TAK ADA CINTA SEPERTIMU

By dearnovels

335K 2.3K 177

WHATSAPP 013 2588069 www.dearnovels.my Tajuk: TAK ADA CINTA SEPERTIMU Penulis: ANNA MILIA ISBN: 978-967-2116... More

BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 9
BAB 10

BAB 8

27.5K 150 0
By dearnovels

SEMINGGU Hazran di Kuala Lumpur, Athea mengharapkan panggilan telefon daripada lelaki itu. Kalau bukan untuk berbual kosong dengannya, mungkin sekadar bertanyakan khabar Smokey. Namun, lelaki itu tidak pernah menghubunginya.

Sepatutnya Hazran pulang semalam jika benar kursusnya satu minggu. Tapi, kenapa dia tidak datang mengambil Smokey? Mungkin dia sampai lewat kut. Itu yang tak sempat nak ambik Smokey.

Athea sengaja melalui lorong rumah Hazran dalam perjalanan ke tempat kerjanya. Kereta lelaki itu tidak kelihatan di dalam kawasan rumah memberitahunya yang lelaki itu belum pulang dari Kuala Lumpur.

Athea meraup wajahnya sambil beristighfar. Ya Allah! Apa yang aku buat ni? Tak pernah-pernah lalu jalan ni. Adoi! Muhasabah diri, Athea. Jangan simpan angan-angan. Dia kan tunang orang?

ATHEA hanya membisu apabila masuk ke pejabat setelah mengadakan pertemuan dengan Encik Yassin. Sepatutnya dia gembira apabila Encik Yassin menerima semua ideanya, tapi disebabkan Hazran, emosinya terasa terganggu.

"Kau kenapa? Pasal Encik Yassin ke?" tanya Intan.

Athea menggeleng. "Dia okey. Kerja boleh mula lusa."

"Habis tu, macam ayam berak kapur ni kenapa? Dua hero tu?" tanya Intan merujuk kepada Qayyum dan Qaleef.

"Tak. Hero ketiga," ujar Athea tanpa sedar.

Namun, apabila tersedar yang dia terlepas cakap, terus tubuhnya yang duduk bersandar malas ditegakkan. Matanya bulat memandang Intan dengan harapan wanita itu tidak mendengar kata-katanya tadi.

Namun, daripada riak wajah teruja Intan, dia yakin Intan mendengarnya. Athea bergegas bangun. "Aku nak keluar survey barang."

Intan menerpa ke arah Athea lalu menghalang laluannya. "Kau jangan main lari-lari macam ni. Kau cerita dulu kat aku, siapa hero ketiga tu?"

"Siapa lagi, ayah akulah."

"Bohong! Kau takkan sebut hero untuk orang tua tu. Aku bukan kenal kau dua tiga hari. Cakaplah cepat, siapa yang kau maksudkan tu?"

"Tak ada sesiapalah. Sibuk ajelah kau ni." Athea menepis tangan Intan yang sengaja didepa untuk menghalang laluannya.

"Cakaplah," rengek Intan sambil menggoncang tangan Athea.

Damia yang sedari tadi membuat lakaran di dalam buku catatannya menjeling. Apalah masalah mereka berdua ni. Gedik semacam.

"Intan, aku ada kerja nak buat ni. Boleh tak kau jangan lengahkan masa aku."

"No! No! No!" ujar Intan sambil menggoyangkan jari telunjuknya di hadapan wajah Athea.

Athea mengacah untuk meloloskan diri, namun Intan pantas menghalang. Tawa Athea dan Intan beradu.

"Kalau cekap, cubalah lepaskan diri kau. Kalau aku dapat tangkap, nahas kau," ugut Intan dalam tawa yang masih berbaki.

Gaya mereka dah macam kanak-kanak bermain polis entri.

"Hoi! Bisinglah. Bos dengar nanti, padan muka kau orang," tegur Fatin dengan wajah ketat.

"Cakaplah. Singa manja tu dah marah," bisik Intan.

"Okeylah, hero ketiga tu Khairy Jamaluddin a.k.a KJ," bohong Athea.

Berkerut dahi Intan mendengarkan sebaris nama yang disebut oleh Athea. Kealpaan Intan membolehkan Athea meloloskan dirinya.

"Khairy? Woi! YB Khairy? Kau kenakan aku. Mana boleh main petik-petik nama macam tu aje?" jerit Intan dari tingkat atas.

Athea yang berlari menuruni anak tangga dipandang dengan rasa sebal. Kenapa otaknya lambat sangat tadi mengesan penipuan Athea? Bukan dia tak tahu Athea memang minat sungguh dengan makhluk Allah itu sejak mereka belajar di UiTM lagi.

"Mana ada suka-suka petik. Aku memang admire dia, kan?" jerit Athea dari anak tangga paling bawah.

"Suami oranglah!" jerit Intan.

Athea tunduk kemudian tayang wajah sedih kepada Intan.

"Itulah masalahnya. Dah jadi hak orang," ujar Athea. Dia merujuk kepada Hazran yang sudah pun bertunang, bukannya YB KJ.

Berubah wajah Intan. Biar betul Athea ni. Ada ke orang admire sampai tahap macam ni? Macam meroyan pun ya juga. Dua saat kemudian,

"Hok aloh! Dia tipu aku ni. Siap kau esok. Kita tunggu, kau nak petik nama siapa pula?" Intan membebel sambil melangkah masuk semula ke pejabat.

