"MAMA, boleh tak Qaleef ikut abang pergi padang?"
Soalan yang sama itu sudah tiga kali diajukan kepada Athea. Si ibu yang sedang membaca majalah InTrend menoleh.
"Berapa kali nak kena beritahu Qaleef? Abang bolehlah ke padang. Dia dah besar. Kamu tu kecil lagi. Baru darjah dua. Mana boleh main bola dengan mereka? Silap-silap kamu yang jadi bola."
Qaleef mendengus marah. "Qaleef nak bawa Lulu jalan-jalan. Bukan nak main bola pun."
"Kalau Lulu terlepas macam mana?"
"Qaleef ikat dia dengan tali. Qaleef janji jaga dia elok-elok. Bolehlah, ma. Dia macam boring aje duduk rumah, tak ada kawan." Qaleef tayang wajah mengharap sambil tangannya giat mengusap bulu si bulus.
"Yalah! Yalah! Qayyum, jaga adik kamu. Jangan duk main bola aje."
"Alright, ma. Jom Qaleef." Qayyum bersuara.
Athea mengerling jam dinding. "Dah solat belum?"
Langkah anak-anaknya terhenti.
"Belum," jawab mereka serentak.
"Kalau tak ingatkan tadi, pakai tak solatlah, kan?"
Qayyum dan Qaleed tersengih. Qaleef meletakkan Lulu di atas riba Athea lalu berlari masuk ke bilik air. Dengan sebelah tangan, Athea membetulkan duduk Lulu. Bulu kucing comel itu diusap.
"Hai Lulu, nak pergi jalan-jalan ek dengan Abang Qaleef?" Athea bermain dengan Lulu sementara menunggu anak-anaknya selesai bersolat.
QALEEF membawa Lulu berjalan-jalan keliling padang permainan sementara Qayyum bermain bola bersama rakan-rakannya. Hazran yang baru pulang daripada kerja tersenyum apabila terpandangkan kelincahan Qayyum bermain bola sepak.
"Hurmm, dah habis tempoh berkurunglah tu," gumam Hazran.
Matanya melirik pula kepada Qaleef yang sedang mendukung seekor kucing. Terus sahaja Hazran merapati Qaleef. Dia memang peminat kucing.
Sungguh! Hazran terkejut apabila melihat kucing yang berada di dalam pelukan Qaleef. Mukanya sama, warnanya sama, spesies yang sama. Pendek kata, semuanya sama kecuali saiznya sahaja. Logiklah kerana kucing itu sudah tiga bulan hilang dek kecuaian Bella.
Lulu pula melompat turun dan mula melingkari kaki Hazran. Melihatkan reaksi manja kucing itu, dia mengucapkan syukur. Terus sahaja dia tunduk dan mengambil Lulu di kakinya. Kucing itu dicium penuh kasih. Dia yakin kucing itu adalah miliknya.
"Smokey daddy dah balik," ujar Hazran penuh emosi.
Qaleef tidak berkedip memandang Hazran dan telatah manja Lulu yang menjilat mula Hazran. Wajahnya terus berubah mendung.
"Bagi balik Lulu, Qaleef dah nak balik rumah ni." Qaleef cuba mengambil Lulu daripada pelukan Hazran.
"Wait,wait,wait. Mana Qaleef dapat kucing ni?"
"Mama beli," bohong Qaleef.
Kalau dia beritahu dia yang jumpa kucing itu beberapa bulan lalu, pasti Hazran akan mengambil Lulu daripadanya. Dia sangat sayangkan haiwan itu.
"Ya? Beli daripada siapa?"
"Manalah Qaleef tahu. Tanyalah mama," jawab Qaleef dengan nada marah.
"Kucing ni sama macam kucing abang yang hilang," ujar Hazran untuk memancing reaksi Qaleef. Wajah kanak-kanak itu kelihatan serba salah.
"Ini kucing saya!" Jeritan Qaleef membuatkan Hazran terkejut.
