QAYYUM berlari masuk ke dalam rumah dalam keadaan tercungap-cungap.
Athea yang sedang menyapu lantai menoleh. "Kenapa dengan kamu ni Qayyum? Macam orang kena kejar hantu."
"Mama," panggil Qayyum.
Wajah yang kelihatan takut dan serba salah dipandang oleh Athea. "Kamu buat salah apa ni?"
"Qayyum tak sengaja, ma."
"Kamu buat apa?" Kali ini suara Athea lebih keras. Dia yakin Qayyum telah melakukan kesalahan.
"Masa main bola tadi, Qayyum tersepak bola. Tingkap rumah abang tu pecah."
"Rumah siapa?"
"Mana Qayyum kenal. Rumah yang betul-betul depan padang tu."
"Rumah lot bango?" tanya Athea separuh menjerit.
Kalaulah rumah di kawasan itu, rabak beg tangan nak menggantinya. Rumah banglo tu!
Qayyum mengangguk.
"Berapa kali mama ingatkan Qayyum. Nak main tu boleh, tapi ingat-ingatlah sama. Bukan main rembat aje bola tu. Ni dah menyusahkan orang."
Qayyum gelisah. Mama berleter dan tuan rumah yang marah-marah. Gerun memikirkan wajah ketat abang tadi.
"Jomlah kita jumpa abang tu dulu, ma. Dia tahan basikal Qayyum."
Athea menggeleng lemah. "Tunggu mama ambil tudung dulu. Qaleef sedang mandi tu. Suruh dia cepat sikit."
Athea melangkah ke biliknya sementara Qayyum melangkah laju ke bilik air.
ATHEA mula tidak sedap hati apabila melihat kereta Ford Ranger Merah yang berada di dalam kawasan parkir rumah. Itu kereta Mr. Kerek handsome yang ditemuinya tiga hari lepas. Athea mengeluh.
"Masak mama macam ni," ujar Athea perlahan.
Mereka keluar dari kereta. Belum sempat memberi salam, Hazran sudah melangkah keluar dari rumah dengan wajah tegang. Puan Meow lagi? Biar betul?
"Awak lagi?" ujar Hazran dengan wajah yang masih ketat.
Athea terdiam beberapa saat. "Ya, saya lagi."
"Mama kenal ke abang ni?" tanya Qayyum.
"Pernah jumpa di pasar raya beberapa hari lepas."
"Oh! Qaleef ingat. Abang yang mama kata Mr. Kerek Handsome tu kan?"
Bulat mata Athea mendengar kata-kata Qaleef. Merah wajahnya menahan malu lebih-lebih lagi apabila dia melihat Hazran mengulum senyum.
"Anak puan dah pecahkan tingkap rumah saya," ujar Hazran sambil menuding jari ke arah cermin tingkap yang pecah.
Semua mata terarah ke tempat yang ditunjukkan oleh Hazran. Mereka bertiga melangkah masuk apabila Hazran membuka pintu pagar. Sempat Athea menjeling basikal anaknya yang disandarkan pada tiang tempat parkir.
"Saya bayar," ujar Athea seraya membelek cermin yang pecah.
"Bukan masalah bayar aje. Macam mana nak tidur malam ni dengan tingkap terbuka macam ni? Mahu kena denggi saya macam ni. Itu kalau nyamuk yang masuk, kalau ular? Ini, anjing pun muat masuk tahu?"
Athea terdiam. Ada benar juga kata-kata Hazran itu. Otaknya ligat memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Hazran. Kalau tempah cermin pun belum tentu boleh siap malam nanti.
"Tengoklah Qayyum. Kan dah menyusah orang?" bebel Athea lagi sambil menjeling kepada anaknya itu.
Rasa macam mahu ditunjal saja kepala anaknya itu. Main sampai tak ingat dunia.
"Qayyum minta maaf, ma," ujar Qayyum.
Wajahnya jelas menunjukkan perasaan bersalahnya. Qayyum kemudian tunduk menekur lantai.
"Saya tak nak dengar sesi minta maaf kat sini. Sekarang ni awak bawa suami awak datang sini dan buat sesuatu dengan tingkap ni. Saya nak masuk. Dah hampir maghrib ni. Esok pagi awak panggil orang untuk ganti cermin ni."
Hazran memandang tiga beranak yang masih berada di dalam kawasan rumahnya sebelum memberikan isyarat agar mereka semua meninggalkan rumahnya.
Bulat mata Athea melihatkan isyarat menghalau yang dibuat oleh Hazran. Kembang kempis lubang hidungnya menahan rasa marah. Ikutkan hati, mahu saja dia pecahkan sebelah cermin lagi. Memang kerek. Wajah langsung tak sepadan dengan perangai. Athea mengajak anak-anaknya pulang.
Hazran masih berdiri di sebalik pintu gelungsur. Dah besar anak dia. Dia kahwin umur 15 tahun kut, teka Hazran.
ATHEA dan anak-anaknya kembali ke rumah Hazran usai menunaikan solat isyak.
Mereka mula mengukur saiz tingkap untuk memotong plastik. Memasang plastik bagi mengantikan cermin adalah satu-satu perkara yang mampu Athea fikirkan memandangkan kedai hardware yang menjual jaring nyamuk telah ditutup.
Selesai memotong plastik, Athea menyuruh Qayyum mengambil kerusi lipat di dalam kereta. Hazran yang sedari tadi bersandar malas pada keretanya sambil sibuk melayan Internet menoleh.
