditahan kegelian saat sang tikus memanjat naik ke atas badannya dengan bulu yang kasar dan berceracak, tajam, dan berekor panjang. Lalu pantas dia menangkap tikus itu, dan dimakan dengan rakus.

Dia telah beberapa kali cuba membunuh dirinya dengan cara begini. Namun kematian tidak pernah menjemput dia, yang mana membuatkan dia percaya, kini tak semua dia rancang akan menjadi seperti yang dimahukan.

Dia masih ingat pada hari pertama dia sedar dalam keadaan hilang ingatan di dalam bilik tahanan yang busuk dengan bau darah dan bangkai itu, dia hampir menjadi gila. Dan dia bahkan berdoa meminta digilakan dia. Kerana fikir dia, jika dia menggila, dia pasti tidak lagi merasa sakit.

Tapi kewarasan nampaknya adalah perkara yang amat kental di dalam tubuh itu, selain daripada rohnya. Kali pertama dia merasakan mahu mati dan sedikit tanda kematian pun tidak mendatanginya. Sedangkan dia dapat hanyalah kesakitan.

Kesakitan yang sangat menyeksakan pada pukulan hari pertama, kedua. Dan seterusnya, dia menjadi semakin kebal dengan tahap kesakitan yang ringan. Disepak tidak lagi sakit. Ditampar, ditumbuk. Agaknya, apa sudah terjadi kepada buah pinggang itu? Apakah lagi ia berfungsi? Rasanya, sakit pada pinggang semakin mengazabkan sekali. Tapi, dia masih lagi dapat bernafas. Dan rasa sakit itu akhirnya hanya dapat dia simpulkan sebagai satu lagi rasa yang terkadang berpanjangan.

Dia merangkak ke hujung bilik. Kawasan yang sangat kotor dan busuk. Tempat yang disediakan untuk dia membuang najis di dalam perutnya. Dia mendekati pili air. Ditadahkan mulutnya ke pili itu dan setitis demi setitis air diteguk.

Dia tidak menyangka yang dia pernah mempercayai kata-kata orang yang minum air daripada pili itu tidak baik untuk kesihatan. Sehinggakan tiga hari pertama dia sedar dalam tahanan itu, dia malahan telah berpuasa. Tidak makan dan tidak minum kerana menyangka pengambilan makanan dan minuman yang tidak bersih dan jijik akan menjejaskan kesihatannya, dan seterusnya membawa dia kepada kematian.

Sejujurnya, kata-kata itu memang betul, fakta. Dia terpaksa menderita muntah, sakit perut dan pening. Rasa neraka yang tidak panas. Tapi sudah cukup menyeksakan. Dia gila, bukan memikirkan yang dia akan mati, tapi berdoakan kematian mendatang lebih cepat. Dia tak tahu apa bendanya itu yang ditakuti orang tentang kematian. Kesakitan? Apakah sakit yang lebih menyakitkan daripada apa yang dia rasakan sekarang?

Dia bangun lagi dalam keadaan yang pening dan loya, lalu dia berjalan mendekati dinding. Dinding yang dia lupa apakah rupanya. Walaupun sebenarnya baru dua puluh empat hari yang lalu dia melihat rupanya dinding itu. Namun hari ini, apa yang dia bayangkan pada dinding itu hanya kehitaman dan kegelapan.

Dia sudah lupa wajahnya kini. Dia sudah lupa asal-usulnya, orang terakhir yang dia jumpa. Dia lupa kesakitan yang paling sakit pernah dia rasakan. Orang yang paling jahat pernah dia temui, yang paling baik pernah dia sapa? Kepada siapa pernah dia bekerja? Bagaimana rupanya bilik yang dia inap sebelum ini? Buku apa jadi kegemarannya? Wajah orang tuanya, siapa yang dia sayang? Kata-kata yang paling menambat hatinya, prinsip hidupnya, tujuan dia hidup? Dan... apakah ia namanya?

Dia menunggu di situ dengan otak kosong, pandangan yang kosong. Menanti untuk masuknya dua orang lelaki ke bilik itu dan menumbuk serta menerajangnya. Maka dengan itu, dia akan menahan pukulan itu dengan tangan yang kurus dan panjang itu. Dia akan menerima kesakitan itu untuk dipertahankan oleh tangannya yang lemah kerana nalurinya bertingkah mengatakan lebih baik dia patah tangannya, daripada cedera pada dalaman perutnya yang banyak mengandungi organ penting itu.

Naluri dia mencadangkan yang kesakitan cedera secara dalaman akan lebih ngeri berbanding kesakitan apabila dia kepatahan tangan, dan kakinya juga. Jadi untuk kesekian kalinya, kesakitan itu menjadi santapannya lagi.

Tapi kali ini entah mengapa dia merasakan yang pembelasahan itu berlanjutan lebih lama daripada biasa. Apakah mungkin sudah seharian dia dibelasah saat dia merasai pukulan terakhir itu?

"Hey, bodoh..." panggil orang tua itu, membuatkan dia mendongakkan wajahnya, memandang bayang seorang lelaki tua dengan tongkatnya.

Margas!! Lelaki itu telah pun memperkenalkan dirinya semalam bersama dengan seorang lelaki yang bertopi dan bercermin mata hitam, kini juga sedang berdiri seperti tugu di hadapan pintu bilik itu. Dia, yang terus diam, melihat si banduan dibelasah dengan secukupnya.

Wajah lelaki bertopi itu dicuri pandang, cuba dilihat lebih jelas. Namun dengan hanya berbekalkan bias cahaya luar, gambaran lelaki itu hanya mampu terlihat olehnya bagai bayang-bayang sahaja.

"Apakah aku mengenali lelaki itu?" bisik hati si banduan lagi. Dia cuba untuk berfikir pada waktu itu.

Apa sahaja. Dia mahu memproses apa yang dia lihat, apa yang dia dengar. Dia mahu memikirkan siapakah sebenarnya orang tua tidak guna yang bernama Margas itu? Apakah lelaki bercermin mata hitam itu adalah orang yang telah membawa dia ke mari? Apakah tujuan dia? Dia mahu berfikir, apakah dia perlu marah atau menyesal dengan apa yang sedang berlaku. Apakah dia lelaki yang sejahat mereka sendiri, ataukah sekadar mangsa?

Dia cuba untuk mengingati segalanya, tapi tiada apa yang muncul di dalam mindanya. Hanya ada keinginan untuk berfikir tapi seakan tiada gear untuk menghidupkan motor, seperti dia berada di sebuah terowong gelap tanpa cahaya, tiada 'bahan pemproses' untuk minda dia berfikir. Oleh itu, tiada apa yang mampu terputar di mindanya. Semuanya hanya kosong. Seperti sebuah balang kosong yang tertutup dan udara pun tidak mampu bebas.

"Kamu sudah habis bertaubat?" tanya orang tua itu.

Kepalanya refleks berpaling kepada orang tua Margas itu. Dan dia cuba untuk menjawab. Tapi apabila dia membuka mulutnya, tiada apa-apa yang keluar daripada peti suara itu. Dia kehairanan. Lalu dia mencuba beberapa kali lagi. Namun hasilnya tetap sama. Hanya kesakitan yang terasa di tekaknya.

Pang! Satu tamparan singgah ke pipinya, membuatkan dia memuntahkan darah yang mungkin baru mengalir dan mungkin sudah terbaur sama sekali dengan sisa-sisa darah yang lama.    

"Bodoh," ujar orang tua itu sambil menarik rambut dia. Satu petikan jari kemudiannya terdengar, bersama dengan cahaya lampu yang tiba-tiba menyilaukan pandangan. Dia merasa begitu pedih sekali saat dipanah oleh pancaran itu. Sakit habis urat mata yang menyangkutkan organ penglihatannya itu.

"Buka mata kau, bodoh," ujar orang tua itu lagi, dan satu demi satu tamparan kemudiannya terus singgah ke pipi, meminta dia untuk membukakan mata.

Namun hati si banduan itu begitu keras, dan dia sendiri tak tahu bagaimana boleh ianya sekeras itu. Hidupnya pasti benar-benar terseksa dalam satu lubang neraka sebelum ini kerana dia tidak merasa hairan mahupun terkejut dengan tindakan orang tua itu. Dia biasa dengan pukulan. Mungkin terbiasa menyaksikan kematian juga, dan turut hampir mati terbunuh? Dia juga tidak pasti mengenai itu.