"Okay fine! Fine!" Hazran angkat kedua-dua tangannya tanda mengalah. Sama macam mak dia juga. Suka menjerit.
"Mana rumah Qaleef? Abang nak bercakap dengan mama awak."
Qaleef semakin jelas tertekan. Wajah yang mula menahan tangis itu dipandang. Kalau benar kucing itu dibeli, kenapa perlu takut? Kenapa riak wajah Qaleef begitu gelisah? Sah itu bukan kucing Qaleef. Puan Meow dan anak-anak mencuri Smokey.
"Kenapa abang nak jumpa mama? Nak ambil kucing ni daripada Qaleef ke?" soal anak itu polos.
Hazran pula yang serba salah. Tapi, itu memang kucingnya. Itu haknya. Dia juga sayangkan Smokey.
HAZRAN membawa Qaleef dan Smokey menaiki keretanya menuju ke rumah Athea.
Athea yang jelas terkejut dengan kehadiran Hazran di rumahnya mula risau. Apa lagi kesalahan anaknya kali ini. Qaleef yang sedang menangis dipandang.
"Apa salah anak-anak saya pula kali ni?"
"Anak awak curi kucing saya."
"Whoa! Whoa! Whoa! Mind your words. Awak tuduh anak saya pencuri?" Suara Athea naik beberapa oktaf.
Hazran terkedu. Salahnya juga kerana terus menuduh Qaleef mencuri. Sepatutnya dia mengucapkan mukadimah yang lebih sopan.
"But that is my cat," ujar Hazran sambil menuding jarinya ke arah Smokey. Suara Hazran tegas, namun sedaya upaya dia mengawal intonasinya.
"Apa bukti Lulu tu kucing awak?"
Hazran ketawa. "His name is Smokey, not Lulu. Awak tak tahu ke kucing ni jantan? Ada ke patut letak nama betina?"
Hazran menggeleng sambil mulut tersenyum sinis.
"Awak belum jawab soalan saya," balas Athea. Dia langsung tidak berminat untuk bercerita pasal nama kucing.
"Semua ciri Smokey ada pada kucing tu."
"Contoh?"
"Ada huruf M pada kepala dia."
"Semua kucing ada tanda itulah." Athea menyangkal bukti yang dinyatakan oleh Hazran.
"Wait here. I have more than one evidence." Hazran menuju ke keretanya. Dia kembali dengan membawa pasport Smokey.
"Ini pasport dia. Selain itu, saya dah tanam cip pada dia. Esok kita boleh pergi cek. Satu lagi..." Hazran mengeluarkan telefon bimbitnya.
Dia mula mencari beberapa gambarnya bersama Smokey di dalam gallery. "Nah! Tengoklah sendiri. Saya bukan jenis orang yang suka hati nak claim barang orang lain sebagai hak saya."
Athea terdiam. Dia meneliti satu demi satu gambar Lulu di dalam pelukan Hazran.
"Abaikan gambar tuan kucing tu," ujar Hazran yang tiba-tiba memanjangkan lehernya memandang gambarnya yang tidak berbaju.
Wajah Athea berubah merah. Dia menggigit bibir. Memang dia memandang gambar Hazran yang separuh terdedah. Hatinya memuji susuk tubuh lelaki itu yang kelihatan sasa. Tambahan pula kulitnya yang putih bersih tanpa cela membuatkan pandangan Athea melekat di situ.
"Saya pun tak tengoklah gambar awak tu. Saya cuma belek gambar Lulu aje," bentak Athea.
Hazran merampas telefonnya daripada Athea.
Dengan bukti yang dinyatakan oleh Hazran, dia mengaku kalah. Dia memandang Qaleef dengan wajah serba salah.
"Qaleef nak tengok gambar-gambar ni?" tanya Athea lembut.
Mungkin kalau Qaleef sudah melihat gambar-gambar itu, dia akan percaya yang Lulu milik Hazran.
