"Nanti.." 2

63 4 9
                                    


Hari sudah pun melewati waktu senja. Firalina masih lagi berada di rumah keluarga Fika. Walaupun hatinya masih dirundum rasa pilu, dia tetap dengan senang hati menghulurkan bantuannya untuk membantu membuat persiapan kenduri tahlil yang akan dilaksanakan pada malam nanti. Sehabis baik dia mencuba untuk menyembunyikan kemuraman dari terpancar pada wajahnya dengan sesekali tersenyum dan sedikit tertawa apabila ada beberapa saudara mara Fika berborak sambil bergurau senda. Namun, riak wajahnya yang sebenar itu tidak dapat disembunyikannya dari pengetahuan kakak Fika yang memerhatinya dari jauh.

Walaupun sudah melepasi 7 hari selepas pemergian arwah Fika, keluarganya tetap ingin terus melaksanakan kenduri tahlil untuk arwah. Kedatangan Fira pada hari tersebut bukanlah satu kebetulan, tetapi kerana dia sudah dimaklumkan terlebih dahulu oleh Sofia. Walaupun hakikatnya Fira masih belum cukup bersedia untuk menerima bahawa tiada lagi sosok Fika yang akan tersenyum malu kepadanya setiap kali mereka berjumpa setelah sekian lama tidak bersua muka. Tiada lagi pelukan hangat yang secara misteri dapat membagi ketenangan kepada dirinya ketika dia diselubungi dengan pelbagai masalah yang menyakiti jiwa dan raganya. Tiada lagi sosok yang dengan setia mendengar setiap luahan isi hatinya. Dalam diam, dirinya menjerit kepiluan tanpa suara. Jiwanya meronta-ronta untuk tidak menerima hakikat sebenar yang sungguh memeritkan.

Dengan sorot mata yang kosong dan senyuman yang pahit, tangan Fira bergerak lesu mengelap pinggan-pinggan kaca yang akan digunakan untuk kegunaan tetamu yang bakal hadir pada malam nanti. Sofia yang turut merasa pilu melihat keadaan Fira yang sedemikian rupa, berjalan perlahan mendekati dirinya.

"Fira..?" Tiada sahutan yang diterima dari Fira. Tangannya masih lagi bergerak perlahan mengelap pinggan yang sudah entah berapa lama digilapnya.

"Fira?" Fira tersentak setelah merasakan ada yang menepuk bahunya dengan lembut. Fira mengalihkan perhatiannya kepada pemilik tangan yang menyentuh bahunya sebentar tadi dan mendapati tangan tersebut adalah milik Kak Sofia. Sofia tersenyum lembut kepada Fira yang melakukan perkara yang sama.

"Ada apa akak? Maaf, Fira tak dengar akak panggil tadi."

"Jom, ikut akak kejap. Kita jalan-jalan dekat sawah depan rumah sana, nak tak?" Fira terus memandang pinggan-pinggan yang masih banyak belum siap dilap sebaik sahaja mendengarkan ajakan Sofia itu tadi.

"Takpe, pinggan tu nanti yang lain boleh tolong lapkan, betul tak, Kak Emi?" Ujar Sofia yang memahami apa yang membuat Fira keberatan untuk menerima ajakannya. Emilza, anak kedua dalam keluarga kecil Fira yang kelihatan ingin protes dijengilkan mata oleh Sofia untuk hanya mengikuti alur perancangannya itu. Emilza hanya mengangguk lemah, mengiyakan kata-kata adiknya, Sofia.

"Betul ke ni tak apa kalau Fira ikut Kak Sofia? Serba salah pula nak tinggalkan kerja separuh jalan macam ni je."

"Takpe dik. Tinggalkan je. Nanti akak settlekan. Lagipun awak kan tetamu." Ujar Emilza sambil tersenyum menyakinkan.

"Kalau macam tu, Fira ikut Kak Sofia dulu ye, akak. Terima kasih." Setelah itu, Fira terus bangkit dan mengikuti langkah Sofia ke luar rumah mereka.

❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁❁

Sofia memerhati wajah Fira dari samping. Teringat dia akan wajah yang cantik itu dihiasi deraian air mata sebaik sahaja dia tiba di depan pintu rumahnya pada pukul 4 lebih tadi. Terlihat tulus ikatan persahabatan sosok wanita yang berada di sebelahnya ini dengan arwah adiknya, Fika.

"Cantikkan, pemandangan sawah ni." Sofia memecahkan keheningan yang menyelubunginya dan Fira, sambil matanya kini menatap luasnya bendang terbentang di hadapan mereka.

"Un. Cantik sangat." Balas Fira. Sofia melirik ke arah Fira dan mendapati kedua kelopak mata sahabat adik bongsunya itu bergenangan air mata. Sayu menyusup ke dalam hati kecilnya.

"Nanti.."Where stories live. Discover now