BAB 9~ Melastik ke hatimu

1.8K 9 0
                                    

“ ABANG…” Panggil Faida sebaik sahaja suaminya melabuhkan punggung pada kerusi meja makan berdepangan dengannya. Segera dia hulurkan pinggan berisi nasi goreng kepada sang suami bila lelaki itu menghulurkan tangan.

“ Emm…” balas Azzam bersahaja. Mee goreng di suap ke dalam mulut tanpa sedikit pun memandang muka isterinya.

“ Ida nak minta maaf ” mohon Faida perlahan.  Tidak sedikit pun dia menjamah makanan di depannya. Rasa bersalah masih menyelubungi diri kerana bersikap kurang ajar dengan lelaki itu semalam.

Walaupun pada awalnya lelaki itu bukan pilihan hatinya, namun sekarang ini sudah lain. Dia sudah mula sayangkan lelaki yang bernama Azzam Daniel itu.

Azzam angkat muka.

“ Lagi?”

“ Ida tahu Ida salah. Ida tak patut lawan arahan abang” sambung Faida lagi. Kali ini dia akui kesalahannya. Tidak sepatutnya dia keluar tanpa pengetahuan suaminya terlebih dahulu. Tapi tak perlulah nak marah sampai langsung tak nak bercakap dengan dia. Dah tiga hari keadaan rumah tangganya menjadi dingin.

Aku balik rumah keluarga aku sendiri, salah ke? Lagipun aku dah lama tak balik sana.

Selepas kahwin, tidak sekali pun dia dan Azzam menjejakkan kaki di rumah usang itu lagi. Bila di ajak balik sana, ada saja alasan yang Azzam berikan. Seperti cuba mengelak dari sesuatu.

“ Tahu pun! Kan abang dah pesan, jangan pergi mana-mana tanpa abang. Kalau jadi apa-apa pada Ida, siapa yang susah? Apa abang nak jawab pada family Ida nanti?” nasihat Azzam. Sebenarnya bukan marah yang bergenang di hati tetapi perasaan cemburu melebihi segalanya.

Dia terlalu sayangkan isterinya. Sebab itulah dia tidak benarkan wanita itu keluar rumah tanpa dia. Faida ni cantik orangnya. Jadi sebelum dia di rampas oleh lelaki lain, lebih baik aku lebih berjaga-jaga.

“ Maaf…” Faida menunduk. Tidak sedikit pun dia menjamah makanan di depannya.

“ Minggu depan kita balik rumah mak”

Tersenyum lebar Faida saat mendengar kata-kata dari suaminya itu. Tiga hari yang lepas, balik rumah mak secara haram, minggu depan bolehlah balik secara halal. Tak sabarnya…

“ KAU biar betul weh? Bila?” soal Ain ketika melangkah keluar dari pagar kilang bersama-sama dengan kawan baiknya. Seperti tidak percaya dengan apa yang dia dengar. Haura nak bertunang? Dengan Naim pula tu. Mak Limah dah insaf ke? Bukan ke wanita itu hanya inginkan menantu dari golongan berada? Dah buang tabiat aku rasa orang tua ni.

“ Minggu depan” balas Haura sambil melabuhkan punggung pada bangku menunggu bas. Di situ ramai pekerja kilang yang sedang menunggu bas datang menjemput.

Hari ini terpaksalah dia balik menggunakan bas. Tiba-tiba pula Naim tidak dapat menjemput dengan alasan kerja lebih masa. Tak apalah, mesti Naim mencari duit lebih untuk majlis nanti.

Gula-gula getah berperisa strawberry di sumbat ke dalam mulut. Pejam mata seketika untuk menikmati kemanisan dari gula-gula getah itu. Inilah perisa yang dia suka.

“ Mak kau setuju? Peliklah…” Ain masih tidak berpuas hati.

“ Aku pun tak tahu macam mana mak aku jumpa Naim, tapi Naim cakap yang mak aku suruh ikat tali pertunangan dengan aku minggu depan. Lepas sebulan, terus kahwin” cerita Haura. Itu apa yang Naim beritahu dia semalam. Dia sendiri pun tidak percaya dengan apa yang di rancang.

Kadang-kadang timbul juga perasaan was-was di hatinya. Seperti mak sedang merancang sesuatu di sebalik semua ini. Tapi,bila di fikirkan balik, lantaklah. Apa yang penting, aku dapat kahwin dengan pilihan hati aku sendiri. Muktamat!

“ Ura, aku rasa lebih baik aku balik dulu lah” Ain bangun dari duduk. Cepat-cepat dia atur kaki meninggalkan tempat menunggu bas itu.

“ Ain!” jerit Haura bila kawan baiknya itu pergi begitu sahaja. Dahlah berjalan macam lipas kudung. Kejap saja hilang dari pandangan. Apa kena pula dengan Ain ni? Selalunya tak pernah macam ni. Dah macam nampak hantu pun ada.

Bila terasa seperti seseorang duduk di sebelahnya, terus kepala di pusing ke sebelah kanan. Sekarang ini baru dia tahu kenapa Ain berlalu pergi. Segera punggungnya di berengsot sedikit dari kedudukan lelaki itu.

