BAB 11

1.3K 26 0
                                    

"ASSALAMUALAIKUM, Nek Wan."

"Waalaikumussalam. Ha, balik dah? Okey kerja hari ni?" balas Nek Wan yang sedang duduk di pangkin memarut kelapa.

Nak buat apa lagilah tu? Tak duduk diam betul Nek Wan ni, bisik Najuwa dalam hati. Dia melabuhkan punggung di atas pangkin dan mengucup hormat tangan tua itu.

"Okey aje. Nak buat apa kelapa banyak-banyak ni?" soal Najuwa.

"Lempeng kelapa. Orang jauh teringin nak makan."

Dahi Najuwa membentuk kerutan. Orang jauh?

"Siapa?" soal Najuwa.

Kepalanya ditalakan ke laman rumah Nek Wan. Tiada pula kereta atau kenderaan lain yang menunjukkan Nek Wan ada tetamu. Isy, bergurau apa pula Nek Wan petang-petang begini?

"Dia dah balik. Ada dekat atas tu, tengah berehat," balas Nek Wan.

Berubah riak Najuwa saat mendengar jawapan Nek Wan itu. Siapa lagi yang Nek Wan maksudkan, jika bukan Rafiqree Zuhayr. Tiba-tiba jantung Najuwa rasa berdebar. Mimpi apa pula dia balik?

"Tiba-tiba aje balik? Kenapa?" soal Najuwa.

Nek Wan tersenyum, kemudian menggeleng.

"Nek Wan tak mahu tanya. Dia balik pun Nek Wan dah bersyukur."

Ada getar di balik suara Nek Wan. Najuwa ukirkan senyuman hambar. Dia tahu, Nek Wan telah sekian lama menyimpan rasa sedihnya. 10 tahun cucu kesayangannya itu pergi tanpa berita.

Najuwa juga rasa terkilan dan sedih. Zuhayr pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Seolah-olah dia bukan seseorang yang penting untuk Zuhayr. Hatinya rasa kehilangan dan kosong. Sudahlah dia sedang diuji dengan dugaan yang berat waktu itu. Ditambah pula sakitnya ditinggalkan.

Bertahun-tahun dia menunggu. Berharap Zuhayr akan pulang dan memberikan penjelasan. Namun, semakin lama, semakin Najuwa putus asa. Dia menerima hakikat bahawa nama Zuhayr perlu dipadam daripada hatinya, seperti lelaki itu yang telah pergi dan memadam segalanya tentangnya.

Cuma, beberapa tahun kebelakangan ini, adalah dia dapat tahu yang Zuhayr sudah menjadi CEO hotel mewah yang gah di Kuala Lumpur. Hotel mereka berjumpa hari itulah. Itu pun, Attiyah yang beritahu. Sebab adiknya aktif di laman sosial Facebook dan Instagram.

Katanya, Zuhayr tersenarai sebagai CEO termuda dalam Malaysia. Dari situ, Najuwa selalu juga curi-curi melihat perkembangan Zuhayr. Tapi, setakat itu sajalah yang dia mampu buat. Orang dah tak sudi, takkan dia pula mahu terhegeh-hegeh.

Hari ini, Zuhayr pulang ke kampung pula. Tiba-tiba saja? Atau sebab pertemuan mereka beberapa minggu yang lalu? Oh, dah terjumpa tanpa sengaja dengan aku, baru tersedar yang kau pernah jadi orang kampung? Baru nak ingat Nek Wan? tebak Najuwa dalam hati.

Najuwa mencebik. Menyampah pula jadinya.

Wajah Nek Wan dipandang sayu. Insiden terjumpa dengan Zuhayr itu, tak diceritakan pun kepada Nek Wan. Sebab Najuwa tahu, Nek Wan pasti akan bersedih dan kecil hati.

Cucu yang seorang itu, sihat saja. Tapi, sanggup membiarkan neneknya di kampung ini menanggung rindu tanpa dijenguk walau sekali. Cucu apa macam tu? Tak mengenang budi.

"Tak apalah kalau macam tu. Najuwa balik dululah. Nek Wan dah ada kawan, kan?" ucap Najuwa sambil tersenyum.

"Eh, jangan nak mengada-ada. Makan dekat sini. Ingat Nek Wan selera nak makan kalau kamu tak ada?" balas Nek Wan.

"Cucu kesayangan dah balik. Mestilah besar seleranya. Silap-silap, Najuwa pun dah tak hingin dipandang," usik Najuwa.

"Isy, ada saja nak menyakat. Jom, masuk dalam. Gulai lemak nenas ikan terubuk dah menunggu dekat dapur tu. Semalam kata teringin nak makan, kan?" pancing Nek Wan.

LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYRWhere stories live. Discover now