Nuqman tersenyum gelihati. Dia menepuk bahu Puteri dari atas selimut.

"Nak solat tak?" Soal Nuqman.

Kepalanya bergerak-gerak di bawah selimut, mengangguk laju.

"Okey, bangun ambik wuduk. Saya pun nak ambik wuduk ni. Saya tunggu kat luar." Nuqman bangun dengan senyuman yang panjang. Subuh yang amat membahagiakan!

Mereka solat Subuh berjemaah. Selesai berdoa, Puteri bersalam dengan mata yang separuh terbuka. Dia masih teramat mengantuk. Badan dan fikirannya bagaikan terawang-awang.

"Awak... saya nak tidur. Ngantuk sangat," pintanya, manja. Nuqman tersenyum. Memang dia sendiri pun mengantuk sebab hanya sempat tidur sejam saja malam tadi.

"Hmm... pergilah tidur. Rehat dulu ya." Puteri mengangguk. Dia bangun melangkah berat ke biliknya. Tak sempat membetulkan letak badannya, dia tertidur dengan telekung yang masih tersarung di kepala.

Nuqman mencapai tasbih. Cuba mengelak dari tidur selepas Subuh. Bila matahari naik segalah nanti, dia akan tidur sekejap kerana dia rasa amat letih dan mengantuk.

Cuaca panas terik. Di hadapannya selautan pasir. Hanya khemah-khemah dan bukit-bukit pasir yang kelihatan di kejauhan. Kakinya makin lemah untuk melangkah. Tetapi dia mesti terus mencari.

Selepas mendaki sebuah bukit tandus berbatu, Puteri terdengar jeritan. Bahasa mereka tak dia fahami. Beberapa orang berpakaian hitam menutup kepala dan muka berdiri menghunus senjata.

Dan... oh Tuhan! Di hadapan mereka beberapa orang lelaki lemah melutut di pasir. Kepala mereka berbalut litup dengan karung hitam dan tangan terikat ke belakang.

"Jangan! Jangan! Tolonglah... jangan!" Dia menjerit, merayu. Rasa takut yang amat sangat menguasai dirinya tapi dia harus tahu. Dia mesti tahu.

Dia berlari di antara mereka. Senjata itu mungkin akan menghala ke jantungnya tetapi dia tidak peduli lagi. Dia harus tahu!

Dia menyentap karung di kepala mereka. Satu demi satu. Bukan! Bukan! Yang ini pun bukan!

"Hey!" Satu suara menyergah. Dia tak peduli. Nak bunuh? Bunuhlah! Lebih baik mati dari dia terus ketakutan mencari begini.

"Ika!" Suara itu! Siapa?

Kepalanya disentuh sesuatu. Entah-entah senjata mereka! Dia berpaling. Tekad. Hanya sepasang mata memandang marah.

Dia kenal mata itu! Tangannya yang mengigil merentap penutup muka.

"Taufiq! Taufiq!" Dia menjerit, meraung. Dia jumpa. Dia jumpa akhirnya! Dia akan bawa Taufiq balik ke pangkuan Maliha!

Mata Taufiq bagaikan menyala. Senjata itu tepat di dahinya. Picu ditarik. Dan...

"Taufiiiiqq!"

"Ika!"

Matanya terbuka. Nafasnya tercungap-cungap. Peluh memercik di dahi, di mana-mana.

"Ika! Awak mimpi...," tangan mengusap rambut Puteri, menenangkannya. Sepasang mata Puteri membulat, terkelip-kelip ketakutan.

"Ss... saya cuma mimpi? Tau-Taufiq tak apa-apa, kan? Taufiq tak ikut ISIS, kan?"

"Taufiq?" Nuqman terkejut. Siapa Taufiq?

"Awak! Malam tadi... awak... awak cakap tentang ISIS... saya cuma mimpi, kan?" Puteri segera bangun mengadap Nuqman. Nuqman menelan liur. Taufiq anak saudara Dr. Mustaffa! Puteri kenal Taufiq?

"Nuqman!" Lengannya digoncang. Nuqman tersentak.

"Ika, bangun dulu. Everything's alright. Ika basuh muka dulu, lepas tu kita sarapan. Saya akan jawab soalan Ika hanya lepas Ika makan, okey?" Teratur dan tenang suaranya. Puteri mengalah. Kepalanya terhenyak semula ke bantal. Dia mengangguk. Patuh.

MAKNA PADA RASAحيث تعيش القصص. اكتشف الآن