Namun hanya untuk seketika ini, dia yakin dengan satu kemampuan yang mampu dia lakukan.

Pttuihh! Satu ludahan menyinggah di muka orang tua itu.

"Hah..ah..aha..." jeritnya dengan sekuat hati, sedaya-upaya. Dia mendongakkan wajahnya, puas hati dengan apa yang telah dia lakukan. Walau apa yang dia dapat seterusnya adalah keazaban. Dia bersedia. Dia telah merasai sebuah kepuasan hakiki baginya. Dan satu tali kemudiannya dia rasa meliliti dahi.

Mukanya pula sekali lagi telah didongakkan ke atas dengan kasar, sebelum sesuatu yang seakan-akan haba mentari dia rasa mendekat. Dan keazaban yang dia nanti-nantikan selama ini, akhirnya tiba. Rasa kesakitan yang tidak membawa kepada kematian, hanya ianya berterusan, kesakitan yang teramat. Mukanya disimbahkan cukup untuk mencair luluh.

"Arrggh..ghhhhhhh...!!!!"

"Hahahahaha..." orang tua itu mengajuk gelaknya, sebelum dia dan pembantunya itu memerhatikan sahaja sang banduan untuk beberapa ketika lagi. Dan mereka membiarkan suasana sunyi itu hanya disulami oleh erangan sang banduan sebelum dia mereka tinggalkan, masih dalam keadaan menggelupur.

Dibiarkan si banduan itu terus menggila sendiri, sehingga beberapa hari sehingga yang mampu banduan itu fikirkan akhirnya, hanyalah keperluan mendesaknya kepada racun. Kerana dia ingin mati, dia perlu sekali untuk mati. Tangannya meraba-raba lantai. Dia bertekad untuk membunuh diri dengan apa-apa sahaja objek yang dia jumpai.

Dan dia terus mengelilingi bilik itu untuk beberapa kali, namun akhirnya memutuskan yang dia tidak menemui apa-apa. Walaupun sudah beberapa kali dia menyentuh pili air itu. Dan juga lubang najis. Walaupun dia sebenarnya telah ternampak idea yang sangat tipis di hujung mindanya, cara membunuh diri dengan jijik, dengan menyakitkan. Dan sebaliknya, antara keduanya dan lain-lain. Dia memilih untuk terlepas pandang atau rasa.

Dia menunggu lagi di dalam bilik itu. Bilik yang tidak lagi gelap. Tapi kini matanya pula yang tertutup. Dia tidur lagi. Dan untuk kali yang seterusnya ini, dia sedar dan melihat akan cahaya. Dia buka mata lebih besar.

Sebuah bilik yang berdinding bata kelabu. Tapi penuh dengan hiasan seni. Seni berwarna merah. Dia melihat sekeliling, hujung lantai penuh bangkai tikus yang tidak lagi berbau padanya. Tempat dia membuang sisa kotor perutnya tidak lagi busuk di hidungnya. Hati dia tiba-tiba didatangi rindu dan syukur.

Itu adalah pandangan yang terindah pernah dia lihat. Pandangan yang gelap, kelam dan hitam dengan beberapa pancar sinar menyambar sesekali itu adalah satu pandangan yang sangat menjelikkan. Dia sangat muak dengan itu. Dia memandang seharian akan rupa bilik itu sehingga dia juga menjadi muak akan pemandangan itu.

Dia cuba mengingati tempat-tempat yang indah. Dia cuba membayangkan syurga. Dia mahu syurga itu lebih daripada segalanya. Tapi, di manakah mampu dia mencarinya? Dia duduk di situ dan mula membuka paip air itu, kali ini bukan untuk minum. Dia melihat wajahnya pada lopak air itu. Apakah itu satu wajah? Apakah wajar rupa yang seumpama itu?

Tiba-tiba dia mendengar bunyi decitan itu lagi. Seekor tikus yang sebesar lengannya masuk dari celah dinding di sebelah tempat najisnya itu. Tikus itu mendekat kepadanya. Satu pukulan dari genggaman tangannya, dan tikus itu mati. Dia senyum. Tikus itu akan membusuk dalam beberapa jam lagi. Dan dia akan membiarkannya begitu.

Dia tiba-tiba sahaja menjadi penat dengan hidupnya. Itu adalah kali pertamanya dia merasakan begitu di dalam bilik itu. Tapak tangannya yang juga sudah 'cair' kedua-duanya itu dia pandang. Digerak-gerakkan. Cuba menyentuh lantai yang kotor dengan sisa kotoran dan darah. Dia cuba menangis tapi tak mampu. Cuba untuk ketawa. Tapi tak berdaya. Senyuman juga tidak boleh.

Beberapa hari seterusnya selepas dia mendapat cahaya itu adalah hari-hari yang benar-benar membuatnya patah. Lebih daripada riuk pada tulangnya, patah di hati dan semangat hidup membuat dia lebih baik mati. Kerana pada waktu itu, bukan keinginan lagi yang membuat dia inginkan kematian. Punca dia menghidup rosak tanpa pasti untuk dia dapat membaik-pulihkannya lagi.

Mata dia tak boleh lagi dia pejam kerana dengan melakukannya, dia seakan-akan membawa dirinya kembali kepada kandang gelap tanpa setitik cahaya sebelum ini. Dia terus membuka mata tanpa berkelip. Bunyi air menitik daripada paip itu dahulu pernah membuat otaknya langsung gila tapi kini dia mendengarnya tak lebih daripada satu muzik yang kosong.

"Tik..tik..tik..tik..tik..tik..tik..tik..tik..tik..."

Dia bernafas dengan nafas yang sama detiknya dengan bunyi titis air paip itu. Dia memandang dinding. Dia memandang lantai. Dia memandang siling, dia melihat paip itu. Dia tiba-tiba terasa ingin senyum. Tapi bibirnya tidak mampu dilebarkan. Ahh... baru dia teringat, mukanya telah terluluh. Dia tak dapat senyum barangkali kerana itu.

Tiada apa yang dapat dia lakukan untuk dia membuang masa di situ. Dia tidak dapat senyum, dia tidak dapat bercakap, mungkin telah lupa sekali cara bercakap. Hidupnya sudah tiada ertinya lagi. Mendengar bunyi air menitik setiap saat, minit, jam, sebanyak 86,400 kali sehari juga sudah tidak mampu membuat dia gila. Mungkin gila juga tidak mampu membuat akalnya hilang. Dia hanya perlu mati.

Akhirnya, dia memandang kembali dinding. Dia nekad yang dia perlu merasa kesakitan untuk membolehkan dia mati. Dia perlu mati. Mati yang bukan lagi keinginan. Tubuh dia menggeletar sedikit. Getaran yang sangat kecil, dan ia tidak mampu untuk menghalang dia daripada mati dengan bersemangatnya.

Lalu dia pun bangun. Tangan dia lekapkan ke dinding. Kaki dia kangkangkan sedikit dan kepala dia condong. Dia mahu menghayun kepala untuk dipecahkan ke dinding itu. Dia berharap yang otak dia akan bersepai dengan sekali hayunan.

"Bismillahirrahmanirrahim..." dia terdetik tanpa dia sedari.

Kepala dia tarik ke belakang. Seperti bidas, dia cengkamkan tangannya ke dinding untuk dilepaskan kepalanya dengan laju ke konkrit itu.

Zuss!

Pak! Kepalanya menghentam sedikit sahaja pada dinding itu, hanya cukup untuk melukakan. Dia mengerutkan dahinya. Bukan kerana takut dia berhenti. Bukan kerana tidak sukakan rasa sakit dia berhenti. Bukan kerana dia mahukan kehidupan dia berhenti.

Tapi... apakah namanya? Itulah yang tiba-tiba menujah kepalanya.

KES SATU

PERMULAAN SEMUA KES

HARI ini adalah hari pertama aku di unit siasatan jenayah Jabatan Polis Bukit Aman. Nama aku adalah Arsalan. Arsalan Ahmad. Tapi sesetengah orang hanya panggil aku Aslan sahaja. Dan kebanyakan orang pula memanggil aku dengan panggilan Detektif Arsalan. Aku pada asalnya adalah daripada unit siasatan narkotik. Tapi kini telah ditukarkan ke unit siasatan jenayah kerana kegagalanku dalam satu misi penyamaran.