HAZRAN tiba di hadapan rumah Athea pada pukul 6.00 petang untuk mengambil Smokey. Qaleef yang sedang bermain dengan rakan-rakannya berlari mendapatkan Hazran. Dia tersengih kepada lelaki itu sebelum melaung kepada Athea yang berada di dalam rumah.

"Ma, abang handsome dah datang!" jerit Qaleef.

Beberapa orang jiran yang duduk berbual di hadapan rumah Athea mencuri pandang.

Hazran tunduk sambil mengusap tengkuknya. Segan dengan panggilan ganti nama yang digunakan oleh Qaleef. Hazran hanya menunggu di pintu pagar sahaja memandangkan wanita-wanita tadi masih memandangnya.

Athea keluar dengan mendukung Smokey.

"Qaleef, tolong ambil carrier," suruh Athea apabila dilihat Qaleef ingin keluar semula bermain bersama rakan-rakannya.

Qaleef berlari masuk ke dalam rumah.

"Nah!" Athea menghulurkan Smokey kepada Hazran. Lelaki itu terus mencium wajah Smokey.

"Thanks." Hazran meletakkan Smokey di dalam kereta dan menutup pintu.

Athea memanggil-manggil Smokey dari luar. "Meow. Meow, bye-bye Smokey. Be a good boy. Meow."

Hazran tersenyum sambil menggeleng kepala. Tidak tahu kenapa, tapi dia memang suka dengar Athea buat bunyi kucing. Hazran menghampiri Athea. Sekeping sampul dihulurkan kepada Athea.

"Apa ni?" Athea tidak menyambut sampul itu.

"Tanda terima kasih."

"Ada apa dalam ni?"

"Duit."

"Kami jaga dia ikhlas. Qaleef dah sayang sangat dekat Smokey. Saya tak boleh terima duit ni."

"Tak bermakna awak tak ikhlas kalau awak ambil duit ni. Kalau saya hantar dia ke hotel pun, kena bayaran, kan? Apa salahnya kalau saya nak sedekahkan duit ni kepada Qaleef dan Qayyum."

Athea menggeleng. "Simpanlah duit awak tu."

"This is not for you, Cik Meow. Ini untuk mereka. Tak baik tolak rezeki anak."

Mendengarkan kata-kata Hazran, Athea mengalah. Sampul bertukar tangan. Athea sempat menjeling jiran-jirannya. Seperti yang diduga, dia dan Hazran menjadi tumpuan mereka. Athea mula tidak selesa untuk berbual lebih lama.

"Saya masuk dulu," ujar Athea.

Saat itu juga Qaleef berlari menghampiri Hazran. Carrier dihulurkan kepada lelaki itu. Sebelah tangan Hazran memegang carrier manakala tangan kirinya sempat menangkap tubuh Qaleef daripada berlari mendapatkan rakan-rakannya. Carrier diletakkan di atas tanah. Hazran tunduk dan memegang bahu Qaleef.

"Next time, panggil Abang Hazran. Tak mahu dah panggil abang handsome. Malu orang dengar," pesan Hazran dalam nada berbisik.

Qaleef mengangguk. Athea tersenyum.

Hazran melepaskan bahu Qaleef. "Okey! Qaleef dah boleh pergi main."

"Saya balik dulu," ujar Hazran sambil melirik kepada Athea.

Athea tidak lagi berdiri menunggu sehingga Hazran meninggalkan rumahnya. Dia terus mengangguk dan melangkah masuk ke dalam rumah.

Sampul dibuka. Athea mencongak. Terdapat RM 120. Hazran membayar jumlah yang sama jika Smokey dihantar boarding untuk lapan malam. Athea senyum segaris. Dalam kerek Hazran, lelaki itu sebenarnya pemurah.

Salam. Banyak sangat duit yang awak bagi kepada mereka. - Athea

Tiada balasan daripada Hazran. Setelah satu jam, masih belum ada balasan daripada lelaki itu meskipun Hazran sudah membaca mesej yang dihantarnya. Dua jam kemudian dan sehingga keesokan harinya, Hazran masih tidak membalas mesejnya. Athea malu sendiri.

'>Atheaseny0MF

Continue Reading

You'll Also Like

72.6K 5.6K 25
Baihaqi, seorang jejaka yang berumur 34 tahun dan telah berkahwin dengan seorang gadis yang berumur 23 tahun yang bernama Aleesya Qaisara. Konflik be...
504K 38.9K 39
Kehidupan Amsyar Dizhwar dan Haura Mikayla semakin penuh dengan kemanisan selepas hadirnya cahaya mata pertama, Emir Raees. Namun bagi Haura, masih a...
85.1K 2.4K 77
I will love you until the end of my life . - HARIS DANIEL Sara, seorang wanita yang berdikari dan bekerja di klinik pergigian, hidup dengan rutin yan...
120K 5.2K 63
[TAMAT] PEREMPUAN adalah kelemahan terbesar seorang lelaki. 𝐖𝐀𝐑𝐍𝐈𝐍𝐆❗️‼️❗️‼️ 𝘊𝘦𝘳𝘪𝘵𝘢 𝘪𝘯𝘪 𝘥𝘪𝘵𝘶𝘭𝘪𝘴 𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘴𝘢𝘺𝘢 𝘴𝘦𝘯𝘥𝘪𝘳�...