BAB 10

1.2K 25 0
                                    

"MASUK."

Zuhayr mengangkat kepalanya dan muncul Arlina di sebalik pintu pejabat miliknya. Dia menanti pembantu peribadinya untuk masuk ke dalam. Wajahnya cuba dimaniskan walaupun dia masih dalam keadaan marah. Dia tahu, Arlina perasan akan perubahannya itu.

"Cik Najuwa dah balik dengan kawan dia. Dia tak mahu menginap di sini dan saya tak menghalang dia, seperti yang tuan minta," lapor Arlina.

Zuhayr mengangguk faham dan mengucapkan terima kasih.

"Duduk sekejap, Arlina. Saya nak bincang sikit."

Arlina mengangguk dan menarik kerusi. Setelah itu, dia menanti bicara daripada majikannya. Daripada raut wajah Zuhayr, dia tahu ketuanya itu sedang berada dalam emosi yang tidak baik. Apa yang Zuhayr saksikan tadi, dia juga saksikan.

"Siasat siapa perempuan yang bersama dengan dia tadi. Kalau pekerja hotel kita, awak tahu apa nak buat, kan?"

Wajah Arlina bertukar kelat. Namun, dia mengukir senyuman hambar dan mengangguk faham. Jika perempuan yang dilihat tadi adalah pekerja di hotel ini, bermakna, hari ini adalah hari terakhir perempuan itu bekerja di sini.

Zuhayr sama sekali tidak akan berkompromi kepada mana-mana pekerja yang terlibat dengan skandal bersama pihak atasan, apatah lagi bersama lelaki itu. Lelaki yang cukup dibenci Zuhayr.

"Saya ada apa-apa urusan penting tak untuk minggu ini dan minggu hadapan?" soal Zuhayr.

"Sebentar, saya semak."

Arlina mengeluarkan planner miliknya dan menyemak jadual Zuhayr. Setelah meneliti satu per satu, dia kembali memandang majikannya. Jadual kerja dan mesyuarat yang perlu dihadiri Zuhayr dibacakan satu per satu. Setelah selesai, dia menunggu respons daripada ketuanya itu.

"Maksudnya, minggu selepas itu, jadual saya kosong, kan? Saya nak awak kosongkan untuk sepanjang minggu tu. Boleh?"

Dahi Arlina berkerut.

"Boleh, tuan. Tapi, atas sebab apa ya?" soal Arlina.

Sebagai pembantu peribadi Zuhayr, permintaan majikannya itu kedengaran asing di telinganya. Tidak pernah-pernah Zuhayr mahu mengosongkan jadual kerjanya. Bukan niatnya hendak menyibuk. Tapi, dia perlu tahu jika ketuanya ada perancangan atau mahu ke mana-mana. Senang andai terjadi apa-apa hal dan masalah berkaitan urusan kerja. Melainkan jika hal itu bersifat terlalu peribadi.

"Saya rasa nak pergi bercuti," jawab Zuhayr, tenang.

Jawapan Zuhayr itu mengejutkan Arlina. Sepanjang berkhidmat sebagai pembantu peribadi Zuhayr, tidak pernah sekali pun istilah cuti wujud dalam diari ketuanya ini. Kecuali, jika dia benar-benar sakit. Hidupnya hanyalah terisi dengan kerja, kerja dan kerja.

Kadang-kadang, Arlina merasakan Zuhayr sudah melampaui batas kemampuan seorang manusia. Bekerja kadangkala sampai 72 jam tanpa henti. Mengalahkan robot. Tapi, hari ini ketuanya bercakap soal cuti?

Ini bukan biasa-biasa. Ini benar-benar di luar daripada kebiasaan.

"Tuan nak bercuti di mana? Nak saya uruskan?" soal Arlina.

Zuhayr tersenyum dan menggeleng.

"Tak perlu. Saya tak pergi jauh pun. Sekadar nak cari ketenangan sekejap," balas Zuhayr.

Arlina merenung wajah Zuhayr. Dia risau andai emosi majikannya ini sedang benar-benar terganggu. Adakah kerana olah bapa tirinya tadi? Atau... kerana perempuan bernama Najuwa itu?

Dia tahu, Najuwa adalah seseorang yang penting dalam hidup Zuhayr. Pernah beberapa kali dia melihat Zuhayr membelek gambar Najuwa di telefon peribadinya.

"Tapi, saya tak mahu sesiapa pun tahu yang saya pergi bercuti. Jadi, awak tolong saya. Aturkan jadual saya ke luar negara atas urusan kerja. Lagi satu..." Ayat Zuhayr tergantung.

Dia mengeluarkan telefon pintarnya dan mencari sesuatu. Kemudian, dia membuka aplikasi WhatsApps. Nombor Arlina dicari dan sekeping gambar dihantar kepada pembantunya itu. Dia mengarahkan Arlina supaya melihat telefonnya.

"Tempahkan saya gelang tu. Saya nak gelang tu siap sebelum saya pergi bercuti. Boleh?" pinta Zuhayr.

Arlina merenung gelang yang ditunjukkan Zuhayr itu. Dandelion bracelet? Namun, tanpa mempertikaikan permintaan ketuanya, dia mengangguk faham.

"Baik, tuan. Betul tuan tak mahu saya uruskan percutian tuan? Urusan penginapan? Tiket penerbangan?" soal Arlina.

"Tak apa. Terima kasih, Arlina. Saya boleh uruskan sendiri. Cuma, saya minta rahsiakan tentangnya daripada sesiapa pun. Termasuklah..."

"Saya faham, tuan. Dua minggu lagi, Tuan Zuhayr akan ke luar negara atas urusan kerja. Itu saja yang saya tahu," balas Arlina.

Zuhayr mengukir senyuman lagi. Lega kerana pembantu peribadinya yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri ini, memahaminya.

"Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu?"

Zuhayr mengangguk. "Terima kasih, Arlina."

Arlina membalas dengan anggukan dan senyuman. Kemudian, dia bangkit dan berlalu. Walaupun dalam kepalanya masih berselirat dengan bermacam-macam persoalan. Ke mana Tuan Zuhayr mahu pergi?

"Arlina..." sahut Zuhayr.

Sahutan itu, mematikan langkah pembantunya itu. Sebaik Arlina berpaling memandangnya, Zuhayr mengukirkan senyuman lagi.

"Saya okey. Jangan risau," ucap Zuhayr.

Arlina tertawa kecil. Dia mengangguk berteman senyuman nipis sebelum melangkah keluar dari pejabat Zuhayr.

Sebaik Arlina hilang daripada pandangan matanya, Zuhayr melepaskan nafas panjang. Terlayar wajah Najuwa di hadapan matanya. Sekali lagi senyuman meniti di bibirnya. Dia tahu Najuwa marah.

Tunggu aku, Najuwa.

LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYRWhere stories live. Discover now