Bab 26 - Kedatangan Keluarga Irfan ke Penthouse

1.4K 53 0
                                    

"Ibu, abah, Dina," sapa Afeeya yang menyambut kedatangan mereka di hadapan pintu utama penthouse. Tangan ibu dan bapa mertuanya disalaminya.

Puan Sri Faridah terus mendakap erat tubuh Afeeya setelah tangannya disalami menantunya itu. Rindu benar dia dengan menantu kesayangannya ini. Tidak cukup dengan itu, diciumnya pula dahi Afeeya lembut.

Afeeya sebak. Walaupun dia sedang menderita, tetapi dia masih mempunyai keluarga ini yang masih sudi menyayanginya. Setelah pelukannya dileraikan, adik iparnya kemudian menyalami tangannya terlebih dahulu.

"Dina rindu akak!" ucap Irdina lalu terus memeluk tubuh langsing Afeeya.

Afeeya tersenyum kegirangan melihat keriangan adik iparnya itu.

"Kamu ni Dina, tak boleh sabar-sabar ke? Masuklah dulu. Jangan nak halang laluan orang. Kesian ibu dan abah tercegat lagi dekat sini," bebel Irfan Sufyan kepada adiknya. Menyampah juga dia apabila melihat adegan kasih sayang di antara perempuan yang dibencinya dengan adiknya ketika ini.

"Kenapa nak marah Dina pula, Fan? Dina, kan cuma rindu sangat dengan kakak ipar dia," tegur Tan Sri Yusuf lalu terus disokong oleh Puan Sri Faridah.

Apa lagi, semakin bertambah menyampahlah Irfan Sufyan dengan perempuan itu sekarang.

Irdina meleraikan pelukannya dan terus menjuihkan bibirnya kepada abangnya.

"Jom masuk akak!" Irdina terus menarik tangan kakak iparnya, membuntuti ibu bapanya yang sedang masuk ke dalam penthouse bersama beg-beg kecil mereka. Beg besar pula diangkat oleh abangnya sahaja. Biar padan muka abangnya! Dalam hati sempat juga dia mengejek nakal.

Afeeya mengikut sahaja langkah Irdina. Namun, sempat dia memandang suaminya yang sedang buat muka tak puas hatinya. Dia tahu Irfan Sufyan sebenarnya menyampah dengannya sekarang. Lebih-lebih lagi kerana pergaduhan mereka pada petang tadi.

Setiba di meja makan, mereka semua duduk menjamu selera bersama dengan wajah yang ceria.

"Sedapnya akak! Rindu betul Dina dengan masakan akak tau? Spaghetti meatball bolognese akak ni memang macam nilah!" puji Irdina yang duduk di sebelah Afeeya sambil membuat gaya 'like' dengan tangannya.

Mereka di situ semua sudah ketawa dengan gelagat Irdina yang ceria kecuali Irfan Sufyan.

"Sedap apanya macam ni?" ejek Irfan Sufyan perlahan.

"Fan! Jaga sikit hati isteri kamu ni. Fan ni masih tak boleh nak berbaik-baik dengan Feeya lagi ke?" tegur Puan Sri Faridah yang sudah menggelengkan kepalanya.

Afeeya memandang Irfan Sufyan yang duduk bertentangannya hanya terdiam sahaja apabila ditegur oleh ibunya. Dalam hati Afeeya terus mengutuk geram. Tak sedap pun, habis jugak spaghetti aku dalam pinggan dia! Dia kemudian tersenyum sahaja memandang ibu mertuanya yang sedang duduk di sebelah suaminya.

"Tak apalah, ibu. Lagipun bukannya sedap sangat pun spaghetti Feeya ni. Siapa-siapa yang buat pun sama aje rasa dia ibu. Tinggal masukkan bahan-bahan aje. Dina ni aje yang puji lebih-lebih," tutur Afeeya tersenyum manis.

"Apanya Feeya? Masakan Feeya ni tak pernah tak sedap tau. Ibu pun sampai teringin nak tahu Feeya belajar dengan siapa selama ni?"

"Betul tu, Kak Feeya... akak belajar dari mana ya? Sebab western food yang akak masakkan semuanya sedap-sedap tau. Dah setanding dengan western food restaurant aje," ujar Irdina yang menyokong kata-kata ibunya.

Afeeya terus terdiam. Terasa air matanya mahu gugur sahaja di waktu ini. Dengan perlahan, dia terus menjawabnya.

"Dari... arwah mama Feeya," balasnya sambil tersenyum pahit sebelum menunduk.

Semua di meja makan itu sudah terdiam. Mereka telah tersalah sebut tentang faham arwah mama Afeeya. Kerana itulah, mereka langsung tidak berani untuk menyentuh tentang ibu bapa atau keluarga Afeeya dari dulu sehingga sekarang.

Afeeya terus tersedar apabila suasana tiba-tiba sahaja sepi. Ah, sepatutnya dia tidak melayan perasaannya tadi! Dengan senyuman di bibir, dia berpura-pura ceria.

"Oh ya, asyik cakap pasal Feeya aje dari tadi. Ibu abah dan Dina pula macam mana dekat sana?" soal Afeeya, mengubah topik.

