BAB 24

4.7K 409 34
                                    

PUKULAN yang datang dari belakang sempat dipatahkan oleh Athar saat dia berpusing dan menghayunkan tendangannya ke lengan si penyerang yang sedang memegang baseball. Kemudian, dia mencengkam belakang baju si penyerang lalu dihentak ke belakang dinding dengan kuat. Si penyerang rebah dengan ketangkasan Athar. Dia ingin bangun, namun Athar tangkas memijak belakangnya sebelum tangannya dikilas ke belakang oleh lelaki itu.

            PRAK!

           Seiringan dengan bunyi itu, lelaki itu mengerang kesakitan apabila tangannya dipatahkan oleh Athar. Turun naik nafasnya apabila kesakitan itu meragut seluruh kekuatannya. Lelaki ini bukan mudah untuk ditumbangkan walaupun sudah lama dia tidak menghadapi sebuah pertarungan!

          Athar mengeluh berat. Dia semakin lelah mempertahankan dirinya dari sekumpulan lelaki yang diarahkan untuk mencelakainya. Dia tahu mereka ini pasti musuh-musuhnya dahulu. Kadang-kadang Athar juga lali dengan segala malapetaka yang menimpanya. Dia sudah keluar dari dunia gelap itu tetapi bayang-bayang lama masih mengejarnya. Athar tahu, pengakhirannya hanya dengan kematiannya sahaja.

         Di hadapannya kini tinggal tiga orang lelaki yang masih gagah berdiri. Athar merenggangkan tangannya sambil mengelak daripada serangan mereka. Sesekali, dia menunduk seraya melibas kaki lawannya. Athar juga semakin kelelahan membalas serangan mereka. Masakan tidak, dia baharu sahaja menumbangkan sepuluh orang lawan. Saat ini dia berhadapan dengan dua orang lelaki lagi.

         "Kau memang akan mati dalam tangan aku bajingan!" jerkah seorang lelaki seraya mengeluarkan sebilah pisau dari poket seluarnya. Athar mengeluh berat lagi apabila dia diugut dengan menggunakan senjata. Dua orang lawan yang masih tersisa dipandang silih berganti. Dia harus menjatuhkan lawan yang tidak mempunyai senjata terlebih dahulu sebelum menjatuhkan lawan yang terakhir.

          Maka, Athar kembali menyusun strateginya. Dia berundur setapak demi setapak ke belakang sebelum dia melompat ke atas sebuah tong yang basah dengan titisan air yang jatuh dari bumbung. Saat itu juga si lelaki yang tidak memegang senjata turut melompat ke atas tong tersebut. Mereka berdua saling membalas pukulan. Sesekali, Athar memandang si lelaki yang memegang senjata sambil menghayunkan tendangannya. Dia kini berada di tengah-tengah. Apabila dia berjaya menjatuhkan si pemegang senjata, dia kembali dengan si lelaki yang bertubuh sasa dan begitu sukar untuk dijatuhkan.

         Sesekali, perut Athar dihenyak dengan lelaki itu. Saat itu juga Athar merasakan rusuknya seolah-olah dipatahkan. Sakitnya bukan kepalang! Dengan tenaga yang hanya tinggal sedikit, Athar terus berusaha membalas serangan daripada lelaki berbaju hitam itu. Sungguh, terlalu lama dia tidak menggunakan skil dalam mempertahankan dirinya semenjak dia keluar dari dunia gelap itu. Lantas, apabila si lelaki menghayunkan tumbukannya lagi Athar tangkas mengelak dengan mengenggam pergelangan tangan si lelaki dan menghayunkan tendangannya ke perut lelaki itu. Lantas, lelaki itu terundur ke belakang. Dia tersenyum sinis dengan serangan hendap Athar. Kemudian, dia meluru ke arah Athar yang masih dalam posisi bersedia untuk menyerang. Namun, Athar tangkas mengelak dengan melompat turun dari tong tersebut. Lelaki itu terus terjatuh dan Athar terus mengambil kesempatan dengan menghayunkan baseball ke kaki lelaki itu bertubi-tubi. Erangan lelaki itu memenuhi lorong gelap itu apabila kakinya dipatahkan oleh Athar.

         Athar masih belum rasa selamat. Dia kalih ke belakang apabila masih ada seorang lawan yang belum ditumbangkan. Namun, lelaki itu lebih cepat menyerang dan menghunus pisau ke perut Athar sebelum ditarik kuat. Athar tersandar ke belakang dinding. Nafasnya turun naik akibat kesakitan yang maha hebat. Dia melihat si lelaki sudah tertawa sinis sambil mengenggam pisau yang mengalir dengan darahnya Athar. Sekali lagi, lelaki itu menjerit seraya meluru ke arah Athar. Kali ini, Athar tangkas mengelak. Dia tidak akan sesekali membiarkan mereka membunuhnya. Wajah Amin terbias di memorinya. Dia perlu melindungi adiknya! Maka, dengan semangat itu dia terus mengelak dengan menggenggam pergelangan tangan lawan yang mahu menghunuskan pisau ke dadanya. Sesekali, perutnya dihenyak dengan lutut si lawan. Namun, Athar hanya menahan kesakitan itu.

BERIKAN AKU WAKTU (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now