Aku kucup jari Mark dan lantas aku bangun untuk mengambil iDiari di kaunter dapur. Setelah aku letakkan ibu jari kananku ke butang pengesahan cap jari, cahaya ungu "BACA ENTRI SEMALAM SEKARANG" pun berhenti menyala. Aku tatal hingga ke entri terakhir yang aku masukkan semalam:

11:12: Terjaga dari tidur dengan perasaan hiba. Apa yang aku ketahui ini amat membebankan. Sejam aku menangis di katil. Pada 12:25, aku dapati Mark tertidur di bilik bacaan; aku kejutkannya dan berikan dia hadiah yang aku belikan untuknya – walaupun harijadinya seminggu lagi. Menangis lagi, tidur balik. Kerja-kerja rumah tak aku hiraukan, malah laman pun aku biarkan saja. Makanan tengah hari dan malam tidak kusentuh. Sesekali Mark yang kelihatan risau, menjengukku di bilik. Dia cuba meyakinkan aku yang semuanya akan kembali normal pada keesokan hari. Memang betul kata-katanya. Penderitaan semalam akan hilang bila pagi menjelma. Aku keluar bilik sekejap pada 21:15, sekadar untuk sebiji pisang, pil yang menjadi rutinku dan dua gelas minuman malt. Kembali tidur selepas itu.

Satu penerangan yang tepat tentang apa yang telah berlaku semalam; tetapi terlalu ringkas dan masih tidak menjawab persoalan kenapa aku menangis. Coretan itu hanya menunjukkan kesedihan yang aku rasa semalam telah dicetuskan sesuatu yang berlaku dua hari sebelumnya. Sesuatu yang mengerikan. Aku tatal pula ke entri sebelumnya:

Ribut petir reda pada 09:47. Bawa Nettle berjalan. Makan tengah hari bersendirian di konservatori pada 13:30 – daging panggang dan ubi kentang. Mark makan di bilik bacaan untuk terus sambung mengarang. Bertolak ke Grange Road pada 16:50 untuk berborak panjang dengan Emily sambil minum teh dan makan krumpet. Sebelah malam – tiada yang menarik. Mark kembali ke bilik bacaan untuk terus mengarang. Aku pula duduk melayan TV dan lebihan makanan siang tadi yang telah dipanaskan.

Entri yang ringkas dan kabur itu amat mengecewakan dan membuat aku rasa bingung. Sangkaan aku untuk mendapat penjelasan tentang kesedihan semalam meleset. Aku baca sekali lagi dengan teliti, tetapi hasilnya tetap sama. Mungkin Mark tahu apa yang terjadi dua hari sudah. Mark seorang Duo, jadi tidak seperti aku, dia dapat ingat apa yang berlaku semalam dan hari sebelumnya. Ini yang membezakan Mark daripada kebanyakan kami. Inilah yang membuatkan dia merasa dirinya lebih hebat.

"Saya ingat yang saya asyik menangis semalam," aku berkata sambil melihat kerutan pada wajah Mark masih belum hilang. "Tapi saya tak tahu kenapa."

Ketika mata kami bertembung, aku lihat ada sinar gelap di mata Mark yang tidak dapat aku fahami. Mungkinkah dia marah? Sedih? Atau takut?

Mark berpaling dariku. Dia merenung ke arah orkid rama-ramaku beberapa ketika sebelum menjawab.

"Awak terlupa makan ubat kelmarin," katanya. "Itu sebabnya awak murung semalam."

Mungkin benar kata-kata Mark. Fakta: Sejak 7 April 2013, aku mengambil dua jenis ubat yang diberikan Dr. Helmut Jong dari Hospital Addenbrooke. Setiap hari, aku telan dua biji Lexapro dan sebiji Pristiq. Aku mencapai bekas ubat di atas kaunter, sambil mencari fakta relevan dari ingatanku. Fakta: Aku telah membawa preskripsi dari Dr. Jong ke Farmasi Newnham pada 14:27 pada 1 Jun 2015 untuk mengambil bekalan pil yang baru. 60 biji Lexapro dan 30 biji Pristiq, cukup untuk sebulan.

Pil di dalam bekas ubat berwarna kelabu itu kuhitung. Kalau diikutkan, sepatutnya masih ada berbaki 50 biji Lexapro and 25 Pristiq lagi. Sebaliknya, ada 52 dan 26 setiap satu.

"Betul kata awak," kataku, sambil mengeluh. "Saya terlupa makan pil."

Mark sekadar mendengus, lalu bangun dari kerusinya. Aku dapat rasakan ketegangan yang Mark rasai beransur berkurangan.

"Biar saya kemas semua ni," katanya.

Sementara Mark sibuk di dapur dengan berus dan penadah sampah, aku ke peti sejuk. Dengan perutku yang sudah mula berkeroncong, aku mencapai sebotol susu. Aku tuang selonggok emping jagung ke dalam mangkuk. Sambil memegang sudu, aku duduk di kaunter dapur dan memasang radio. Bunyi statik dari radio memenuhi ruang dapur. Sejurus kemudian, dendang iklan untuk laman web yang membandingkan insurans kereta ke udara. Mark sudah siap menyapu semua serpihan kaca dan telah mengeluarkan sebiji cawan. Diletakkannya satu uncang teh Earl Grey di dalam cawan itu. Nampaknya dia masih mahukan tehnya.

(preview) SEMALAM - sebuah novel Felicia YapWhere stories live. Discover now