“Nenek. Ooo... Nenek. Jauh nenek termenung?” Dewi menyapa nenek kebayan yang dari tadi asyik termenung sambil memijat kaki nenek kebayan dengan penuh kasih sayang.
Tersentak nenek kebayan apabila mendengar panggilan dari Dewi sebentar tadi. Hilang segala lamunannya. Nenek kebayan tersenyum memandang ke arah Dewi. Dia mengusap rambut Dewi dengan perasaan kasih. Melihat Dewi membesar dengan baik di bawah jagaannya, sudah cukup memuaskan hati nenek kebayan.
Sreettt... Sreettt...
Kedengaran dinding pondoknya dicakar panjang oleh sesuatu. Tidak lama kemudian, kedengaran gelak ketawa garau bergema kuat di luar pondok. Nenek kebayan mengeluh kasar. Lelah kerana hantu raya Nek Esah tidak jemu-jemu mengganggu hidup mereka selagi tidak dapat Dewi. Dewi sudahpun merapati nenek kebayan dan menyorok muka di bahu nenek kebayan. Nenek kebayan cuba menenangkan Dewi dengan menepuk lembut peha Dewi.
Nenek kebayan yakin, hantu raya Nek Esah tidak akan dapat menerobos masuk ke dalam rumah kerana dalam rumah sudah dipagar siap-siap oleh nenek kebayan. Segera nenek kebayan menyuruh Dewi tidur dan tidak mengendahkan gangguan di luar pondok. Dewi hanya menurut. Dia cuba untuk tidur, namun amat sukar. Ke kiri ke kanan dia beralih badan, tapi tetap rasa gelisah.
Nenek kebayan sudah membakar pendupa dan menabur kemenyannya. Berkepul-kepul asap memenuhi pondok kecilnya. Terkumat-kamit dia membaca sesuatu sambil meraup asap kemenyan yang pekat terawang keluar dari pendupa. Nenek kebayan mencapai rotan halusnya, lalu diperasapkan rotan tersebut. Bunyi cakaran masih kedengaran di sekitar pondoknya. Panjang dan mengilukan bunyi cakaran tersebut.
Setelah selesai memperasapkan rotannya, nenek kebayan bangun dan menunggu. Apabila bunyi cakaran itu berbunyi di dinding berdekatan dengannya, sepantas kilat nenek kebayan melibas rotan halusnya itu ke dinding dengan libasan yang kuat. Berdentum bunyi dinding kayu itu dilibas, namun tidak merosakkan struktur dinding.
Arghhhhh...!!
Bergema jeritan kesakitan yang garau di luar pondok. Tersengih nenek kebayan mendengarnya kerana dia yakin libasannya tepat mengenai hantu raya Nek Esah. Sekali lagi nenek kebayan menunggu dengan siap siaga bersama rotan halusnya. Tidak lama kemudian, pondok nenek kebayan digegar dengan kuat.
Bergoyang-goyang diri nenek kebayan sehingga dia terpaksa berpapah pada dinding pondok supaya tidak jatuh.
Sebelum keadaan menjadi lebih teruk, nenek kebayan segera membacakam sesuatu kemudian dia membuka pintu pondoknya. Terbuka sahaja pintu pondok nenek kebayan, bagai ada satu kuasa kuat menarik nenek kebayan keluar dari pondoknya dan mencampaknya jauh. Mujur nenek kebayan sempat memaut pada pintu semasa ditarik keluar, secara tidak langsung nenek kebayan telah menutup pondoknya dan menghalang dari hantu raya Nek Esah dapat menerobos masuk dan mengganggu Dewi.
Melihatkan kecerdikan nenek kebayan itu, hantu raya Nek Esah semakin merasa marah. Segera dia menghampiri nenek kebayan yang sudah terbaring kesakitan di perdu pokok. Terkial-kial nenek kebayan berdiri apabila lehernya dicekik dan dijulang oleh hantu raya Nek Esah itu. Jelas kemarahan teramat sangat terukir di wajah hantu raya tersebut. Nenek kebayan hanya tergelak riang melihat riak muka hantu raya itu sudah naik angin.
“Kau bunuh aku sekarang, selamanya kau takkan dapat Dewi. Aku saja boleh membuka pasung di badan Dewi sekarang. Kau ingat tu baik-baik. Hahahaha...” Nenek kebayan memperingatkan dengan suara tersekat-sekat dan perlahan.
Huhh...!
