Bab 11 - Permintaan Menjadi Rakan

159 30 80
                                    

EDRUS menyandarkan tubuh di tepi kaunter. Tertinjau-tinjau mencari sesuatu. Tiada. "Psst! Psstt!" Dia memanggil Qaira. Qaira yang sedang membancuh kopi pelanggan memandangnya sekilas sambil mengangkat kening.

"Hari ni dapat apa?" soal Edrus sibuk ingin tahu. Kedua-dua belah tapak tangan digosok-gosok. Qaira yang dapat hadiah, dia pula yang lebih-lebih teruja.

Qaira tidak menjawab. Dia menyorotkan mata, menghantar isyarat agar Edrus melihat sendiri pemberian Mujahid yang disimpan di bawah kaunter. Tertonggeng-tonggeng Edrus membuka kotak hadiah yang dimaksudkan. Amira yang baru sahaja selesai melayan pelanggan, turut bertelut di situ.

"Beg tangan Coach! Bapak punya mahal!" jerit Amira kagum. Menyedari kelancangan tutur, cepat-cepat dia menekup mulut. Beg tangan berwarna putih itu dibelek-belek. "Mahal ni, Q."

"Kalau macam ni tiap-tiap hari, kau dah boleh buka online shop, Q!" ulas Edrus. Dia mula membilang hadiah-hadiah yang diterima Qaira sepanjang tempoh dua minggu berkenaan. Setakat ini, tidak pernah walau satu hari Encik Mo gagal bertandang ke K2 membawakan Qaira sesuatu. Malah, seperti sudah menjadi agenda harian mereka menanti apa yang bakal diberi oleh lelaki itu saban pagi.

Qaira tiada respons. Semalam di rumah pun, puas dia disakat Qaleel. Si abang siap membuat panggilan video kepada ibu bapa mereka semata-mata untuk menayangkan hadiah-hadiah pemberian Mujahid yang kian mendominasi ruang di rumah. Apa tidaknya, setiap satu pemberian lelaki itu baik jambangan bunga mahupun hadiah yang lain, semua dalam skala besar. Bunga besar, kotak hadiah besar, hamper besar.

Teringat dia akan kunjungan-kunjungan Mujahid sebelum ini. Jika kelmarin datang membawa bunga, hari ini pasti bawa coklat atau bakul hadiah.

"Suka coklat?"

Qaira angguk.

"Nah, istimewa untuk Qaira!"

Hampir terjojol biji mata Qaira apabila Mujahid meletakkan sebuah kotak besar sarat mengandungi aneka coklat di atas kaunter.

"Dalam banyak-banyak coklat ni, harap ada satu atau dua jenis yang Qaira suka," katanya seraya tersenyum dan bergerak ke meja yang biasa diduduki semenjak dua menjak ini.

Tidak cukup itu hari seterusnya akan disusuli dengan hadiah-hadiah lain - minyak wangi, jam tangan, patung beruang peluk, pen mahal dengan cetakan namanya. Qaira tiada kudrat untuk berbuat apa-apa. Berkali-kali dia menolak. Berkali-kali juga Mujahid berkeras mahu dia menerima semua pemberiannya.

"Saya memang beli untuk Qaira."

"Encik Mo, cukup-cukuplah tu. Tak perlulah beri saya hadiah setiap hari."

"Saya rasa saya masih belum betul-betul berterima kasih pada Qaira."

***
"Hadiah ni mahal. Saya tak boleh terima."

"Apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan nyawa saya yang dah Qaira selamatkan," ujar Mujahid lembut tatkala Qaira cuba menolak set pewangi dan losen Gucci yang diunjukkan.

***
"Encik Mo, saya tak selesa. Janganlah berhabis duit untuk saya."

"Ini semua tanda penghargaan dari saya. Tanda saya berterima kasih. Sampai bila-bila pun saya akan terhutang budi pada Qaira."

Ada sahaja jawaban Mujahid. Qaira malas berbalah. Putus ikhtiar untuk menolak. Sudahnya dia mengucapkan terima kasih, menerima apa yang dihulur supaya tidak menyinggung hati lelaki itu dengan keengganannya.

"Q!" Qaira tersentak dari lamunan. Wajah Edrus dipandang.

"Customer tu!" tegur Edrus.

Lekas-lekas Qaira berpaling mendapatkan pelanggan yang ingin membuat pesanan. Sempat dia menoleh memandang Mujahid yang sedang berbual-bual dengan Ariyyan.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now