Jenazah

583 6 0
                                    

Ketika Latifah tiba petang itu, rumah sahabatnya, Maimon telah dipenuhi orang ramai. Selepas bersalaman dengan beberapa orang, Latifah segera ke sebuah kamar untuk menziarahi jenazah sahabatnya itu.

Kelihatan anak-anak perempuan arwah sahabatnya sedang duduk bersimpuh di atas sebidang tikar mengkuang sambil membaca surah Yassin. Muka mereka kelihatan merah, seperti baru lepas menangis. Latifah menyusun langkah mendekati jenazah sahabatnya yang ditutup dengan beberapa pasang kain batik. Dia terasa sebak, namun akur dengan ketentuan Ilahi; setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Air mata yang bertakung dikelopak matanya diseka dengan hujung lengan baju.

Setelah puas menatap jenazah sahabatnya, Latifah mengambil senaskhah surah Yassin lalu duduk di sebelah anak arwah, Maisarah.

Sedang asyik membaca surah Yassin, tiba-tiba Latifah terpandang seorang wanita berjubah hitam dan berselendang duduk di hujung kaki arwah. Wajahnya tidak kelihatan kerana tertutup dengan rambut dan selendang.

Latifah terus memandang. Dia tidak pernah melihat wanita itu sebelum ini. Fikirnya, mungkin saudara-mara atau kenalan arwah sahabatnya. Kemudian, Latifah menyambung bacaan surah Yassin sehingga habis.

Selang beberapa minit kemudian, pengurus jenazah, Ustaz Hassan hadir bersama dengan isteri dan anak gadisnya. Ustaz Hassan memberi salam sebelum masuk ke dalam kamar. Latifah dan para wanita yang berada di kamar itu memberi laluan kepada Ustaz Hassan serta ahli keluarganya untuk menghampiri jenazah. Mulut Ustaz Hassan terkumat-kamit membaca doa lalu menghembus ke seluruh badan jenazah; bermula dari hujung kaki hingga ke hujung kepala.

Kemudian, Ustaz Hassan meminta isteri dan anak gadisnya serta para wanita yang ada di situ membawa jenazah ke ruang mandi. Ketika asyik menguruskan jenazah, Latifah perasan bahawa wanita berselendang yang duduk di hujung kaki jenazah telah tiada. Latifah berasa aneh.

Latifah bertanya kepada Ustaz Hassan yang kebetulan berada di sampingnya, "Ustaz Hassan, boleh saya tanya sesuatu?"

"Ya, apa dia?"

"Ustaz ada nampak wanita berselendang yang..."

Belum sempat Latifah menghabiskan kata-katanya, Ustaz Hassan terus mencelah, "Ya, saya pun nampak. Alhamdulillah, saya dah cuba halau tadi. In shaa Allah, dah tak ada. Tak tahu dari mana 'dia' datang."

"Hah? Wanita tu bukan manusia ke?" soal Latifah yang agak terkejut dengan jawapan Ustaz Hassan.

"Begitulah nampaknya," balas Ustaz Hassan tenang.

Terkelu lidah Latifah mendengar kata-kata Ustaz Hassan itu. Otaknya ligat berfikir. Siapakah wanita itu?

TAMAT

Sumber : Creepyposta

12 Kisah SeramWhere stories live. Discover now