SEPERTI yang dijanjikan, Hazran menghantar Smokey ke rumah Athea. Jarak di antara rumah mereka hanyalah 400 meter. Mereka menetap di kawasan perumahan yang sama, di Sri Casa Menora. Bezanya, Athea tinggal di kawasan rumah berkembar dua sementara Hazran di kawasan lot banglo.
"Masuklah dulu," pelawa Athea.
Hazran meletakkan carrier di atas lantai kemudian menanggalkan kasutnya.
Athea mencangkung di hadapan carrier. "Meow, meow. Smokey, meow. Ingat mama lagi tak? Meow."
Hazran mencuri pandang aksi manja Athea. Dia senyum sendiri.
Athea mengangkat carrier lalu dibawa masuk ke dalam rumah. Hazran membuntuti langkah Athea.
Ketika Hazran melabuhkan punggung di ruang tamu, Qayyum dan Qaleef menghampirinya untuk bersalaman. Ketika mereka tunduk mencium tangannya, spontan kepala anak-anak itu diusap.
Qayyum dan Qaleef bersila di hadapan carrier. Mereka mengintai Smokey dari celah besi pintu carrier. Hazran dan Qayyum ralit memerhatikan telatah Qaleef yang mengagah Smokey.
"Bawalah dia keluar," suruh Hazran kepada Qaleef.
Athea kembali ke ruang tamu dengan membawa minuman dan roti bakar. "Jemput minum."
Hazran mengerling roti bakar yang di atasnya ada sebiji telur separuh masak yang meleleh. Bau lada sulah menyengat hidungnya. Athea macam tahu-tahu yang dia belum bersarapan.
"Ma, boleh tak nak bagi Smokey ayam?"
"Qayyum, tolong ambil ayam yang atas cabinet tu. Mama dah carikkan isinya."
Qayyum bangun dan menuju ke dapur.
"Cantik rumah. Awak design sendiri?"
Athea mengangguk. "Modal kecil aje."
"Awak sewa atau beli?"
"Sewa aje. Nak beli kucing pun tak mampu, apatah lagi nak beli rumah."
Hazran tersenyum kelat. Rasa macam disindir satu das oleh Athea.
"Berapa lama awak ke KL?"
"Seminggu."
"Eh, jemput minum. Sarapan simple aje ni. Malas nak keluar cari nasi lemak. Awak makan tak roti bakar?"
"Makan aje, tak ada masalah. Saya bukan jenis yang cerewet bab makan."
Qayyum kembali semula dengan membawa semangkuk ayam rebus. Smokey yang terhidu bau ayam terus melompat turun daripada ribaan Qaleef. Smokey berjalan laju mengekori langkah Qayyum. Apabila bekas itu diletakkan di atas lantai, Smokey terus meluru dan makan dengan penuh selera.
Tergamam Hazran seketika melihat betapa berseleranya Smokey makan. Memilih juga Smokey ni, ya? Daging rebus dalam tin tidak dilayannya. Daging rebus fresh juga yang dipulunnya.
"Tengok Smokey makan, saya pun lapar," seloroh Hazran.
Athea ketawa kecil. "Makanlah. Air pun dah sejuk tu. Terima kasih Hazran sebab benarkan Smokey tinggal dengan kami."
"Actually this is a win-win situation. Qaleef gets to play with Smokey. Saya pula tak risau pasal dia. Rasanya Smokey pun seronok tinggal kat sini daripada dikurung di dalam sangkar di cat's hotel." Hazran sambung makan.
Athea ralit memerhatikan Hazran mengunyah makanan. Kacak giler. Wajah yang saling tak tumpah seperti Peter Porte tidak jemu dipandang. Kalau diletakkan mamat ni dua tiga jam di hadapannya, belum tentu dia jemu untuk terus menatap.
"Tunang saya tak suka kucing. Tak tahulah bila kami dah kahwin nanti macam mana." Hazran bercerita sebelum meneruskan suapan.
Dah bertunang? Huhuhu! Athea tersenyum kelat apabila Hazran tiba-tiba sahaja memandangnya. Semua lelaki kacak dan baik macam Hazran biasanya memang unavailable. Kalau ada pun, mesti mereka berfikir 10 kali sebelum mendekatinya. Ramai yang menyangka dirinya janda beranak dua. Kalau ada yang cuba mendekatinya, datang daripada spesies duda-duda.
"Awak pula macam mana?" tanya Hazran sebelum menyuap potongan roti ke dalam mulut.
Athea mengerutkan dahi. "Maksud awak?"
"Awak ada suami? Tunang atau steady boyfriend? Takut juga kalau ada yang cemburu saya datang sini."
Athea ketawa kecil. "Saya yang perlu takut. Mana tahu kalau tunang awak tak suka kami jaga Smokey. Berbalik pada soalan awak tadi tu, tumpuan saya hanya untuk Qayyum dan Qaleef buat masa sekarang."
