QALEEF yang duduk di tepi padang mencuri-curi pandang rumah Hazran. Lelaki itu sudah pulang kira-kira setengah jam yang lalu. Qaleef masih berbelah bahagi sama ada mahu ke rumah Hazran atau tidak. Dia ingin bertemu dengan Lulu.
Akhirnya Qaleef bangun lalu menonong menuju ke rumah Hazran. Loceng pada tembok pagar ditekan beberapa kali. Dia perlu berjumpa dengan Lulu hari ini. Cukuplah tiga hari dia tidak dapat memeluk cium kucing kesayangannya itu.
Seketika kemudian, Hazran muncul di pintu utama.
"Ada apa Qaleef?" sapa Hazran sambil tayang wajah menyampah.
Orang baru aje balik kerja. Ni pun bawa balik lagi kerja yang tak dapat disiapkan di pejabat tadi. Letih nak mampus. Time inilah dia menyemak kat sini, bebel Hazran dalam hati.
"Boleh tak Qaleef nak tengok Smokey? Sekejap pun jadilah. Qaleef rindu kat dia." Qaleef tayang memek wajah memang tak boleh blah.
Sesiapa yang tengok pasti tidak tergamak untuk menghampakannya. Tambah pula dengan wajah montel Qaleef.
Sayu hati Hazran mendengar kata-kata Qaleef. Suis pintu pagar ditekan. "Jom masuk."
Qaleef melangkah masuk ke dalam rumah Hazran. Dia memandang sekeliling ruang tamu. "Smokey kat mana abang?"
"Bilik belakang."
Qaleef membuntuti langkah Hazran ke bilik yang terletak bertentangan dapur.
"Smokey!" jerit Qaleef girang.
Dia terus mengangkat Smokey lalu dipeluk. Muka kucing itu dicium bertalu-talu.
"Abang rindu Lulu." Qaleef membahasakan dirinya abang.
"Mama dan Abang Qayyum pun rindu Lulu. Semalam kami tengok gambar Lulu dalam telefon. Mama kata sunyi bila Lulu tak ada." Qaleef berbual bersama kucingnya. Bersungguh-sungguh dia bercerita seolah-olah kucing itu memahami percakapannya.
Hazran menarik nafas dalam. Dia kasihankan Qaleef. Jelas kelihatan Qaleef sangat menyayangi Smokey. "Boleh tak Qaleef tolong abang?"
"Apa dia?" tanya Qaleef lurus. Dia sanggup tolong apa sahaja asalkan dapat bermain dengan Lulu.
"Tolong jangan panggil dia Lulu. Nama dia Smokey. Dia ni kucing jantan. Nanti tak pasal-pasal dia confuse pula."
Qaleef sengih. "Okey. Qaleef panggil dia Smokey walaupun nama tu tak sedap langsung."
Hek eleh! Sesedap rasa saja dia nak kutuk nama kucing aku. Karang tak bagi main baru tahu. Hazran merenung gelagat Qaleef yang membelek telinga Smokey.
"Telinga dia dah kotor ni. Ni mesti abang tak cuci. Mama cuci telinga dia setiap malam dengan cotton bud." Qaleef bercerita.
Hazran malas mahu melayan. Bandingkan aku dengan mak dialah tu.
"Qaleef main kat sini aje, jangan bawa dia keluar. Abang ada kerja nak buat," pesan Hazran.
Qaleef mengangguk.
Hazran menyambung kerjanya yang belum siap. Fokusnya pada komputer riba yang diletakkan di atas riba. Setiap hari dia membawa pulang kerja pejabatnya ke rumah. Atas alasan itu jugalah dia tidak punya banyak masa untuk berdating dengan Bella.
Kedengaran suara ketawa Qaleef yang bermain dengan Smokey. Hazran memandang jam tangannya.
"Hisy! Dah hampir pukul 7.00." Hazran bangun lalu menyusun langkah untuk mendapatkan Qaleef.
"Dah hampir maghrib ni. Nanti mama Qaleef susah hati pula."
Qaleef yang mengusap belakang kepala Smokey mengangkat wajahnya.
"Alah, dah nak kena baliklah, Smokey. Nanti bila ada masa, abang datang lagi. Smokey jangan lupa abang tau."
"Kalau Qaleef masih nak bermain dengan Smokey, boleh. Tapi, kena bagi tahu mama dulu."
Mata Qaleef bersinar. Dia mengangguk laju. "Nak, nak."
"Ingat nombor telefon mama?"
Qaleef mengangguk. Nombor telefon Athea diberikan kepada Hazran. "Abang call mama, Qaleef pergi beritahu Abang Qayyum. Nanti kesian pula dia risaukan Qaleef."
Qaleef bangun dan berlari ke pintu.
"Qaleef!" panggil Hazran.
"Ya, abang?"
"Apa nama mama Qaleef?"