Terbongkar dengan teruk, dua orang rakan sekerja aku mati. Dan aku, mungkin atau tidak, sudah menjadi buruan beberapa geng terbesar negara ini, aku langsung tak peduli mengenainya. Hanya yang aku kesalkan adalah, mengapa penyamaran aku terbongkar di saat-saat kemuncak? Bukan suatu tugas senang untuk melakukan penyamaran selama lebih setahun itu. Aku telah menghadapi pelbagai cabaran dan cubaan oleh Lintah. Jahanam. Lelaki sepet dengan parut panjang di belakang badannya itu memang pandai menduga dan meragui seseorang.

Aku masuk ke unit siasatan jenayah dengan wajah yang bosan dan penat. Aku bukan bermaksud untuk merendahkan-rendahkan jabatan ini. Tetapi unit siasatan jenayah adalah unit yang malas bagi aku. Mereka hanya mendapat kes-kes yang lemah sahaja. Berdepan dengan mayat, mayat, dan keluarga mayat. Tiada apa-apa yang menggemparkan mengenai mereka.

Kes di unit siasatan narkotik berdepan dengan kekecohan dan pergaduhan besar setiap hari. Dadah adalah urus niaga terbesar di dunia, yang melibatkan orang-orang yang berpengaruh besar. Menguruskan mereka adalah tugas yang mencabar bagi aku. Sesuai dengan prinsip aku yang memang terbina untuk aksi lasak. Aku tak suka berfikir. Aku biasanya hanya berfikir apabila aku sedang berada dalam tekanan tinggi atau ketika dalam aktiviti fizikal yang berat sahaja.

"Hai, assalamualaikum, aku adalah Arsalan Ahmad bin Arman. Kamu boleh panggil aku Aslan sahaja," ujar aku.

"Selamat datang," ucap beberapa orang daripada mereka, tidak begitu mengalukanku. Dan aku memahaminya. Ianya adalah perkara biasa bagi kami, polis. Kami tidak menjalinkan kemesraan pada sesi-sesi begini. Ikatan antara polis terbina daripada kepercayaan apabila kami harus menghadapi kesulitan bersama dalam menguruskan jenayah. Kerjasama adalah asas penting pada kami. Dan sekali kami mendapatkannya, ikatan tanpa ragunya akan menjadi kuat untuk saling mendukung. Jadi aku hanya terus berlalu ke tempat aku.

"Hei, aku adalah Det. Kara. Nur Kara Helmi," ujar detektif wanita itu, teragak menghampiriku. Aku hanya tersenyum dengan hambar.

"Kita pernah berjumpa empat tahun lepas..." ujar dia lagi sambil memandang mataku dengan fokus. Aku cuba untuk mengamati wajahnya. Memang aku pernah melihatnya.

"Ahh... ya. Kamu adalah detektif yang menguruskan tentang empat puluh kematian di Sungai Buloh. Mayat dibakar. Perut penuh dadah, bukan? Aku adalah..."

"Hamzah... pada waktu tu?" ujar Kara memotong kata-kata aku. Aku tersenyum, lalu mengangguk-angguk. Dia nampaknya masih mengingati kes itu. Ya. Kes itu memang kes yang agak besar untuk mereka selesaikan. Jadi jabatan narkotik terpaksa mengambil-alih kembali kes itu.

"Ya. Aku adalah Hamzah, penyamar sebagai pengedar dadah itu. Dan... aku bersimpati dengar berita rakan setugas kamu, Det. Zamri," ujar aku sambil meletakkan kotak barangku dan memandangnya.

"Ya..." jawab dia dengan perlahan. "Det. Zamri adalah detektif yang cekap, rakan sekerja yang baik, dan bapa serta suami yang penyayang bagi... isteri dan anaknya," ujar Kara sebelum dia memandang wajah aku untuk beberapa saat dan tersenyum kecil. Sebuah senyuman yang kukira hambar sahaja. Aku juga membalas dengan senyuman yang sehampir sahaja hambarnya. Aku tahu bagaimana rasanya kehilangan rakan setugas.

"Orang akan selalu datang dan pergi di sini. Aku harap kita boleh bertahan dengan pencapaian dan pengalaman yang berharga," ujar Kara lagi. Aku hanya mengangguk sebelum aku memandang sahaja daripada hujung mataku, dia berlalu ke tempatnya di meja belakangku.

SETELAH usai aku mengemaskan barang, aku duduk dan meletakkan gambar aku bersama Ali dan Kutan di bawah cermin pada meja itu. Mereka adalah dua rakan sekerjaku yang terbunuh di dalam kes terakhir kami. Terbunuh. Dan... aku malas mengimbas kembali kisah itu. Lalu aku terus duduk dan tidak lagi memandang foto itu.

Komputer aku buka, dan ikon fail gambar Det. Zamri dan rakan sekerjanya, Det. Kara itu aku perhatikan kosong sebelum Kara lalu di sebelah meja aku dan berhenti.

"Kopi?" soal dia, membuatkan aku terkejut.

"Ahh... Nescafe...?" ujar aku dengan janggal. Di jabatan narkotik, detektif perempuan tidak ramai. Kalau ada pun, mereka tidak lembut seperti Det. Kara. Standard dia memang berbeza daripada keterampilan polis wanita biasa. Cara dia bercakap yang perlahan, berhati-hati dan sentiasa bertapis itu terkadang memperlihatkan dia lebih kelihatan sebagai seorang pakar kaunseling daripada seorang polis. Dan inilah yang membuatkan aku merasa agak pelik memiliki seorang rakan sekerja perempuan buat pertama kali.

Sebaik dia berlalu ke pantri, aku kembali mengingat rupanya empat tahun lepas. Tubuh dia berubah dengan ketara aku kira. Disebabkan itulah aku tak boleh terus mengecam dia sewaktu masuk tadi. Dahulu, dia boleh dikategorikan sebagai bertubuh padat dan ideal. Namun sekarang tubuhnya kelihatan agak berisi.

Sungguhpun begitu, dia masih boleh dikira tegap sebagai seorang polis. Tinggi. Dan, aku pernah tengok dia lari. Cergas, seperti atlet. Sebentar kemudian aku tertawa. Aku tak tahu jika dia masih lagi boleh lari selaju itu. Tapi sumbangan dia pasti sudah begitu besar di unit ini kukira.

"Ini Nescafe kamu," ujar Kara sambil dia menghulurkan secawan Nescafe kepadaku.

"Terima kasih," balasku sambil aku sambut Nescafe itu daripada tangannya.

Kara melemparkan senyum kepada aku, walaupun masih lagi dengan senyuman yang hambar itu. Lalu aku membalasnya, dan dia kemudiannya berlalu kembali ke tempatnya. Aku hanya memerhatikan sahaja langkahnya, sebelum aku memandang kepada sekeping kertas di dalam laci meja itu.

Kertas yang mengandungi nama kakitangan unit ini dengan nombor kad pengenalan mereka itu. Kapten Bashar berusia 47 tahun. Sarjan Mahmud pula, 53 tahun? Aku tersenyum. Orangnya masih kelihatan muda dengan usia dia. Detektif Kara, 35, Bakri, 27, Mazlan 24, Dina 26, dan aku seusianya dengan Bakri. Aku lihat profil mereka. Detektif Kara adalah yang paling lama berkhidmat untuk unit ini selain daripada Kapten Bashar.

"Nampaknya, aku harus rapat dengan dia untuk menyesuaikan diri dengan selok-belok kerja di sini," bisikku sendiri.

"Aslan," panggil Kapten Bashar.

"Ya, kapten!" sahut aku agak lantang.

"Mulai hari ini, pasangan kerja kamu adalah Detektif Kara. Pastikan kamu belajar banyak daripada orang yang berpengalaman seperti dia," ujar Kapten Bashar.

"Ya, kapten," balas aku. Aku berpaling ke belakang, memandang wajah Kara. Dia memberikan senyuman hambarnya itu. Aku jungkitkan keningku lalu aku balas senyuman dia.

"Boleh tahan. Seperti apa yang aku inginkan," bisik hati aku. Aku sememangnya memerlukan orang yang berpengalaman seperti dia untuk memastikan aku dapat menyesuaikan diri dengan cepat di sini.

HARI ini merupakan hari kedua aku di jabatan baru ini. Aku bermain-main dengan pensel di tempat dudukku. Sesekali aku melihat-lihat kes-kes lama sebagai rujukan dan ulangkaji. Aku mengakui yang aku agak teliti bila melakukan sesuatu. Tapi, satu hari tanpa sebarang kes betul-betul membuatkan aku merasa terkurung di tempat yang salah. Ini bukanlah tujuan aku menjadi seorang anggota polis. Aku tak boleh duduk sahaja begini. Negara memerlukan aku. "Arghh..."