"Awak nak panjat kerusi tu ke?" tanya Haran dengan rasa cuak.
Athea yang baru meletakkan satu kaki di atas kerusi menoleh. "Ya, kenapa?"
"Suami awak tak boleh datang ke untuk buat semua kerja ni?"
Athea tidak menjawab soalan itu. Dia memanjat kerusi dan meminta Qayyum memegang kerusi itu agar tidak bergerak-gerak ketika dia membuat kerja nanti.
"Kami tak ada ayah. Ayah dengan mama..."
"Qaleef, tolong bagi gunting dengan binding tape kat mana," ujar Athea dengan harapan Qaleef tidak bercerita perihal keluarga mereka.
Qaleef meninggalkan Hazran lalu menurut arahan mamanya.
"Turun. Biar saya yang buat," arah Hazran. Dia merapati Athea.
"Tak apa, saya boleh buat."
"Turun ajelah. Kalau awak jatuh kat sini, patah kaki ke, saya juga yang susah."
"Cubalah doa yang baik-baik sikit," gumam Athea.
Melihatkan kedegilan Athea, Hazran menolak sedikit tubuh Qayyum agar menjauhi kerusi.
Athea mula tidak selesa apabila Hazran berdiri betul-betul di belakangnya. Tambahan pula kedudukan punggungnya berada pada paras mata Hazran. Mujur baju yang dipakainya melepasi punggung. Adakah bau aku busuk? Athea mula gelisah.
Malam-malam pun wangi, puji Hazran dalam hati.
Hazran menggoncang kerusi. Tindakannya membuatkan Athea terkejut. Dia berusaha mengawal keseimbangan tubuhnya supaya tidak jatuh.
"Kenapa dengan awak ni?" marah Athea.
"Turun, biar saya yang buat."
Athea terpaksa mengalah. Dia melompat turun.
"Kan senang." Hazran berdiri di atas kerusi. Athea membantunya memasang plastik pada bingkai tingkap.
Qaleef dan Qayyum mengambil kesempatan itu untuk kembali ke padang yang jaraknya hanya beberapa langkah sahaja dari rumah Hazran. Tak dapat bola, anak-anak Athea menyepak botol kosong.
Hazran melompat turun setelah berpuas hati dengan hasil kerjanya. Dia berdiri sambil memandang tingkap.
"Harap-harap tak hujan malam ni," ujar Hazran.
Athea yang tunduk mengemas peralatan yang dibawanya mendongak. Pandangan mereka bertembung.
"Harap juga anjing tak tanggalkan binding tape tu untuk masuk ke dalam rumah saya," sambung Hazran sekadar mahu bergurau.
"Insya-Allah. Rasanya anjing-anjing kat sini tak pandai sampai ke tahap macam tu," ujar Athea selamba.
Hazran senyum mendengar kata-kata Athea.
"Semua benda awak bawa, kan? Macamlah rumah saya tak ada kerusi," komen Hazran apabila melihat Athea melipat kerusi untuk disimpan.
"Bukan kerusi aje, saya siap bawa makanan dan minuman untuk budak-budak tu. Mana tahu kalau tengah buat kerja, dia orang lapar pula."
Melihatkan Athea yang sedang memasukkan barang-barang ke dalam kereta, Qayyum dan Qaleef berlari anak meninggalkan padang.
"Dahagalah, ma," rengek Qaleef. Athea tersenyum.
Dua botol air mineral dihulurkan kepada anak-anaknya. Sebotol lagi dihulurkan kepada Hazran. Tetapi, untuk lelaki itu, spesial sikit. Dia memberikan sebotol minuman 100Plus 500 ml kepada tuan rumah.
Hazran menyambut huluran Athea. "Awak tak minum ke?"
Athea senyum sambil mengelap peluh di dahinya. "Saya boleh kongsi dengan Qaleef."
Qaleef yang mendengar kata-kata Athea laju menghulurkan botol yang dipegangnya kepada Athea.
"Terima kasih. Sayang anak mama ni." Athea memeluk Qaleef.
"Sekarang, ajak abang masuk dalam kereta. Kita dah nak balik ni," ujar Athea sambil mengusap kepala Qaleef.
"Berapa umur Qayyum?" tanya Hazran. Dia cuma mahu tahu umur Qayyum supaya dia dapat meneka umur Athea.
"14 tahun."
"Awak nampak muda, tapi anak dah besar," ujar Hazran.
Tapi dalam hati, ingin benar dia bertanya umur Athea. Rasanya wanita itu lebih muda daripadanya.
"Saya kahwin umur 12," ujar Athea sebelum melangkah masuk ke dalam keretanya.
Tercengang Hazran dibuatnya. Seketika kemudian, dia tersenyum sambil menggeleng kepala. Yalah tu!
"Esok jangan lupa ganti cermin. Jangan sampai dua tiga minggu baru nak ganti." Hazran berpesan sebelum Athea melangkah menutup pintu keretanya.
"Ya! Esok saya bawa tukang tukar cermin tu. Jangan risau. Saya tak pernah lagi aniaya orang."
"Ya ke? Awak dah dua kali aniaya saya. Dah lupa ke?"
Athea mendengus perlahan dan terus menutup pintu keretanya. Kalau masih menunggu di situ, sudah pasti dia berperang mulut dengan Hazran.
o