2 - Sayang

41 2 1
                                    

Aku terlena untuk kali kedua. Bila aku sedar, waktu sudah malam. Katilku berdekatan dengan tingkap memudahkan aku mengetahui waktu sekarang. Di luar tingkap, aku dapat melihat cahaya lampu jalan menerangi malam yang gelap. Tiada kereta yang dapat kulihat. Sudah lewat malam mungkin. Wad yang dihuni empat orang pesakit terasa kosong. Aku seorang sahaja dalam wad ni. Meremang buluku ketakutan. Mana pesakit lain?, debar hatiku.

Tap..tap..tap

Bunyi kasut dihentak menuju ke wad. Tanganku menggigil. Bunyi kasut berhenti di depan pintu wad. Aku berusaha menarik selimut menutupi wajahku.

Krik..

Bunyi pintu dibuka perlahan. Perlahan-lahan aku merendahkan selimut memandang gerangan manusia yang masuk ke dalam wad. Belum sempat aku melihat, dengan pantas mulutku ditutup dengan sapu tangan. Azrul dihadapanku memandang dengan begitu serius.

"Kau dengar baik-baik, kau jangan bagitahu sesiapa pun apa yang dah terjadi" bisik Azrul di telingaku.

Aku mengangguk ketakutan. Aku cuba memejam mata dengan harapan aku bangun dari mimpi ngeri.

Tapi hanya hampa yang aku dapat. Azrul yang berada di hadapan aku adalah suamiku. Bukannya bayangan mimpi.

"Kenapa abang buat saya macam ni? Tak sayang ke abang pada saya?" rayuku. Tangannya aku capai.

Azrul terdiam. Bagaikan dirasuk sesuatu, dia tiba-tiba menangis dan terduduk di kerusi. Aku semakin tidak faham apa yang terjadi.

"Abang sayangkan Hayat tapi..."ayatnya terhenti bila seorang wanita tua masuk ke dalam wad.

Segera dia mengelap air matanya. Emakku masuk ke dalam wad.

"Alhamdulillah, Hayat dah sedar" suara emak lembut.

"Mak.." segera aku memeluk emak dengan erat.

Azrul keluar dari wad meninggalkan aku dengan emak.

"Mak, Hayat lapar" kataku lalu tersenyum.

"Mak tahu, sebab tu mak bawa makanan untuk Hayat. Mari sini bangun" mak menaikkan kedudukan katil sehingga aku dalam posisi duduk. Semangkuk bubur diletakkan di atas meja. Emak menyedok bubur dan menyuap ke mulutku. Air mineral aku sedut menggunakan straw bagi memudahkanku menelan bubur. Terasa tekak sedikit sakit bila menelan bubur.

"Dah habis makan ni, Hayat rehat balik ye" kata emak lalu mengusap kepalaku.

"Mak.. Hayat ada benda nak cakap" kataku lembut. Tangannya aku capai.

"Kenapa ni nak?" nada suara emak seperti kerisauan.

"Hayat nak duduk dengan mak malam ni. Hayat takut sendirian di sini. Mana yang lain mak?"

"Yang lain baru keluar petang tadi. Mereka semua dah discharge. Takpe, nanti mak minta izin dekat nurse, teman Hayat dekat sini" pujuk emak lalu menyuapkan bubur ke mulutku.

"Terima kasih mak. Hayat sayang dekat mak"

"Mak pun sayang dekat Hayat. Dah, dah cepat makan bubur ni"

Setelah selesai makan, aku ke tandas dengan bantuan mak. Aku memandang cermin. Mata kiriku lebam. Kepalaku sudah tidak berbalut, hanya kapas yang melekat di dahi. Aku memegang pipi dan serta merta air mata gugur. Aku tunduk memandang sinki. Air paip dibuka menyembunyikan kesedihan di hati.

"Mak, mak jangan risau ye. Hayat sakit sikit je" kataku sebelum melelapkan mata.

"Mak risau tengok Hayat macam ni. Apa dah jadi Hayat? Macam mana almari boleh hempap muka Hayat?"

"Kejap, apa mak cakap? Kena hempap almari? Hah.. hah..." aku tersenyum sinis. Sampai macam tu alasan Azrul dekat mak?, licik sungguh.

"Kenapa Hayat gelak pula. Salah ke apa yang Azrul cakap? Apa yang dah jadi sebenarnya nak?" riak wajah emak serta merta berubah menjadi bimbang.

"Tak ada apa mak. Betul lah tu. Hayat sendiri tak sedar waktu tu" aku hanya membenarkan kata-kata emak. Baru sahaja tadi Azrul memberi amaran. Entah apa pula yang akan dia lakukan dekat aku kalau aku nyatakan perkara sebenar pada emak.

"Walau apapun yang terjadi Hayat, mak selalu ada disamping Hayat. Mak tak sanggup lihat Hayat sakit-sakit macam ni" Mata emak jelas berkaca-kaca. Aku tersentuh dengan kata-kata emak. Mesti indah kalau selamanya berada di sisi emak. Tapi, sekarang aku milik Azrul. Azrul yang dulunya aku agung-agungkan dalam sedar dan tidak sedar sehinggalah dia berjaya menjadi suami yang sah untukku.

HayatımKde žijí příběhy. Začni objevovat