"Aslan," panggil Kara. Aku berpaling segera ke arah rakan sekerjaku itu. Namun sebaik berpaling, aku hanya mampu menjungkit kening. Rakan sekerja yang lain juga sudah pun menunggu.

"Jom makan," ujar Kara lagi.

Aku pandang jam. Sudah tengahari rupanya. Lalu aku mengangguk dan bangun.

"BAGAIMANA di pejabat hari ini?" tanya Bakri. Dia adalah seorang lelaki yang agak besar dan tegap, serta berambut kerinting.

"Boleh tahan," jawabku sambil menghirup air orenku.

"Mengapa kamu dipindahkan ke sini?" tanya Dina pula. Seorang perempuan yang kelihatan agak kasar walaupun mempunyai rupa dan berambut panjang. Dengan usia yang muda dan tubuh yang ideal itu, aku boleh melihat yang dia adalah seorang pegawai polis yang cekap. Cara dia bercakap tegas dan sangat sukar sekali untuk senyum. Agaknya sudah dibesarkan dalam suasana yang begitu.

"Penyamaranku terbongkar. Pihak atasan fikir akan jadi sukar untuk aku ditugaskan kembali sebagai seorang detektif di sana. Jadi aku terus ditukarkan dan dimasukkan ke jabatan ini..." ujar aku. Mazlan yang bermata sepet dan tiada berambut itu mengangguk-angguk.

"Jadi sebab itulah kamu ditugaskan ke sini? Untuk menggantikan Detektif Zamri..." ujar Dina, perlahan. Aku pandang wajahnya. Sudah tentulah semua orang bersedih dengan kehilangan rakan setugas. Namun yang paling sedih, semestinya adalah pasangan kerjanya. Lalu aku menjeling pula ke arah Kara. Dia bagaimanapun aku lihat hanyalah menghirup kopinya itu dengan tenang.

"Ehem... keadaan jabatan ini memang selalu lengang dengan kes ke?" soal aku pula, memecahkan kembali kesunyian. Mereka hanya menjungkitkan kening.

"Kamu patut bersyukur sahaja bila ketiadaan kes, Aslan. Kes pembunuhan terlalu menyulitkan untuk diselesaikan. Kamu boleh migrain dan mungkin sahaja pecah otak pada sesetengah kesnya. Di tempat lama, kamu besar kemungkinannya masih lagi punya saksi dan pesalahnya, untuk mendapatkan testimoni mereka. Tapi dalam kes pembunuhan, kita biasanya..."

"Hanya ada mayat," sambungku. Masih termenung ke hadapan. Aku memang tidak suka duduk goyang kaki sahaja di pejabat. Namun, aku juga lemah untuk memikirkan teori dan modus operandi. Okey, aku mengaku yang aku ini bongkak bilamana aku katakan yang aku bosan bila ketiadaan kes. Tapi masalahnya, memang aku hanya lebih suka untuk menangkap pesalah. Menangkap mereka rasa seperti mengejar tikus. Aku suka dengan tugas kejar-mengejar polis dan penjenayah. Tapi untuk duduk berfikir dan mencari penyelesaian untuk sebuah teka-teki? Aku terpaksa mengakui itu lebih teruk daripada terperuk dalam sebuah kotak selama dua minggu.

Tiba-tiba satu tepukan terasa di bahuku.

"Jangan bimbang, Aslan. Kita bakal bekerja sebagai satu kumpulan. Dan sekarang, terdapat satu mayat telah ditemui di sebuah restoran," ujar Kara.

"Oh... ya?" soal aku, sebelum aku zipkan jaketku dan segera bangun mengikut langkah Kara.

SEBAIK tiba ke tempat lokasi, aku dan Kara segera memakai sarung tangan. Aku pandang mangsa. Perempuan, lewat 20-an, berT-shirt, kardigan dan seluar jeans. Berambut panjang, dan diwarna perang. Kara selak baju kardigan perempuan itu. Terdapat satu kesan tikaman di perut di sebelah kiri mangsa. Terbaring dengan kepala tersandar pada dinding restoran. Aku melihat persekitaran. Tiada bukti pergelutan lain.

"Mangsa mengenali pembunuh?"

Kara bangun. "Ditampar dengan kuat ke pipi, mangsa ditikam dengan objek tajam; dibawa menghampiri dinding sebelum ditikam. Mangsa mungkin saja dibunuh secara mengejut dan cepat." Kara pandang aku. "Rasanya, boleh dilakukan oleh orang yang dikenali atau tidak."

Okey. Dia lebih berpengalaman, lalu aku segera ke mesin wang. "Duit di dalam mesin ini masih mempunyai banyak not 50. Pembunuh bukan mahukan duit."

"Ya, Aslan, betul tu. Pembunuh tidak membuang masa di sini. Dia terus berlari keluar... melalui sini." Aku memandang Kara dan mengikut arahnya. Kesan darah yang kecil dari hujung kasut itu terus membawa kami ke bilik sejuk beku itu. Lalu Kara buka pintu dapur itu.

"Tapi ini adalah jalan mati." Aku bingung sebaik memasukinya. Tiada tingkap di sini. Tiada pintu. Kara mula memeriksa tempat itu. 

"Aku tak rasa begitu," ujar Kara sambil mengalihkan guni-guni yang berisi kentang itu. Aku menghampiri, jelas ianya adalah satu laluan. Dan satu bukaan yang sangat kecil seterusnya jelas kelihatan dari jarak dekat. Kara mendekati lagi dinding itu.

Satu tolakan kecil aku lalu lepaskan padanya, dan aku segera berpaling memandang mata Kara. Pintu rahsia, dan kami memasukinya dengan berhati-hati.

"Oh, bagus! Dia menjadi orang biasa yang lalu-lalang ke sana ke mari kembali," rungut aku melihatkan bangunan belakang restoran itu. Pintu itu hanyalah membawa kepada bangunan belakang restoran. "Pembunuh itu sudah menjadi seorang dalam sejuta, di luar ini." Aku menggeleng-geleng. Tiada saksi, tiada CCTV pada tempat pembunuhan. Yang ada hanya mangsa yang terbunuh! Aku tak suka situasi ini.

Satu tepukan singgah di bahuku. "Jangan bimbang, Aslan. Kita akan berusaha untuk mencari klu kes ini," ujar Kara, dan aku hanya diam melihat wajah optimisnya itu. Aku mengangguk, tapi hati aku terus mengeluh. Mencari klu? Bukankah tugas kami adalah mencari pembunuh? Arghh. Aku terpaksa mengikut langkah Kara kembali.

Namun baru sahaja aku ingin melangkah ke pintu belakang rahsia premis itu kembali, aku terhenti.

"Kara, lelaki itu..." ujar aku sebaik melihat seorang lelaki yang bertopi dan berkacamata hitam di belakang Kara. Dia sedang memandang kami dengan curiga.

"Berpecah, Aslan," arah Kara.

Tanpa membuang masa, kami membuka langkah dan berpecah. Kami berjaya mengejar dia sehingga ke seberang jalan raya. Namun sebaik dia memasuki kembali lorong bangunan, kami sudah terlepas jejaknya. Dia terlalu arif dengan selok-belok kawasan itu. Aku memandang ke arah Kara, tercungap-cungap. Kami sedang memperlahankan kembali degup jantung dengan mengah.

"Kurang ajar," marah aku.

Kami masuk kembali ke lokasi mangsa. Kara lalu memeriksa sekali lagi badan mangsa, dan satu dompet tebal dikeluarkannya.

"MANGSA bernama Sarah Ibrahim, berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pelayan di Restoran Pasti Sedap. Syifnya semalam berakhir pada pukul 1 pagi. Dan mangsa pula telah dibunuh pada kira-kira pukul 12 tengah malam," ujar Det. Kara.

"Beliau ada saudara-mara? Suami? Teman lelaki?" tanya Kapten Bashar.

Aku menggaru-garu kepala aku. Mengapa mesti terus dijuruskan kepada keluarga mangsa? Mangsa ditemui mati di restoran Pasti Sedap. Pada taakulan aku, saksi yang lebih rapat adalah pekerja lain restoran itu. Mungkin pemilik kedai, atau orang awam? Mengapa harus diutamakan orang lain pada waktu ini?

