BAB 9

1.2K 24 0
                                    

NAJUWA berpeluk tubuh dan merenung jauh ke hadapan. Badannya masih terasa seram sejuk. Ditambah pula dengan suhu penghawa dingin yang menyejukkan dalam suite ini. Membuatkan kesejukan dan gigilnya semakin menjadi-jadi.

"Jemput minum, Cik Najuwa."

Najuwa berpaling dan mengangguk kecil. Senyuman nipis dihadiahkan buat perempuan yang tertera nama Arlina pada tag bajunya.

"Terima kasih," ucap Najuwa.

Air yang masih berwap itu dihirup perlahan. Lega saat kehangatannya meresap ke dalam tekaknya. Tiga kali cicipan, cawan putih itu diletakkan kembali ke atas meja.

Najuwa pejam celikkan matanya. Masih cuba untuk menghadam apa yang berlaku tadi. Lamaran tadi, walaupun hanya sebuah lakonan semata-mata, sudah cukup menggetarkan seluruh jiwa dan raganya. Mujurlah dia tidak jatuh pengsan tadi.

Rupa-rupanya, lamaran tadi hanyalah gimik untuk pembukaan studio seni yang baru dibuka di aras tiga pusat beli-belah ini. Patutlah pun mereka membuat persembahan tarian dan lamaran itu bertemakan seni lukisan. Habis saja lamaran tadi, mereka menerangkan tentang gimik itu dan memperkenalkan studio mereka kepada orang ramai.

Itu satu hal. Satu hal lagi, mastermind gimik lamaran tadi adalah Rafiqree Zuhayr. Lelaki yang menghilang sekian lama dan tiada khabar berita. Alih-alih muncul depan matanya, siap melamar dengan nama penuh dia lagi. Hilang akal!

Sedang Najuwa berperang dengan perasaan sendiri, pintu suite itu terkuak. Najuwa telan air liur. Marah memanglah marah. Tapi, dia lebih kepada berdebar. Tadi, bertentang mata sesaat dengan Zuhayr pun dia sudah berdebar macam nak gila. Ini pula hendak bertemu mata dan duduk bersama lelaki itu buat beberapa ketika.

Sebenarnya, Najuwa tak mahu pun naik ke sini. Tapi, dia dipaksa kerana semua yang terlibat dengan gimik tadi rasa serba salah atas apa yang terjadi. Disebabkan tersilap orang dan menyangka Najuwa adalah pelakon yang diupah mereka untuk gimik tersebut, Najuwa menjadi mangsa dan mendapat malu.

Sebagai permohonan maaf, Najuwa ditawarkan untuk menginap di suite hotel mewah ini yang terletak bersebelahan pusat beli-belah tadi. Puas Najuwa menolak, tapi pembantu peribadi Zuhayr beria-ia memujuk Najuwa kerana telah mendapat arahan mandatori daripada bosnya.

Siapa sangka, hotel ini adalah hotel milik keluarga Zuhayr dan lelaki itu adalah ketua pengarah eksekutifnya. Patutlah nama hotel ini macam biasa dengar. Nama hotel ini selalu menjadi sebutan adik-adiknya.

"Aimi dah ada dekat bawah, Tuan Zuhayr. Dia terlambat sebab motosikal dia pancit. Nak panggil dia naik ke sini ke?" soal Arlina.

Zuhayr yang baru duduk berhadapan dengan Najuwa, sekadar menggeleng. Dia menarik keluar dompetnya. Sekeping kad dikeluarkan dan dihulurkan kepada Arlina.

"Tak apa. Teruskan bayaran seperti yang kita dah bincang. Tambah sekali bayaran untuk baiki motosikal dia. Soal tawaran kerja tu, Rizqi akan uruskan. Lepas itu, suruh Rizqi bawa budak-budak pergi makan. Esok saja saya jumpa dia orang di studio," arah Zuhayr.

Arlina mengangguk faham. "Baik, tuan. Ada apa-apa lagi?"

Zuhayr menggeleng.

"Boleh tinggalkan kami sekejap?" pinta Zuhayr.

Arlina mengukir senyuman dan mengangguk. Sempat dia berbalas senyuman dengan Najuwa sebelum berlalu keluar dari suite.

Setelah ditinggalkan berdua bersama Zuhayr, Najuwa melarikan matanya. Tadi, dia merenung Zuhayr diam-diam sewaktu Zuhayr sedang bercakap dengan Arlina. Lain benar penampilan lelaki itu. Tidak sama langsung dengan waktu sekolah dahulu. Nampak jauh lebih matang.

LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYRWhere stories live. Discover now