“ Isshh! Nak apa lagi?” soal Haura sedikit marah. Dia mula tidak selesa dengan kehadiran lelaki itu lagi-lagi bila pekerja-pekerja lain mula memandang ke arahnya sambil berbisik-bisik. Nak cakap aku mengatal dengan boss sendiri lah tu. Dia ni pun satu, ramai-ramai orang dekat kilang ni, kenapa mesti cari fasal dengan aku?

“ Urusan kita masih belum selesai” omong Ziyyad dengan senyuman. Tak tahu kenapa dia suka mengacau wanita itu. Haura cantik bila marah. Hatinya sudah tertarik sejak terpandang buat kali pertama lagi.

Masa di kantin dulu, dia perasan yang Haura asyik memandang ke arahnya. Dia saja buat-buat tak tahu.

“ Urusan apa lagi? Saya mana ada apa-apa urusan dengan Encik Ziyyad” berkerut dahi Haura dengan kata-kata dari majikannya itu. Tak kan kes gula-gula getah yang terlekat pada cermin kereta hari tu masih belum selesai?

Gula-gula getah aje, bukannya aku simbah cat. Itu pun nak kecoh ke?

“ Masuk kereta saya ataupun nak saya tarik awak masuk dalam kereta” Ziyyad jongket kening. Dia masih tidak berputus asa untuk cuba dekat dengan wanita itu.

“ Encik Ziyyad jangan ingat saya takut dengan Encik Ziyyad. Walaupun Encik Ziyyad ni boss saya, Encik Ziyyad tak boleh nak paksa-paksa saya buat apa yang saya tak suka. Encik Ziyyad dah di kira menganggu emosi pekerja Encik Ziyyad.
Sekarang ni saya betul-betul terganggu dengan Encik Ziyyad. Jangan sampai saya report pada pejabat buruh yang Encik Ziyyad ganggu saya. Nanti tak pasal-pasal Encik Ziyyad tidur dalam lokap” ceramah Haura panjang lebar. Entah betul atau tidaklah apa yang dia katakan tadi. Dia main tembak sahaja. Hari tu dia kenakan aku, sekarang ini giliran aku pula takutkan dia. Tapi kenapa aku tengok muka dia macam tak tergugat sedikit pun dengan ugutan aku tadi?

“ Awak ni kelakar lah” Ziyyad tergelak kecil. Baginya, wanita itu agak menghiburkan hati.

“ Kelakar?” Haura hempas beg silangnya pada paha sebelum bangun. Aku bukan main serius lagi, dia boleh cakap aku ni kelakar. Kalau aku kelakar, dah lama aku sertai kumpulan Bocey. Dia orang kelakar weh!

“ Nak pergi mana?” soal Ziyyad bila wanita itu mula mengatur langkah.
Haura buat tak endah. Laju kakinya meninggalkan tempat menunggu bas itu. Aku lebih rela balik dengan teksi daripada naik kereta dia. Boleh blah lah!

Ziyyad hanya memerhati setiap langkah Haura dari jauh. Senyuman nipis terukir pada bibir. Masa dia menunduk ke bawah, hujung kasut hitamnya terpijak sesuatu. Bila dia capai, ternyata ia pembalut gula-gula getah. Tengok pun dah tahu siapa punya. Harap muka saja cantik, tapi buang sampah merata-rata. Apalah nak jadi dengan manusia sekarang ini.

“ Eh! Encik Ziyyad. Encik Ziyyad buat apa dekat sini?”

Tegur satu suara. Ziyyad angkat muka. Lekas-lekas dia bangun dari duduk dan melangkah ke arah keretanya yang berada tidak jauh dari situ. Pembalut gula-gula getah di simpan dalam poket seluar. Tak tahu kenapa, sayang pula nak membuangnya.

“ Kau tak rasa pelik ke?” soal Hidayah bila kelibat kereta milik majikannya itu berlalu pergi. Bukan main laju lagi lelaki itu bawa kereta.

“ Apa yang peliknya?” soal Nurul pula bila ketiga-tiganya mula melabuhkan punggung pada bangku menunggu bas.

“ Semua orang tahu yang Encik Ziyyad tu tak suka bercakap dengan orang. Kalau dia bercakap pun, benda-benda penting aje. Tapi kenapa dia bercakap dengan Haura? Kau tak perasan ke?” sambung Hidayah lagi. Sebenarnya dia dari tadi lagi memerhati perlakuan Haura dengan Encik Ziyyad di tempat menunggu bas sebelum Natasya dah Nurul tiba. Tak pelik ke bila lelaki pendiam dan jarang tersenyum boleh berbual dengan seseorang.

Natasya mengetap bibir. Sakit pula hatinya bila mendengar apa yang baru di katakan kawan baiknya itu. Selama ini aku cuba dekat dengan Encik Ziyyad, tetapi lelaki itu selalu mengelak. Nak bercakap sepatah dengannya pun susah inikan nak duduk sekali. Kenapa dengan Haura lain pula perwatakannya?

Melastik Ke HatiMuWhere stories live. Discover now