Namun aku hanyalah mampu membantah di dalam benakku sendiri. Kemasukan awal, dan tidak sopan untuk bercakap banyak tentang perkara yang tidak aku mahirkan lagi. Jadi aku hanya terus mendiamkan diri sahaja.

"Sarah pernah berkahwin dengan seorang banduan bernama Harith, tuan," jawab Dina. "Pernah disumbat ke dalam penjara kerana pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak," sambungnya lagi.

Okey. Itu kaitannya.

"Kara, Aslan, kamu ke Kampung Baru dan soal-siasat Harith," ujar Kapten Bashar. "Dina dan Bakri, kamu ke restoran Pasti Sedap itu kembali untuk mendapatkan kesan-kesan lain yang mungkin ditinggalkan pembunuh. Dan Mazlan, kamu ikut saya," tambah kapten Bashar lagi.

Aku segera mengikut langkah Kara.

"HEY. Ehm... kamu masih lagi pantas berlari ya?" soal aku di dalam kereta polis. Kara memandang aku sepintas lalu sebelum kembali kepada pemanduannya.

"Tubuh aku membuatkan kamu terkejut dengan prestasi aku?" tanya Kara. Aku hanya mendiamkan diri. Ya. Tubuhnya itu memang membuat aku ragu, tapi tengoklah pula pada kasut yang tinggi tidak kurang dari satu inci itu. Keraguan aku berasas!

"Haha, walaupun aku sudah bertambah berat secara fizikalnya. Tapi aku tidak pernah ketinggalan senaman kardio dan aktiviti kecergasan aku," ujar Kara.

"Okey..." jawab aku. Jadi prasangka aku silap sedikit. Tapi dia layak berlagak dengan prestasi dan minda cekapnya. Betul!

"Aku... pernah keguguran sewaktu cubaan mengejar seorang perompak tiga tahun lepas. Tiga bulan dan... hm... aku fikir hanya simptom makan banyak. Kadar jenayah sedang meningkat. Dan aku begitu sibuk menuntut bela atas beberapa penduduk tempatan yang teraniaya. Pagi petang mengejar penjenayah. Kejatuhan daripada tingkat satu itu hanyalah salah satu penyebab kepada keguguran itu."

Aku diam sahaja di sebelahnya.

"Tak pernah beritahu Yusof mengenainya..." sambungnya lagi.

"Maafkan aku," ujar aku yang berasa bersalah kerana membuatkan dia menceritakan perkara yang tragis itu. Kara hanya tersenyum.

"Semenjak itu jugalah berat aku naik mendadak," ujarnya lagi. Aku hanya tersenyum dan mengangguk-angguk.

"Aslan, itu Harith..." ujar Kara sebelum dia meluru keluar. Aku segera berlari dengan laju mengejar langkah lelaki itu yang berketinggian 5 kaki 5, berbadan kurus dan kelihatan sedang tergesa-gesa ke pejabat itu.

"Hei, lambat ke pejabat ke?" soal aku, menyekat jalannya. Harith berhenti mengejut. Dia pandang wajah aku, kepucatan.

"Lari daripada sesuatu?" soal aku.

"Tak, aku dah lewat ke..."

Okey, tak ada masa untuk alasan. Tangannya aku tarik ke belakang. "Harith, kami adalah pegawai polis Bukit Aman. Kamu ditahan untuk membantu siasatan," ujar Kara dengan tenang, sebaik tangan Harith aku gari. Harith kelihatan terkejut.

"Bantu siasatan apa ni?" tanya Harith, cuba untuk lepas daripada digari. "Mengenai pembunuhan ke atas bekas isteri kamu, Sarah Ibrahim," ujar Kara lagi.

"Apa!?" tanya Harith terkejut.

"Apa maksud kamu, pembunuhan Sarah?" tanya Harith.

"Sarah ditemui mati di restoran Pasti Sedap malam tadi," ujar aku sebelum menyumbatkan Harith ke dalam kereta polis.

"Ya Allah."

"AKU tak bersalah," ujar Harith.

"Hanya nyatakan di mana kamu berada malam tadi, pada lingkungan waktu 11 malam hingga 1 pagi, Encik Harith," ujar Kara.

Harith menggeleng-geleng. "Aku tak bunuh dia..."

Pang! Meja bilik siasatan yang memisahkan aku dengan Harith segera aku hentak. Aku tidak suka perbuatan yang suka melengah-lengahkan waktu sebegini. Sama ada dia pembunuhnya atau pembunuh sebenar itu boleh jadi sedang berlegar-legar lagi di luar sana, membahayakan orang awam pada waktu ini.

Kara masih memandang tajam kepada Harith.

"A...ku bersama dengan kekasih aku, di... sebuah hotel..." ujar Harith, melarikan wajahnya ke sisi.

"Ohh... dengan kekasih di hotel? Patutlah payah sangat nak memberitahu," ujar aku. Fail aku tutup kasar.

"Kami tak buat apa-apalah..." ujar Harith lagi, cuba membela dirinya.

"Di dalam hotel bersama seorang perempuan, kekasih pula? Yalah tak buat apa-apa. Jadi kenapa tak mahu beritahu kami awal-awal?"

Harith mahu menjawab. Namun kemudiannya didiamkan dirinya. Aku pandang ke wajah Kara. Kami tahu dia mahu katakan sesuatu.

"Jadi... kekasih yang tak buat apa-apa dengan kamu di dalam hotel ni, dia ada nama?" soal Kara. Harith mencebik.

"Syazana Harun," jawab Harith pasrah.

"Okey," ujar aku dengan kasar, sebelum aku bangun, meninggalkan Harith dan Kara.

"Terima kasih, Encik Harith," ujar Kara sebelum dia juga menutup failnya dan bangun. Aku mendahului keluar sebelum aku berpaling melihat kepada Kara yang mengejar langkahku, dan kami berjalan ke pejabat.

"Kamu makan kata-kata dia?"

"Kita maklumkan dahulu kepada kapten, Aslan."

"JADI, Encik Harith beritahu yang dia ada alibi bersama dengan kekasihnya di hotel?" tanya Kapten Bashar. Dina segera mengangkat kepalanya.

"Saya dah periksa kembali restoran berkenaan. Memang ada sebuah pintu rahsia pada bilik sejuk beku itu. Namun kata pemilik kedai Pasti Sedap, pintu itu hanya diguna oleh pekerjanya untuk tujuan memudahkan urusan penghantaran barang terus ke bilik sejuk beku itu," ujarnya.

"Kami dah soal-siasat penduduk di kawasan kejiranan itu. Beberapa orang saksi mengatakan yang mereka memang ada ternampak seorang lelaki yang merayau-rayau dengan topi dan kacamata hitam. Tapi tiada siapa yang dapat memberi gambaran lebih jelas mengenai lelaki itu," sambung Kara.

"Ah... lelaki yang kita nampak tengahari tadi, Kara." Aku pandang wajah Kara.

"Bertopi... berkacamata hitam, dengan baju jaket panjang. Lelaki tu berlesung pipit!" terang aku bersungguh dan mereka mula memandang aku dengan wajah hairan.

"Dengar sini. Lelaki tu, masa aku dan Kara kejar dia, dia... lari tak laju. Tapi setiap langkah dia diambil dengan bijak. Sekali dia masuk satu lorong, kau akan hilang jejak dia sebentar. Tapi kau harus terus ikut dia, jangan sekali-kali curiga dengan langkah kau. Sekali kau tersilap langkah, dia akan hilang lama, dan kau dah tak perlu kejar dia."

Aku ambil nafas panjang mengisi udara pada dada aku yang tersekat-sekat. "Dan... pada belokan terakhir dia memasuki lorong bangunan itu, dia pandang aku, dan dia menampakkan lesung pipit dia. Dia tersenyum!"

"Bagus, saya akan telefon pengilustrasi kita untuk membantu melukiskan wajah lelaki itu pada pagi esok. Kamu semua sudah boleh bersurai sekarang," ujar Kapten Bashar sebelum dia beredar ke pejabatnya.

"Baik, kapten!"

LUKISAN lelaki yang berkacamata hitam dan bertopi itu segera dicetak dan diedar ke tempat-tempat yang dipercayai berpotensi untuk lelaki yang dikehendaki itu dijumpai.