Mereka sudah tersenyum melihatkan Afeeya yang kembali ceria semula. Memang mereka tahu benar Afeeya ialah seorang gadis yang sangat matang.

"Macam itulah Feeya. Ibu dan Dina dengan aktiviti mereka ajelah, jalan-jalan dekat sana. Abah pula dengan kerja abah yang tak akan pernah habis ni," balas Tan Sri Yusuf dengan sedikit keluhan pada akhir ayatnya.

"Betul tu, akak. Tak ada apa yang menariknya kami nak cerita duduk dekat sana. Cerita akak dekat sini lagi menarik. Akak ceritalah macam mana. Dina nak tahu jugak," pinta Irdina. Tersengih-sengih dia memandang kakak iparnya di sebelah.

Afeeya tersenyum. Tetapi belum sempat dia membalas, suaminya terlebih dahulu membuka mulut.

"Kalau tak banyak mulut, boleh tak Dina? Esok-esok pun boleh kalau dia nak cerita. Tengok sekarang dah pukul berapa? Pergi tidur rehat-rehatlah dulu. Ibu dan abah pun dah nampak penat sekarang," marah Irfan Sufyan kepada adiknya..

Irdina menjuihkan bibirnya kepada abangnya. Asyik nak marah-marah orang aje!

"Betul tu, Dina. Tengok, ibu dan abah nampak masih letih lagi. Kak Feeya cerita esok aje okey?" pujuk Afeeya kepada adik iparnya yang sedang mencuka wajahnya apabila dimarahi oleh suaminya.

"Emmm, baiklah kalau Kak Feeya cakap macam tu. Tapi, janji esok Kak Feeya akan cerita okey?" ujar Irdina yang kembali ceria. Dia kemudian terus memeluk tangan Afeeya yang memakai blouse kuning berlengan pendek. Terserlah lengan kakak iparnya yang begitu putih dan gebu. "Kak Feeya ni cantiklah. Baik pulak tu. Kan, abang?"

Irdina memandang abangnya. Memang dia sengaja mahu melihat reaksi abangnya. Padahal dia masih berasa sebal dengan abangnya kerana memarahinya tadi.

Irfan Sufyan buat-buat tidak tahu sahaja. Dia malas melayan pertanyaan adiknya yang hanya menyakitkan hatinya sahaja. Dia berdesis. Cantiklah sangat! Baiklah sangat! Padahal buat menyampah lagi adalah!

"Dina puji-puji akak ni ada makna ke? Tapi akak tak ada apa-apa nak kasi kat Dina tau." Afeeya membalas dengan gurauan.

"Dina puji ikhlaslah akak. Dina bukan nak apa-apa pun dari akak. Tapi sebaliknya, Dina yang nak bagi something dekat akak tau. Souvenir dari Australia. Dina beli khas untuk akak," balas Irdina ceria.

"Banyak duit Dina yang beli?" perli Puan Sri Faridah yang kemudiannya turut diketawakan oleh Tan Sri Yusuf.

"Eh, sorry akak. Bukan Dina yang beli. Sebenarnya Dina nak cakap tadi, ibu abah dan Dina yang beli. Kami sama-sama beli untuk akak," tutur Irdina sambil menayangkan giginya yang berbaris putih.

"Hadiah tu sebenarnya kami beli untuk hadiah perkahwinan Feeya dan Fan. Tapi esok ajelah ya ibu bagi? Sebab hadiah tu dalam luggage lagi," ujar Puan Sri Faridah lembut.

"Buat susah-susah aje ibu. Lagipun hari tukan ibu dah bagi? Sampai Feeya sendiri pun tak sempat lagi nak pakai," tutur Afeeya lembut.

"Tak apalah Feeya. Tak susah-susah pun," ujar Puan Sri Faridah.

Dalam hati, dia lebih rasa bersalah kerana tiada majlis yang dilangsungkan untuk meraikan perkahwinan mereka walaupun itu sudah menjadi kehendak mereka sendiri untuk merahsiakan perkahwinan tersebut daripada pengetahuan sesiapa.

"Kasut yang Dina hadiahkan tu akak dah pakai, kan? Dina ada nampak dekat rak kasut tadi," soal Irdina pula.

"Yup, Kak Feeya dah pernah guna. Thanks tau Dina. Pandai Dina pilihkan kasut untuk akak," balas Afeeya tersenyum manis.

"Apa-apa saja untuk Kak Feeya. Hi hi hi..." Irdina membalas girang.                   

Puan Sri Faridah dan Tan Sri Yusuf tersenyum melihat cara Afeeya melayan dan memujuk Irdina yang berperangai seperti kebudak-budakkan itu. Kalau mereka pujuk, belum tentu Irdina mahu mendengarnya. Tetapi kalau kakak iparnya pujuk terus sahaja ceria. Sayang betul dia dengan kakak iparnya. Mereka akhirnya terus tertawa bersama.

Irfan Sufyan pula sudah semakin menyampah dengan keramahan isterinya terhadap keluarganya. Tak hairanlah kenapa keluarganya sayang betul dengan perempuan ni!

Terima Kasih Derita [TERBIT]Where stories live. Discover now