"Klise," komen Hazran spontan tanpa sempat ditapis. "Tak nak cari ayah untuk budak-budak tu?"
Athea menggeleng.
"Ni mesti Qaleef dah buka rahsia tentang mak ayah kandung dia, kan?" teka Athea.
Hazran senyum sambil mengangguk. "To tell you the truth, I was eager to know. Mana ada orang kahwin umur 12 tahun zaman sekarang ni."
Athea ketawa. "Mesti awak ingat saya janda, kan?"
Hazran ketawa besar. "So, sekarang ni dah tak boleh panggil puanlah ya?"
"Panggil Atea aje."
"Nope! Macam rare nama awak tu. Susah nak sebut. Cik Meow suits you."
Bulat mata Athea memandang Hazran. "Kenapa macam tu pula?"
"Entah. Macam sesuai aje dengan awak. Lagipun saya suka dengar awak bunyi kucing. Sebijik macam kucing."
Athea teringatkan sesuatu. Rasanya sudah beberapa kali lelaki itu memanggilnya dengan panggilan itu. "Masa saya block kereta awak, nama tu yang awak panggil, kan? Puan Meow?"
"Betullah tu. Tapi, bila tengok muka bengis awak, terus tak jadi nak ulang sebut," terang Hazran sambil ketawa kecil.
"Masa call hari tu pun, masih panggil Meow juga, kan?"
"Like I told you just now, the name suits you well."
Athea mengerutkan dahinya. "Macam tak senonoh aje nama tu."
Hazran tidak dapat mengawal reaksinya. Dia menghamburkan tawa. Sungguh! Saat itu, dia berasa terhibur berbual dengan Athea. Usai menghabiskan sarapan, Hazran bersuara kembali.
"Saya rasa apa yang awak buat untuk mereka berdua sangat mulia. Bukan mudah nak pikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal dan membesarkan mereka."
Senyum Athea semakin pudar apabila mendengarkan pujian Hazran. Hazran tidak tahu banyak perkara yang terpaksa dia lepaskan apabila memilih untuk menjaga anak-anak saudaranya itu.
"Kadangkala ada juga rasa terbeban terutamanya Qayyum. Tapi, kalau bukan saya yang jaga mereka, siapa lagi?"
"Apa hubungan awak dengan mak ayah mereka?"
"Ibu mereka kakak saya. Kami dua beradik aje."
"Keluarga sebelah ayah mereka?"
Athea tersenyum kelat. Biarlah aib keluarga arwah abang iparnya disembunyikan.
"Saya sukarela nak jaga mereka. Lagipun mereka memang rapat dengan saya." Athea menggeleng tanpa sedar.
Reaksinya menarik perhatian Hazran. "Kenapa? Awak tak selesa ke saya tanya pasal keluarga awak?"
"Eh! Tak! Saya cuma sedang fikir apa lagi yang Qaleef cerita kepada awak.
Hazran ketawa kecil. "Jangan risau. Dia cuma bagi tahu yang awak bukan mak kandung dia. Itu pun sebab saya bertanya. Saya ni kadang-kadang ada sindrom ingin tahu yang sangat tinggi lebih-lebih lagi bila awak beritahu kahwin pada usia nak ambil UPSR."
"Maknanya saya nampak mudalah, ya?" tanya Athea dalam nada bergurau.
"Muda sangat. I suppose you're 24 or 25, right?"
Athea tersengih. Kepala diangguk beberapa kali. Pandai Hazran meneka. "24."
"I really like your house."
Ada sahaja modal Hazran untuk berbual. Athea pula langsung tidak bosan melayan Hazran. Dia senyum apabila mendengar pujian lelaki itu.
"Boleh tak kalau saya nak minta awak buat design untuk rumah saya? Bella asyik kompelin pasal interior design rumah saya. Maybe you can figure out something that suits her taste."
Athea senyum segaris. Dah nak kahwin Mr. Kerek Handsome ni.
"Sayang sungguh awak kepada dia," komen Athea ikhlas.
"Mestilah. She is my soulmate. So, macam mana? Boleh tolong? Saya perlu deal dengan awak atau terus ke Mekarsary?"
"Dengan saya teruslah. Barulah dapat percent lebih sikit daripada bos kalau kami yang cari pelanggan."
"Bila boleh mula? Lepas saya balik KL boleh tak?"
Athea terdiam sambil memikirkan jadual kerjanya yang agak padat. "Rasanya tak dapat kut. Kalau sebulan daripada sekarang, Insya-Allah sebab jadual saya pack sangat. Tapi, kalau awak nak cepat, saya boleh pas kat Damia. Dia pun okey juga."
"Nope. Saya nak awak yang buat. Kenduri lambat lagi. Take your time, Cik Meow."
Athea menjeling maja apabila Hazran sekali lagi memanggilnya dengan panggilan Cik Meow. Dalam hati bukan main suka bila dia diberikan panggilan manja. Tolak tepilah nama komersial ke tidak.