Aku dan Kara kemudiannya terus ke rumah Syazana Harun. Kami menanti kira-kira lima minit di hadapan pintu itu sebelum pemilik rumah itu membuka pintunya. "Uhuk uhuk," kedengaran batukan daripada dalam. Aku memandang wajah Kara.

"Assalamualaikum, cik."

Aku dan Kara terkejut. Seorang lelaki berumur pertengahan 40-an, membuka pintu dengan senyuman mesra.

"Maafkan saya, encik, adakah ini rumah Cik Syazana Harun?" tanya Kara. Lelaki itu cuba untuk menjawab soalan kami sebelum seorang perempuan yang masih muda mendekati kami.

"Puan. Puan Syazana. Ini adalah suami saya," ujar perempuan yang memakai baju t-shirt lengan pendek dan berskirt pendek itu. Okey. Ini memang skandal yang sangat teruk. Padanlah Harith takut sangat.

"Puan, boleh kita bercakap di luar sebentar?" tanya Kara.

Syazana kelihatan tidak berpuas hati. Sambil menjungkitkan kening dan menyilangkan tangannya, dia bertanya kami. "Kenapa ya?"

Aku garu kening yang tiba-tiba terasa gatal.

"Uhh... Puan Syazana, ini adalah mengenai satu kes pembunuhan yang melibatkan Harith," ujar aku. Syazana segera terkejut. Dia lalu mencapai kardigan merahnya dan mengikut aku dengan Kara ke luar rumahnya.

Sebaik berada di luar, Syazana segera memandang kembali ke belakang, seakan-akan tidak mahu percakapan kami didengar oleh suaminya.

"Suami saya tak boleh tahu mengenai hal ini," ujar dia.

"Baik. Kami faham," balas Kara, memandang kepadaku dan aku hanya mampu membalasnya dengan rasa tidak sedap hati sambil menggeleng-geleng melihatkan gelagat gadis muda itu.

"Apa yang sudah terjadi kepada Harith?" tanya Syazana.

"Kami hanya ingin mendapatkan alibi untuk Harith dalam lingkungan waktu pukul 11 hingga 1 pagi malam kelmarin," ujar Kara. Syazana mengerutkan wajahnya.

"Malam kelmarin? Saya tak tahu. Malam kelmarin saya bersama dengan suami saya. Dia tidak sihat." Aku memandang wajah Kara.

"Boleh kami dapatkan pengesahan daripada suami puan?" tanya aku.

"HARITH beritahu hal sebenar kepada kami!" marah aku. Meja buat sekian kali aku hentak. Dia ni betul-betul dah membuat aku naik darah.

"Okey, okey. Malam tu memang aku ada berjumpa dengan Sarah. Aku perlukan dia untuk memulangkan kembali tanah yang sudah aku berikan kepadanya setahun sebelum kami bercerai. Kami memang ada bergaduh. Dan... aku memang ada... aku tak tahu. Aku terlalu marah kerana dia tak mahu menyerahkan kembali tanah aku. Katanya dia mahu menggadai tanah itu untuk dia memulakan hidup baru. Jadi aku memang ada menampar mukanya. Tapi, waktu itu baru pukul 9 malam. Dan selepas itu, aku terus pergi. Ketika aku meninggalkan dia, dia masih lagi hidup. Aku sanggup bersumpah," cerita Harith dengan bersungguh-sungguh.

"Aku tak tahu bagaimana caranya seseorang itu boleh mempercayai seorang penipu, Harith," ujar Kara sebelum beredar.

"Kamu akan dikenakan hukuman atas kesalahan mengganggu dan menghalang siasatan pihak polis."

"Maafkan aku."

"MACAM mana dia boleh menipu? Dia sedang membantu pembunuh itu untuk merencana jenayah baru sekarang. Dia tu bodoh ke apa?"

"Orang yang biasa melepaskan diri dengan cara kotor tak dapat lari daripada terus melakukan kerja-kerja kotor untuk selamatkan diri, Aslan. Inilah, apa yang unit siasatan jenayah terpaksa hadapi setiap hari," ujar Kara. Aku menjungkitkan keningku, nampaknya aku harus bersetuju. Unit siasatan jenayah juga adalah sebuah unit yang mencabar. Ia memang tak dapat dinafikan lagi.

Sebaik tiba di dalam pejabat, aku lihat Dina sedang termenung. "Kenapa, Dina?" soal Kara. Dina berpaling memandang kami.

"Tiada lagi kes Sarah Ibrahim," jawab Dina dengan lemah. Aku dan Kara terkejut.

"Kenapa?"

"Arahan Kapten Bashar," jawab Dina. Kara melepaskan keluhan berat. Aku pula menggeleng-geleng. Mana boleh begini. Pembunuh itu sudah melakukan satu pembunuhan. Siapa tahu jika ini hanyalah sebuah permulaan baginya? Modus operandi, motif, dan siapa dia sebenarnya harus disiasat sehingga ke lubang cacing.

Pang! Pintu bilik kapten aku buka dengan kasar. Kapten Bashar hanya memandangku dengan tenang. Kara mahu melangkah bersama Sarjan Mahmud. Namun Kapten Bashar sudah pun menyekat dengan isyarat tangannya, meminta mereka berundur kembali. Setelah itu, Kapten Bashar bangun dan menutup pintu serta juga dengan tirai bilik itu.

"Saya tahu kamu sedang emosi sekarang. Namun kamu harus sedar. Kita di sini hanya sebuah sarang semut, Aslan. Ada ramai 'budak-budak jahat' di luar sana yang sedang menanti untuk memusnahkan rumah kita, kawan kita. Keluarga kita," ujar Kapten Bashar.

Aku merasa hairan mendengarnya. Inikah dia kapten yang diamanahkan buat menjaga negara ini?

"Pihak atasan sudah mengarahkan kita untuk menghentikan kes ini. Kalau kita bertegas, mereka boleh 'meranapkan' jabatan ini sekejap sahaja, Aslan. Kamu faham kata-kata saya?"

"Tuan telah diugut?" tanya aku. Tidak sangka sampai ke sini rasuah dan penyalah-gunaan kuasa berleluasa. Aku hempaskan fail ke meja.

"Politik!"

"Maafkan saya, Aslan. Kamu makan gaji, saya pun makan gaji."

Aku hanya menggeleng-geleng.

"Assalamualaikum, kapten," ujar Kara beberapa ketika kemudian, mengetuk pintu dan menjenguk kami. "Kamu okey?"

"Ya, kami okey, Kara," ujar kapten sebelum membenarkan Kara masuk.

"Ini tentang orang atasan lagi?" soal Kara.

Oh, mereka memang sudah maklum mengenai ini rupanya. Jadi kes pembunuhan boleh jadi seburuk kes dadah juga. Orang dalam menular macam jarum dalam jerami.

"Kita tak dapat buat apa-apa, Kara." Aku hilang sabar lagi.

"Apa maksud kau, tak dapat? Kita nak tengok sahaja pembunuh tu terus membunuh orang awam? Kapten Bashar, isteri kapten, anak kapten bukan orang awam ke!?" soal aku dalam bahang kemarahan.

"Hey, bertenang, Aslan." Kara menyentuh bahu aku. Namun tanpa aku sengajakan, hanya jelingan yang dapat aku balas.

"Kapten, sekurang-kurangnya berilah kami beberapa hari lagi untuk menyiasat. Jika buktinya masih belum cukup, kami berjanji kami akan tarik diri serta-merta," rayu Kara.

Aku tergelak. Merayu untuk membenarkan kami mencari penjenayah yang sudah membunuh seorang perempuan yang tidak berdosa? Apa nak jadi dengan negara ini? Arghh.

"Baiklah. Saya beri kamu dua hari lagi untuk menyiasat. Jika masih belum cukup bukti, kamu harus melepaskan kes ini."

"Baik, terima kasih, kapten," ujar Kara. Aku menggeleng-geleng dan mengambil nafas yang panjang sebelum melangkah keluar.

"Terima kasih, kapten."

"Sama-sama, Aslan."

"APA nak jadi dengan dunia ni? Politik adalah sebuah naik-taraf baru dalam sistem rasuah ke?" soal aku masih lagi dalam kekecewaan dengan apa yang terjadi.

"Hanya inilah sistem yang termampu untuk kita ada, Aslan. Orang politik menjaga orang awam dari ancaman-ancaman besar. Daripada ancaman peperangan. Daripada keruntuhan sistem kewangan, moral, pembangunan. Dan kita orang awam juga harus membayar mereka dengan harga yang tinggi."