Qaleef menggeleng. Dia melarikan Lulu ke dalam rumah lalu mengunci pintu biliknya.
Athea meraup wajahnya. "Awak balik dulu. Saya akan cuba pujuk dia. Saya janji akan pulangkan Lulu kepada awak.
"Smokey."
Athea mencerlung kepada Hazran. Penting sangat ke nama kucing tu dalam keadaan sekarang ni? Sibuk nak betulkan sedangkan aku ni jenuh nak memujuk Qaleef.
"Sorry, saya langsung tak bermaksud nak tuduh Qaleef curi Smokey. Dia jumpa kucing tu kat mana?"
Sejuk sedikit hati Athea apabila mendengar permohonan maaf Hazran.
"Balik daripada mengaji. Masa tu hujan. Kucing tu macam hilang arah. Badan pun luka. Rasanya macam terkena duri. Dia dah lama minta nak bela kucing, bila jumpa Lu... Smokey, dia jaga sungguh kucing tu."
"Dah beberapa kali dia bawa kucing tu kat padang. Awak tak perasan ke? Kenapa sekarang baru awak tuntut?"
"Kucing tu hilang tiga bulan lepas. Masa tu saya minta tunang saya hantar Smokey untuk boarding. Nak dijadikan cerita, dia bawa anak saudara dia. Entah macam mana masa sedang main-main tu, Smokey terlepas. Mereka dah cuba cari, tapi tak jumpa. Saya pula tiga bulan berkursus di luar negara. Saya baru pulang minggu lepas."
"Boleh saya bayar kepada awak?" tanya Athea.
Hazran menggeleng sambil tersenyum pahit. "Awak pun tahu kan, itu bukan local breed. Saya beli dulu dengan harga lima ribu lebih."
Bulat mata Athea mendengar jawapan Hazran. Mahalnya!
"Itu enam bulan dulu. Kalau umur dia sekarang ni, lagi mahal." Hazran menyambung kata. "Kalau boleh, saya nak ambil Smokey hari ni juga. Dah lebih tiga bulan saya rindukan dia."
"Kejam sangat kut permintaan awak ni. Qaleef tu kan budak lagi. Boleh tak kalau awak yang dewasa ni beralah sedikit? Berikan masa kepada dia. Biar saya pujuk dia dulu."
"Dah tu, awak duk bersembang apa lagi kat sini? Pergilah pujuk dia. Sebagai orang dewasa, awak perlu ajar anak awak supaya pulangkan sesuatu yang bukan haknya."
Athea terkedu. Kata-kata Hazran pedih untuk dihadam.
"Tunggu sini." Athea melangkah masuk ke dalam rumah. Dia memujuk Qaleef.
Hazran tersenyum sinis. Bukan susah pun. Jolok sikit, meradanglah Puan Meow ni, desis hati Hazran.
Hazran menunggu di luar rumah. Matanya menjamah halaman rumah Athea yang kemas dan ringkas. Rumput tiruan melatari landskap. Beberapa buah pasu besar berwarna hitam yang ditanam dengan pokok Draco menjadikan laman itu menarik. Daripada sentuhan laman itu, dia fikir Athea mempunyai latar belakang dalam bidang seni taman.
Athea kembali dengan membawa Smokey. Hazran yang mendengar derap langkah menoleh. Dia tersenyum gembira. Barisan gigi putihnya yang tersusun kemas mencuri tumpuan Athea apabila lelaki itu tersenyum lebar. Memang kacak, tapi sayang hatinya tidak sejajar dengan rupa parasnya.
Mendengarkan suara Qaleef yang meraung dari dalam rumah, Hazran tersentak. Hatinya mula berbolak-balik sama ada mahu membawa pulang Smokey atau tidak. Apabila melihatkan mata bulat Smokey yang memandangnya, Hazran segera mengambil Smokey dari tangan Athea.
"Terima kasih." Dia bergegas meninggalkan rumah Athea sebelum dia sendiri mengubah keputusannya.