"Athea."
"Sekali lagi?"
"Athea. A.T.H.E.A."
Hazran senyum apabila Qaleef siap mengeja nama mamanya. Pelik nama itu. Susah juga nak menyebutnya.
"Helo," ujar Athea. Nombor yang tertera pada telefonnya tidak dikenalinya.
"Helo."
"Puan Meow?"
"Hah? Apa dia awak cakap tadi?" Grrr!!!
"Maksud saya, Puan Athea. Ini Puan Athea ke?"
"Ya, saya. Siapa ni?" Athea memerah otak meneka siapa yang berada di talian.
Rasanya mamat kerek handsome kerana lelaki itu pernah memanggilnya dengan nama tidak senonoh itu.
"Saya Hazran."
"Hazran? Maaf. Hazran mana satu ya? Saya tak ingat siapa awak." Athea buat-buat tak kenal.
"Hazran yang berebut Panadol dengan awak. Yang cermin tingkapnya dipecahkan dan yang terbaru kucing dia dicuri."
"Ya, ya, saya dah ingat. Ada apa Encik Hazran? Mana awak dapat nombor saya?" tanya Athea dingin.
"Qaleef yang bagi. Dia ada dengan saya sekarang ni."
"Ya Allah! Apa pula yang anak-anak saya buat kali ni?" Athea bersuara panik.
Hazran ketawa kecil. "No, no. Mereka tak ada buat apa-apa. Qaleef datang rumah saya tadi. Dia minta izin nak main dengan Smokey. Biarlah dia main lama sikit. Smokey pun manja aje dengan dia. Malam nanti saya hantar dia balik. Boleh tak?"
Athea terdiam.
"Boleh saya cakap dengan dia?" pinta Athea.
"Dia pergi ke padang nak bagi tahu Qayyum yang saya akan hantar dia balik."
"Oh! Okay. Tak menyusahkan awak ke?"
"Taklah."
"Kalau macam tu, okeylah."
"ABANG, nak solat sekali boleh?" tanya Qaleef apabila melihat Hazran sudah pun berkain pelekat dan bersongkok.
Bulat mata Hazran memandang Qaleef. Baiknya budak ni. Baru lapan tahun dah boleh solat tanpa disuruh.
"Jomlah. Qaleef jadi imam ya?"
"Mana boleh. Qaleef kecil lagi. Abanglah jadi imam."
Hazran senyum. "Tahu iqamat?"
Qaleef mengangguk. Usai Qaleef membaca iqamat, Hazran memuji kepetahan anak itu dalam hatinya. Pandai mak dan ayahnya mendidik anak.
Usai mengerjakan solat maghrib, Qaleef meluru semula ke bilik belakang. Dia mengeluh kecewa apabila Smokey tidur. Dia keluar semula dengan wajah mendung.
"Kenapa?" tanya Hazran yang baru membuka semula komputer ribanya.
"Smokey tidur."
"Dia tidur main-main aje. Kejap lagi bangunlah. Meh, duduk sini dekat abang."
Qaleef menurut.
"Abang nak puji Qaleef sebab solat tanpa disuruh."
Qaleef tayang sengih. Mungkin segan apabila dipuji, teka Hazran.
"Kalau tak solat, balik nanti mama bising. Dia bagi ceramah free."
Hazran ketawa lepas. Hidung Qaleef dicuit. Memang itu tabiat Hazran. Dia suka mencuit hidung. Selalu yang jadi mangsanya ialah Bella.
"Apa maksud Qaleef ayah dah tak ada?" Hazran cuba mencungkil rahsia.
"Mana abang tahu ayah tak ada?" tanya Qaleef. Dia lupa yang dia pernah memberitahu Hazran tentang perkara itu.
"Kan Qaleef ada beritahu abang masa mama pasang plastik pada tingkap rumah abang."
Qaleef sengih. Ya tak ya juga. Dia terlupa. "Ayah dah mati. Mama pun dah mati."
Hazran mengerutkan keningnya.
"Mama Athea tu mak su kami," terang Qaleef apabila melihat reaksi Hazran.
"Jadi, Mama Athea tu bukan ibu kandung Qaleef dan Qayyum?"
Qaleef mengangguk.
Hazran mengusap kepala Qaleef. Bagaimana kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu meninggal dunia? Biarlah dia bertanya sendiri kepada Athea. Soalan tadi pun rasanya sudah mengganggu emosi Qaleef.
"Pergilah tengok Smokey. Mungkin dia dah bangun tidur."
Qaleef melompat turun dari sofa dan berlari semula ke bilik belakang.
Hazran senyum sendiri. Kahwin umur 12 tahun konon. Pandai saja dia nak bergurau dengan aku. Hati Hazran memuji Athea. Bukan mudah memikul tanggungjawab sebesar itu tanpa seorang ketua keluarga di sisinya.