Hantu raya Nek Esah mendengus kasar. Dicampaknya nenek kebayan dengan kasar. Mengaduh orang tua itu apabila badannya menghenyak ke batang pokok besar dan jatuh ke perdu pokok. Nenek kebayan mengatur nafas, dia memerhatikan apa yang dilakukan oleh hantu raya Nek Esah dari jauh. Kali ini, dia sudah bersedia untuk menyerang balas. Hanya menunggu peluang dan ruang sahaja.
Melihat hantu raya itu meluru sekali lagi ke arahnya dengan laju, nenek kebayan mengemaskan genggamannya pada rotan halusnya. Sampai sahaja hantu raya itu kira-kira empat langkah darinya, terus dilibaskan rotannya itu ke arah hantu raya tersebut.
Bergempita raungan kesakitan hantu raya Nek Esah bila libasan rotan nenek kebayan mengenainya. Calar dari libasan itu merobek kulitnya. Bertalu-talu nenek kebayan melibas rotannya sehingga hantu raya itu terpaksa pergi meninggalkan kawasan pondok nenek kebayan.
Nenek kebayan terduduk keletihan. Kudrat tuanya betul-betul dikerah sehabis daya. Dia menyandar di perdu pokok melepaskan lelahnya. Kesakitan dan pegal-pegal di badannya semakin terasa. Nenek kebayan mengerut dahi, memikirkan sampai bila dia harus menghadapi semua itu. Ilmu yang diperturunkan kepada Dewi masih sikit. Dan Dewi belum cukup bersedia untuk menggunakan ilmu yang diajarkannya itu.
“Nenek... Nenek tak apa-apa?” Telinga nenek kebayan menangkap suara Dewi.
Segera dia duduk dan menguatkan kedudukannya itu supaya Dewi nampak dia baik-baik sahaja. Nenek kebayan senyum melihat kedatangan Dewi ke arahnya. Dewi melepas nafas lega melihat keadaan nenek kebayan yang tidak membimbangkan. Dia segera memapah nenek kebayan ke pondok apabila melihat orang tua itu terhoyong-hayang untuk bangun dan berjalan.
Nenek kebayan segera mereneh ubatan untuk dirinya dan memasak akar kayu. Dewi hanya memerhatikan sahaja apa yang dilakukan oleh nenek kebayan. Dia hendak bertanya, tapi pertanyaan itu tersekat di kerongkongnya apabila teringat bahawa nenek kebayan mengatakan dia baik-baik sahaja sebentar tadi. Sebenarnya, Dewi melihat semua perlawanan antara nenek kebayan dengan hantu raya Nek Esah tadi. Dewi tahu nenek kebayan hanya menipu mengatakan tidak apa-apa supaya dia tidak kerisauan.
“Nek...." Dewi bersuara perlahan.
Nenek kebayan memandang Dewi sambil menghirup perlahan air akar kayu. Dia mengisyaratkan supaya Dewi meluahkan apa yang hendak diperkatakan kepadanya. Dewi menelan liur yang terasa kelat. Dia merenung wajah tua nenek kebayan lalu melepas nafas yang menyesakkan dada.
“Kenapa hantu raya Nek Esah beria-ria nakkan Dewi ye, nek?” Dewi bertanya perlahan.
Sudah lama persoalan itu berlegar di benak dan fikirannya. Nenek kebayan terpempan. Dia memandang sekilas ke arah Dewi, kemudian menyambung minum air akar kayunya. Hakikatnya, nenek kebayan tidak tahu bagaimana hendak menerangkannya kepada Dewi. Sebulan Dewi duduk tinggal dengannya, nenek kebayan telah mengunci memori Dewi mengenai Nek Esah dan kehidupannya yang dahulu tanpa disedari oleh Dewi sendiri.
Nenek kebayan juga sudah memasung badan Dewi secara ghaib supaya Dewi tidak dapat diapa-apakan oleh hantu raya Nek Esah andai Dewi bersendirian. Patutkah dia menceritakan semuanya pada Dewi sekarang? Nenek kebayan kerunsingan.
YOU ARE READING
KoLonG
ParanormalPenderitaan Dewi bukan sahaja sedari kecilnya. Malah takdir penderitaan hidupnya berpanjangan selagi dia bernafas. Mujur ada ehsan dari orang tua itu. Sekurangnya dia tidak sendiri dalam menghadapi segala kesakitan maha pedih sepanjang hidupnya itu...
KoLonG - Part 7
Start from the beginning