"Terlalu tinggi sehingga mengabaikan nyawa seorang insan?"

"Ya, mungkin," jawab Kara dengan kecewa.

"Itu dia Sulastri."

"Mari," ujar Kara. Aku mengangguk. Kami berjalan memasuki kedai yang bersebelahan dengan kedai Pasti Sedap itu.

"Kami pegawai polis Bukit Aman. Kamu ni Cik Sulastri ke?" tanya Kara. Perempuan yang memakai tudung singkat seperti rakyat seberang itu mengangguk.

"Masih lagi belum berjaya menangkap lelaki bertopi itu?"

"Em, kami harus mendapatkan cerita lanjut daripada kamu."

"Saya... tak pernah nampak dia sebelum ni. Tapi bermula daripada minggu lepas, dia mula datang merayau di kawasan ini. Seperti sedang memerhatikan sesuatu." Kara menghampirinya lebih dekat.

"Sesuatu? Apa?"

"Kamu tahu yang bilik di belakang kedai itu mempunyai pintu rahsia?" soal Sulastri. Aku dan Kara segera mengangguk. "Orang kata, pemilik kedai itu adalah seorang pengedar dadah." Aku dan Kara menjungkit kening, memandang sesama sendiri mendengarkan cerita yang menarik itu.

"Jadi lelaki bertopi itu, dia... hmm, saya fikir, yang dia juga ada kaitannya dengan kes dadah. Sebab itu, apabila saya melihat dia menghendap bangunan restoran itu, saya hanya membiarkannya sahaja. Saya tak mahu masuk campur dengan urusan mereka. Orang cakap... kuasa mereka besar."

"ASSALAMUALAIKUM, Encik Asri," ujar Kara. Aku pula masuk perlahan-lahan ke dalam pejabat itu.

"Tahniah kerana berjaya mencipta nama di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini, dan menjadi antara 10 restoran paling dikunjungi orang," ujar aku dengan senyuman.

Pemilik restoran yang berusia dalam 50-an dan mempunyai misai yang lebat itu hanya menjungkitkan keningnya.

"Waalaikumussalam, terima kasih. Tapi... kalau ini mengenai kes bunuh itu, saya sudah pun menerangkan di mana saya pada malam itu kepada rakan kamu semalam. Saya rasa tak ada apa lagi yang saya mahu beritahu," ujar Encik Asri lagi sambil peluh di dahi mula dikesatnya.

"Ya, Encik Asri. Alibi Encik Asri telah pun kami dapatkan daripada isteri encik. Tapi sekarang, kami bukan mahu bertanyakan mengenai keberadaan encik pada malam kejadian. Kami... cuma nak tahu mengenai sebuah pintu rahsia dalam bilik menyimpan barang sejuk beku restoran encik," ujar Kara, sudah cukup untuk membuat Encik Asri melopong.

"Itu... itu... itu hanya laluan untuk kemudahan pekerja saya mengangkut barang."

"Ya. Barang yang juga termasuk dadah?" cantas aku.

"Jangan membuat tuduhan melulu," bantah Encik Asri lagi dengan peluh yang makin merecik daripada dahinya.

"Melulu? Sebuah restoran yang dahulunya hanya menjual mee bakso yang tawar, tidak berperisa. Dalam masa enam bulan, boleh menandingi restoran-restoran terkemuka?" Encik Asri berpaling ke belakang.

"Itu langsung tidak relevan dengan pertuduhan kamu mengatakan saya ini mengedar dadah."

"Okey... okey, kamu berdua..." ujar Kara, memandang aku dengan mata yang besar dan dahi berkerut.

"Sekarang ini, Encik Asri, kedatangan kami bukanlah untuk menuduh siapa-siapa. Saya hanya mahu tahu, adakah Encik Asri menyedari yang ada seorang lelaki, bertopi dan berkacamata hitam telah menghendap premis encik dalam waktu seminggu kebelakangan ini?"

Encik Asri meredakan kembali ketegangannya tadi. "Ya... ada. Memang ada seorang lelaki yang berkacamata hitam dan bertopi mengintai-intai restoran ini pada satu minggu yang lepas. Dan Sarah pernah menangkap dia," ujar Encik Asri. Aku dan Kara berpandangan.

"Atas kesalahan apa?" tanya aku.

"Kerana membuat kekacauan. Kata Sarah, lelaki itu cuba mengganggu dia sewaktu dia sedang bekerja."

"Kamu ada sebarang bukti mengenai ini?" tanya Kara kembali.

"Ya, kami ada rakaman CCTV di bahagian kaunter, yang menghadap pada ruang niaga restoran. Tapi tidak berapa jelas. Hanya ada rakaman dia yang sedang minum dan seterusnya diheret keluar oleh Sarah," jawab Encik Asri.

"Boleh kami mendapatkan pita rakaman itu?" tanya Kara.

"Ya, boleh."

"KITA tak dapat menggunakan gambar daripada CCTV ini untuk diedar. Gambar ini terlalu kabur."

"Tapi tengoklah tubuh dia. Kamu dapat teka tinggi dia?" tanya Kara. Aku melihat gambar itu sekali imbas.

"5 kaki 9, mungkin 10..." jawab aku sambil meninjau pintu pejabat. Kara terpana. "Kamu boleh tahu dengan sekali tengok?" tanya dia sambil melihat-lihat lagi akan gambar lelaki itu.

"Aku pernah tengok lelaki ini di belakang kamu tempohari, ingat?"

"Oh... masa kita kejar dia hari itu?" soal Kara sebelum dia membetulkan postur tubuhnya dan memandang tepat ke arah aku. "Yalah. Kamu pernah lihat dia! Kalau macam tu, apa kata kamu ceritakan kembali perincian lelaki ini sekarang?" Aku pandang wajah Kara, tidak mengerti.

"Perlukah lagi?" soal aku.

"Ya, Aslan, setiap kalinya."

Aku mengeluh dan mula mengambil tempat di sebelahnya. "Okey, seperti yang telah dicetak pada wajah orang yang dikehendaki tu, lelaki tu bertopi dan berkacamata, kan?" tanya aku ragu-ragu, dan Kara terus mengangguk. "Tapi ilustrasi tu tertinggal sesuatu, Kara, lesung pipit!" ujar aku.

"Ahh... lesung pipit tu tidak akan banyak membantu, Aslan," ujar Kara sambil dia menutup buku notanya. Aku juga tak dapat buat apa-apa. Semuanya berlaku begitu pantas. Aku betul-betul tak nampak orang itu dengan jelas.

"Tapi kita juga tahu yang pembunuh itu..."

"Hey, Kara, Aslan. Ada sesuatu yang dijumpai oleh unit forensik," ujar Sarjan Mahmud.

"OKEY, seperti yang kita semua sedia maklum, Sarah telah ditikam di bahagian perut sebelah kiri..." ujar Dr. Izah sambil dia memeriksa sesuatu pada luka itu lagi sedang aku dan Kara cuba untuk memberikan perhatian kami kepada informasi yang bakal diberikan oleh doktor muda dan berkacamata itu.

"Okey, dan...?" ujar aku. Dr. Izah lalu segera memandang wajah aku.

"Dan kamu ni...?" tanya dia sambil memandang tajam ke wajah aku.

"Ah, ya. Dia adalah detektif baru yang telah ditugaskan di unit ini. Detektif Aslan," terang Kara. Aku hanya senyum hambar kepada Dr. Izah sebelum meminta dia meneruskan keterangannya. Dr. Izah senyum membalas senyumanku, dan menundukkan wajahnya sebelum dia melepaskan skalpel itu ke sebelah mayat mangsa.

"Dan... mangsa mati akibat pendarahan dalaman yang teruk setelah tikaman itu mengenai organ dalaman mangsa."

"Buah pinggang," ujarku, sambil aku menyilang tangan dan cuba untuk memahami perkara ini.

"Ya. Buah pinggang. Dan ada satu benda saya temui di dalam pakaian mangsa, yang agak memeningkan saya," ujar Dr. Izah, memaksa aku dan Kara ke hadapan apabila dia menghulurkan bekas plastik bersama bahan bukti itu.

"Pil?"

"Ya. Ditemui di dalam poket baju mangsa. Ianya adalah Misoprostol."

"Ubat pengguguran," ujarku sambil menggeleng.

"Ya, betul. Namun kamu tahu, tujuan asal Misoprostol sebenarnya adalah untuk menggalakkan kelahiran dengan mengoyakkan dinding uterus si ibu bagi memudahkan kelahiran."

