Hari-Hari Terakhir Seorang YB - Satu Fiksyen Politik Malaysia

Hari-Hari Terakhir Seorang YB - Satu Fiksyen Politik Malaysia

10.4K Reads 124 Votes 30 Part Story
Anuar Shah By KhairulAnuar2 Completed

Aku bukan nak malukan YB dan aku takut kalau-kalau dia baca cerita ni di sini. Tak pasal-pasal aku disaman atau lebih teruk lagi, kaki aku kena patah. YB panas baran. Selain tu dia kenal ramai gangster. Setakat kena patah kaki tu kira dah cukup ok. Tak pasal-pasal nyawa aku pun boleh melayang. 

Tapi, aku dah tak tahan. Aku rasa semua orang kena tahu tentang cerita YB ni. Aku kena dedahkan kepada semua bagaimana aku mengenali seorang YB yang kaki minum, kaki perempuan dan kaki segala maksiat tetapi tetap dia jadi YB yang diundi oleh pengundi-pengundi di kawasannya setiap kali pilihanraya umum. Mungkin itu bukan sesuatu yang pelik atau asing kepada orang Malaysia tetapi macam aku cakap tadi, aku dah tengok terlalu banyak benda yang perlu didedahkan kepada khalayak ramai.

Biar lah aku pertaruhkan kerjaya dan kebebasan aku sebelum aku diheret sekali. Samada diheret ke penjara atau ke neraka. Aku ingin diri aku bebas daripada perasaan yang berat ini.

Molek kiranya aku mulakan cerita aku di penghujung. 

Aku memang faham sangat-sangat jika YB menelefon aku lebih dari pukul 12 tengah malam bermakna ada sesuatu yang penting telah berlaku. Memang benar apabila aku tiba di restoran mamak yang menjadi tempat pertemuan kebiasaan kami, di meja yang didudukinya dipenuhi juga dengan setiausaha bahagiannya, pembantu peribadinya dan juga seorang yang aku tidak kenali. Jarang aku dipanggil untuk melibatkan diri dalam apa-apa perbincangan mengenai politik. Kecuali jika ia melibatkan pilihanraya.

Dalam dua minggu kebelakangan ini, topik bila pilihanraya akan diadakan telah menjadi topik perbualan di kedai kopi yang tidak lekang daripada diperkatakan. PM telah memberi beberapa bayangan yang Parlimen akan dibubarkan dan pilihanraya akan diadakan di merata tempat. Aku seperti rakyat Malaysia yang lain mendengar pengumuman ini dan membiarkan ia keluar di telinga kanan ku kerana sejak Oktober 2007, berita pilihanraya acap kali dicanang akan diumumkan oleh pelbagai pihak.

No comments listed yet.