Semasa Umno dan Pas mahu bergabung dengan kem Muhyiddin Yassin dari parti Bersatu sehingga membentuk Perikatan Nasional (PN), saya adalah antara orang yang kurang bersetuju. Hal ini kerana, terlalu banyak masalah yang akan timbul jika Umno dan Pas berada dalam perikatan tersebut seterusnya menjadi kerajaan.
Sejujurnya saya lebih suka Umno dan Pas menjadi pembangkang. Jika hendak jadi kerajaan sekalipun, biarlah mereka menjadi kerajaan melalui pilihan raya. Namun, apabila Agong telah memperkenankan Muhyiddin membentuk kerajaan bersama Umno dan Pas, dan sebagai rakyat yang patuh kepada rajanya, maka saya tidak membantah perkenan itu.
Sekarang Umno dan Pas telah berada dalam kerajaan Muhyiddin. Ada yang dilantik sebagai menteri dan ada yang dilantik mengetuai GLC. Sudah pastilah wujud tuduhan di mana mana bahawa Umno dan Pas menubuhkan kerajaan pintu belakang bersama Muhyiddin.
Belum sempat isu kerajaan pintu belakang itu reda, kerajaan Muhyiddin diuji pula dengan penularan wabak Covid-19 secara dahsyat. Keadaan mula menjadi kecoh meskipun tidak huru-hara. Kerajaan Muhyiddin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak itu.
Saya kira cara kerajaan Muhyiddin menangani penularan wabak ini sudah cukup baik. Namun, isu dan persepsi tidak baik sering kali menghantui kerajaan Muhyiddin ini. Bermacam isu yang timbul. Daripada jemaah menteri yang sering melakukan tindakan yang karut marut sehinggalah kepada rakyat jelata yang gemar melemparkan kritikan atas apa jua keputusan kerajaan.
Selepas 4 Mei ini, kerajaan melonggarkan sedikit PKP ini bagi memudahkan rakyat jelata menjalankan urusan seharian sekaligus membaiki ekonomi negara yang kian malap akibat PKP dan penularan wabak Covid-19. Dan seperti biasa, kritikan daripada rakyat jelata tetap juga kedengaran.
Semasa kerajaan mengetatkan kawalan, ramai rakyat yang bising. Apabila kerajaan melonggarkan kawalan pun, rakyat masih bising. Pendek kata, apa sahaja yang kerajaan lakukan mesti salah. Pasti akan mengundang cemuhan dan kritikan.
Bukan isu itu sahaja, isu moratorium yang muncul baru baru ini turut mengundang kemarahan rakyat jelata. Kerajaan Muhyiddin yang dilihat mempunyai rekod yang sedikit baik menjadi buruk apabila isu ini timbul.
Kritikan, cemuhan, kutukan dan sindiran itu tidak hanya dihalakan kepada Muhyiddin dan sekalian menterinya yang bermasalah, malah turut terpalit sama kepada Umno dan Pas. Umno dan Pas turut sama mendapat tempias daripada kemarahan rakyat kepada Muhyiddin memandangkan kedua dua parti itu berada dalam kerajaan Muhyiddin.
Semasa Najib menjadi Perdana Menteri, sudah diketahui bahawa kerajaan itu bermasalah. Maka tidak hairanlah kerajaan Najib sering kali mendapat kritikan dan cemuhan. Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, kritikan dan cemuhan memang biasa kedengaran meskipun pada awalnya kerajaan itu disokong oleh majoriti rakyat Malaysia. Dan sekarang kerajaan Muhyiddin turut mendapat kesan yang sama.
Dari situ satu kesimpulan dapat di buat, bahawa sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri dan kerajaan, akan terus mendapat kritikan dan cemuhan. Walau bagaimana baik sekalipun kerajaan itu, walau apa sahaja kerajaan buat, pasti akan mengundang kritikan dan cemuhan daripada rakyat jelata.
Justeru, kerajaan tidak sepatutnya mendengar pandangan majoriti rakyat dengan sepenuhnya. Cukuplah kerajaan membuat apa sahaja keputusan, dasar, dan peraturan yang dirasakan baik dan perlu. Jika hendak mengambil kira keseluruhan pandangan rakyat, maka banyak perkara tidak dapat dilaksanakan. Hal ini kerana, apa sahaja yang kerajaan buat pasti akan ada yang salah di mata rakyat.
Benarlah bahawa menjadi pemimpin dan kerajaan ini tidak mudah. Apa sahaja yang kerajaan buat sama ada baik ataupun buruk pasti akan mengundang cemuhan dan kritikan. Mujur saya tidak pernah bercita cita mahu menjadi pemimpin atau berada dalam pentadbiran kerajaan.

YOU ARE READING
BICARA SOSIAL
Non-FictionBicara Sosial ialah himpunan tulisan tulisan non fiksyen saya mengenai pelbagai perkara yang berlaku di dunia ini. Tulisan tulisan ini mengandungi pandangan, kritikan, teguran, dan sindiran. Harap pembaca boleh mendapat secebis kebaikan daripada tul...