"Ya?" soal aku sekadar mengesahkannya. Aku pernah mendengar mengenainya sebelum ini.

"Ya, Aslan. Tapi bagaimanapun ianya telah disalah-gunakan oleh ramai orang untuk mengakibatkan keguguran pada trimester pertama kandungan. Yang seperti kita biasa dengar, kandungan luar nikah. Dan biasanya, banyak juga penyalahgunaan Misoprostol ini berakhir dengan kematian apabila berlaku permasalahan janin yang tidak keluar sepenuhnya. Mereka tidak tahu betapa sakitnya akibat daripada jangkitan kuman itu. Ianya tidak terjangkau fikiran, lebih-lebih lagi kamu, lelaki. Sisa janin bayi yang membusuk di dalam rahim sendiri."

Urghh. Aku memandang wajah Kara, dan kagum melihatkan dia yang tenang mendengar kata-kata daripada Dr. Izah itu.

"Hmm... jadi, bagaimana dengan Sarah? Adakah dia berjaya mengeluarkan janinnya dengan sempurna?" soalku.

"Ah, ya. Mengenai Sarah. Hampir saya terlupa. Saya sudah pun memeriksa kesan ubat ini terhadap mangsa. Malangnya, saya mendapati yang tiada kesan Misoprostol padanya. Dan mangsa malahan tidak mengandung pun," ujar Dr. Izah lagi.

"Jadi apa yang dibuat dengan ubat ini oleh Sarah?"

"KAPTEN, Sarah sedang mengugut kepada seseorang yang dia sedang mengandung dan orang itu kemungkinan besar telah memberikan pil Misoprostol kepada Sarah."

"Ubat pengguguran," balas Kapten Bashar. Kara mengangguk.

"Ya. Dengan harapan yang Sarah akan menuruti kemahuannya. Namun keinginan Sarah hanya duit. Kad kreditnya menunjukkan yang dia mempunyai hutang tertunggak sebanyak lebih daripada 10 ribu ringgit," ujar Kara sambil dia menunjukkan penyata bil kad kredit Sarah Ibrahim itu. Kapten Bashar menyemak salinan itu dan mula mengangguk.

"Plot bermula apabila keadaan tidak mengikut kemahuannya juga. Dan dia akhirnya dibunuh oleh orang yang dia ugut, kapten."

"Ada suspek?" tanya Kapten Bashar.

"Panggilan terakhir mangsa pada pukul 11:34, kepada Harith..!"

"HARITH menghilang, masa dua hari yang saya berikan kepada kamu sudah mencukupi. Tiada apa lagi yang mampu saya lakukan," ujar Kapten Bashar, mahu menggugurkan kes itu.

"Tapi, kapten, kita tak harus membiarkan nyawa seorang perempuan yang melayang begitu sahaja tanpa pembelaan. Saya minta..."

"Kamu lupakan kes ini. Atau kamu tidak akan mempunyai peluang lagi untuk meminta-minta, Aslan," ujar Kapten Bashar tegas. Aku menggeleng-geleng.

"Okey, kita lupakan sebuah pembunuhan bagaikan ianya tidak pernah berlaku. Kematian seorang gadis tidak begitu pelik lagi sekarang, bukan?" soal aku sambil membawa diri keluar daripada pejabat Kapten Bashar dengan kecewa.

Sebaik aku duduk di tempat aku, Kara mendekati mejaku. "Gadis itu memang sepatutnya mendapat pembelaan, Aslan. Tapi akhirnya, tidak semua orang mendapatkan pembelaannya juga, bukan?" tanya Kara membuatkan aku berfikir sejenak sebelum dia melangkah keluar untuk pulang.

"Sebentar, Kara..." panggil aku. Kara menantikan aku mengemaskan barang. "Tolong hantarkan aku balik? Kereta aku rosak," ujar aku. Kara tersenyum sambil meneruskan langkahnya.

SEBAIK masuk ke dalam kereta, suasana menjadi sunyi. "Ini adalah kes pertama aku di sini..." ujar aku, dan Kara hanya mendengar. "Aku betul-betul kecewa masa dipaksa bertukar ke unit siasatan jenayah. Tapi... jangan salah faham. Sebenarnya, aku kecewa bukanlah kerana lemahnya cara kes-kes pembunuhan dijalankan berbanding kes-kes dadah..." Aku terdiam seketika. Tidak pasti jika perlu aku meluahkan kelemahan aku.

"Pertukaran ini, tidak lebih sebagai simbol kepada kegagalan aku untuk menyelamatkan dua rakan setugas aku." Kara masih diam di sebelahku.

Sebentar kemudian dia memberhentikan kereta di sebelah sebuah warung makan tepi jalan. Kami turun, dan Kara memesan minumannya. Sedang aku hanya diam di situ.

"Jadi, apa yang sudah terjadi?" tanya Kara. Aku garu dahi sebentar dan kemudian diam lagi di situ untuk seketika. Biarkanlah sahaja. Tidak apa untuk membuka pekung di dadaku untuk sekali-sekala, fikirku.

"Dua orang rakan setugas dan aku telah dihantar ke Rantau Panjang oleh Lintah. Penyamaran kami rupanya telah terbongkar. Orang Lintah arahkan kami bertiga masuk ke dalam sebuah pondok. Di hujung penjuru pondok itu, ada satu ruang kecil di sebalik konkrit yang tebal. Muat untuk seorang lelaki. Aku masuk dan ternampak sesuatu. Dadah seberat dua kilogram. Aku sibuk memeriksa kandungan dadah itu ketika mereka mula menembak dari luar. Aku... terkejut dan segera melindungi diri dengan serta-merta. Fikiran tiba-tiba menjadi kosong. Dan tembakan berhenti." Aku terdiam. Kara juga diam, memandang ke hadapan sambil meletakkan cawannya.

"Ketika itulah baru aku teringat kembali akan dua lagi rakan setugasku. Aku mendongak, dan melihat tubuh mereka berlumuran darah. Ali, mendapat tiga tembakan pada dada dan perut, sedangkan Kutan, mendapat dua tembakan pada bahu dan dua pada kaki. Mereka berteriak bagai orang gila. Sakit... sangat... pasti..." aku terus bercakap tanpa kewarasan yang tinggi, dan Kara memandang aku. Aku bertentang mata dengannya, dan terus menjatuhkan pandanganku kembali.

"Tapi... aku tak mampu untuk bangun, Kara. Aku hanya duduk sahaja di situ. Melihat orang-orang Lintah masuk ke dalam pondok itu dan... habiskan mereka. Beberapa tembakan tepat ke muka mereka," ujar aku masih memandang kaki lima dengan pandangan kosong. "Kalau aku juga dibunuh, tiada siapa yang akan dapat mengecam kami lagi, isteri aku mungkin masih lagi mencari aku sekarang. Tak susah untuk mereka buang mayat kami di mana-mana. Tapi mereka sengaja membiarkan seorang daripada kami hidup... untuk menyatakan kekuatan mereka."

Kara menarik nafas yang panjang, meletakkan cawan, dan mendekatkan wajahnya kepadaku.

"Dan sekarang, kamu masih hidup, Aslan. Mayat mereka dapat dikebumikan dengan... agak baik. Sedangkan kau dapat kembali mengejar penjenayah," ujar Kara.

"Ya, dan kes pertama aku di sini, seorang perempuan mati. Dan tak ada apa yang kita boleh buat untuk menangkap pembunuhnya."

Kara mencicip lagi minumannya. "Hari ini memang hari yang teruk."

Continue Reading

You'll Also Like

538 80 14
Ini ialah kisah 3 tahun selepas SAYAP BERLIAN. Kenapa kisah ini selepas 3 tahun? Kerana dalam tempoh 3 tahun pertama Tengku Jalil keluar dari Kristal...
1.9K 164 31
Semasa seorang pemuda menjalani kehidupannya yang biasa berubah dalam sekelip mata semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumah dia terdengar teriakan...
176K 10.7K 48
#1 in paranormal. Aku mendapat sesuatu yang mulanya menyeksa aku selama beberapa jangka masa.. Namun aku dapat rasakan ianya adalah daripada keturuna...
49.1K 2.6K 15
Written by Emma Debra Cover & published by Starry Angel Based on Sabahan true love story. Mengisahkan seorg gadis bernama Debra.. Zaman persekolahan...