Balik Kampung

184 1 0
                                    


BALIK KAMPUNG

===============

Zaki meletakkan beg pakaiannya ke dalam kereta. Dia harus pulang ke kampung pada malam itu juga. Semalam ibunya membebel kerana telah beberapa bulan dia tidak pulang ke kampung. Kekangan kerjanya sejak beberapa bulan ini membuatkan dia tidak dapat pulang ke dengan lebih kerap.

Terngiang-ngiang kata-kata ibunya siang tadi. "Balik lah Ki. Dah lama Zaki tak balik. Mak rindu. Bercakap di telefon tiap-tiap hari, tak sama dengan tengok muka Zaki depan-depan."

Hiba pula hatinya mengingatkan kata-kata ibunya. Kerana itu, dia bertekad untuk pulang pada malam itu juga. Jam telah menunjukkan pukul sembilan malam. Dengan bacaan doa, Zaki memulakan perjalanannya.

Setelah lebih kurang dua jam perjalanan di lebuh raya, Zaki membelok keluar dari plaza tol menuju ke jalan kampungnya. Suasana jalan kampung memang sangat berbeza daripada lebuh raya. Lengang. Hanya sesekali sahaja kelihatan kereta berselisih dengannya.

Perutnya tiba-tiba terasa lapar. Barulah Zaki teringat yang dia belum menjamah apa-apa makanan pun sejak dari petang tadi. Dia terus teringatkan gerai Pak Usop, di simpang masuk ke kampungnya. Gerai tersebut memang biasa disinggahinya apabila pulang ke kampung. Orang-orang kampungnya pun ramai yang suka makan di gerai tersebut.

Jam di tangan dikerling lagi. Selalunya gerai Pak Usop masih dibuka lagi pada waktu-waktu begini. Harap-harap makanan masih banyak lagi. Terbayang pula maggi goreng panas-panas kegemarannya. Air liurnya ditelan. Lapar di perut kian terasa.

Seketika kemudian Zaki tiba di gerai Pak Usop. Nasibnya baik kerana gerai Pak Usop masih terang benderang. Keretanya segera diparkir. Perutnya yang kian berkeroncong harus segera diisi.

"Pak Usop," panggil Zaki sambil terus duduk di sebuah meja di tengah gerai. Pak Usop tersenyum.

"Lama tak balik, Ki," tegur Pak Usop sebaik ternampak Zaki.

"Kerja banyak la Pak Usop," jawab Zaki jujur.

"Iyelah. Ha... Kamu nak makan apa ni?" Tanya Pak Usop tanpa berlengah.

"Maggi goreng ada?" Tanya Zaki. Pak Usop mengangguk.

"Dengan Nescafe panas ye, Pak Usop," sambung Zaki lagi.

Seketika kemudian makanan dan minuman yang dipesan pun sampai. Tanpa bertangguh, Zaki makan dengan berselera.

"Tak ada orang malam ni, Pak Usop?" Tanya Zaki sambil menyudu maggi goreng ke mulut.

"Ada tahlil di masjid tadi. Mungkin semua dah kenyang," jawab Pak Usop sambil duduk di meja sebelah.

Zaki hanya mengangguk. Nescafe panas dihirup perlahan. Nikmat sugguh rasanya. Maggi goreng disudu lagi ke mulut.

"Makan perlahan-lahan Ki," tegur Pak Usop apabila melihat Zaki makan dengan gelojoh.

"Lapar ni, Pak Usop," sahut Zaki.

Pak Usop tersenyum sambil menggeleng perlahan. Tangannya terus mengelap meja bersebelahan.

Zaki menghulurkan wangnya kepada Pak Usop sebaik sahaja makanan dan minumannya dihabiskan.

"Balik dulu Pak Usop," ucap Zaki sambil terus berjalan ke keretanya. Pak Usop hanya mengangkat tangan.

**********

Zaki tersedar apabila penggera di telefon bimbitnya berbunyi. Jam di skrin telefonnya menunjukkan pukul lapan setengah pagi. Zaki terus duduk sambil menggeliat perlahan. Usai solat subuh tadi, Zaki tidur semula. Penat memandu malam tadi masih bersisa.

Selesai mandi dan berpakaian, Zaki terus menuju ke dapur. Dilihatnya, sarapan pagi telah sedia terhidang di atas meja. Adiknya Atirah pula sedang membancuh air minuman.

"Mak ke mana, Tirah?" Tanya Zaki apabila tidak kelihatan kelibat ibunya di mana-mana.

"Ada di luar tu. Ambil serai," terang Atirah sambil membawa seteko air teh ke meja makan.

"Ha, minumlah Zaki," suruh ibunya yang muncul dari pintu dapur sambil menggenggam beberapa batang serai.

"Mak tak minum sama?" Tanya Zaki.

"Mak dah minum lepas subuh tadi. Kamu minumlah, dengan Atirah. Adik kamu pun belum sarapan lagi tu" ujar ibunya.

Bau nasi lemak yang semerbak terus membuatkan Zaki terasa lapar. Dia memang rindukan nasi lemak masakan ibunya. Nasi lemak disenduk segera ke dalam pinggan. Atirah menuangkan air teh lalu disuakan kepada Zaki.

"Pukul berapa sampai malam tadi?" Tanya ibunya sambil menarik kerusi di sebelah Zaki.

"Lewat jugak mak. Dekat-dekat pukul dua belas rasanya," jawab Zaki.

"Nasib baik Tirah belum tidur lagi mak. Kalau tak, tidur dekat luar la abang," sahut Atirah pula. Zaki hanya mencebik.

"Oh ya! Tahlil siapa di masjid malam tadi mak?" Tanya Zaki sambil terus menyuap nasi lemak ke mulut.

"Tahlil untuk arwah Pak Usop Dah seratus hari dia meninggal," jawab ibu Zaki bersahaja.

"Pak Usop? Pak Usop mana?" Tanya Zaki inginkan kepastian.

"Pak Usop yang ada gerai makan kat simpang depan tu," terang ibu Zaki.

Mata Zaki terbeliak. Nasi lemak yang disuapnya tadi rasa tidak tertelan. Tekaknya mula terasa loya apabila memikirkan apa yang dimakannya di gerai Pak Usop malam tadi. Sepantas kilat Zaki berlari ke bilik air. Sebaik sahaja pintu bilik air dibuka, Zaki melambakkan segala isi perutnya. Peluh dingin mula mengalir di dahinya. Matanya seperti mahu terkeluar apabila terlihat cacing dan ulat-ulat yang merenyut di lantai bilik air. Dia pengsan di situ.

- TAMAT -

Balik KampungWhere stories live. Discover now