"Apabila matahari muncul, kita boleh mengubah haluan dan belayar ke arah mentari. Seterusnya kita boleh mencari daratan." Itu kata-kata yang pernah diluahkan oleh jurumudi Orvar. Ia terbukti sebelumnya.
Di sepanjang pelayaran merentasi lautan sekitar Norway-Denmark dan Laut Putih, dia dan pasukannya beberapa kali berhenti di daratan tanah pertanian membeli sumber makanan dan lain-lain keperluan. Selain daripada itu, mereka menemui perbukitan curam, cuaca buruk, kabus, ombak bergulung dan mutakhir ialah pertemuan dengan serangan makhluk aneh.
Wujud desas-desus di sekitar dunia Viking, bahawa banyak kejadian aneh bermunculan, sama ada di lautan atau daratan.
Para pedagang dari selatan bercerita mengenai gempa bumi yang membunuh ramai penduduk.
Agama Nasrani - mempercayai Tuhan Yang Maha Esa - kini dianuti oleh ramai orang di bahagian selatan dunia dari posisi wilayah Viking. Bahkan ramai juga suku kaum Norse turut memeluk agama ini.
Tetapi dalam pada itu, dia hairan. Penganut Nasrani percaya Tuhan Yang Esa, namun dalam masa yang sama mereka bercakap perihal triniti, yakni tiga entiti ketuhanan. Dari kepercayaan ini juga munculnya amaran dari ramai paderi Nasrani tentang kedatangan milenium sejak kelahiran apa yang mereka panggil 'Tuhan'. Fenomena kedatangan kedua setelah banyak kehancuran.
Kemunculan malapetaka. Ancaman kejahatan dari neraka? Kumunculan Valkrie dan kawanannya? Macam-macam telahan bermain di dalam benak Radford.
Radford tidak percaya kepada Tuhan penganut Nasrani. Selain mengelirukan dengan konsep triniti, dia kekal percaya tuhan-tuhan Norse yang diceritakan oleh emaknya. Walaupun ada ketua-ketua agama Nasrani memberi ramalan tentang malapetaka mendatang di milenium baharu, ramai juga yang hanya berdiam diri, terutamanya penganut yang masih kekal dengan konsep Tuhan tunggal atau ajaran tauhid monoteisme.
Walau apapun, kepentingan utama Radford ialah kapal yang bergoyang di bawah kakinya. Ia menjadi perhatian pusat kepada semua anak kapalnya. Kapal lonjong kebanggaan, dengan panjang melebihi lapan puluh kaki dan lebar paling luas lima belas kaki di bahagian tengah-tengah badan kapal.
Sudah sepuluh tahun Radford belajar dengan kapal ini dan selama lebih tiga tahun terakhir inilah rumahnya. Kapal ini ibarat pelindungnya.
"Kita sudah melepasi kawasan berkabus," suara dari hadapan kapal lonjong berkepala naga itu. 'Naga' dapat melihat kembali.
Radford menarik nafas lega lantas memandang ke hadapan. Terpapar sinaran cahaya pagi yang menembusi saki-baki kabus. Kemudian dia menoleh ke belakang. Kabus itu persis membentuk dinding menyembunyikan kengerian yang melanda mereka sebelum ini.
"Dengan izin Tuhan, kita selamat sekarang." Suara dari Arnawama.
Justeru leka dengan benda lain dan dalam masa yang sama soal kehadiran Arnawama menjadi tumpuannya, kerja-kerja menjahit luka di bahu Radford tidak dirasakan. Atau itu juga bersebab lantaran dia biasa terluka. Banyak kesan parut di bahagian-bahagian tertentu tubuhnya. Alah bisa tegal biasa.
Lelaki penumpang itu mengaku dia disir, yakni bertindak sebagai roh atau entiti pelindung suku kaum Norse. Seorang disir diturunkan oleh dewa Norse untuk melindung manusia di Bumi. Itu yang difahami oleh Radford dari cerita-cerita orang lama, juga dari emaknya. Selain menghalang pancaran sinaran dari makhluk Valkrie, dia tidak nampak apa-apa lagi kekuatan disir itu.
Sudah banyak benar dia mendengar kisah disir dan Valkrie, juga dunia Valhalla untuk para perajurit yang mati semasa bertarung. Dalam pelayaran sekian lama ini, dia dapat melihat banyak jenis makhluk ganjil di lautan, bahkan ada cerita para pelaut lain terserempak dengan kelibat makhluk yang lebih pelik. Dan dia percaya dunia ini jauh lebih luas daripada apa yang dia dan anak-anak kapal sudah lalui.
Selalu ada dataran dan kawasan berair lain melewati horizon. Hasratnya bergumam di dalam jiwa untuk meneroka wilayah-wilayah itu kekal tersemat dan menjadi cita-citanya, sebelum bertempur di medan yang bakal membawanya memasuki alam Valhalla.
Justeru kehadiran seorang disir di dalam kapalnya – dengan nama pelik Arnawama – memberinya suatu kepelikan yang berlainan. Situasi aneh yang tidak dia jangkakan. Radford menoleh ke susuk lebih kurang enam kaki dari posisinya. Sementara itu, jahitan luka di bahunya sudah dibuat oleh Arvid. Dia selesa.
Belum sempat berkenalan lanjut dengan lelaki disir itu. Kini tiba masanya, setelah keluar dari kelubung misteri kabut di tengah lautan.
"Kau dari mana sebenarnya?" Radford bertanya.
Sambil menunjuk ke arah matahari terbit, Arnawama berkata, "Jauh perjalanannya. Sangat jauh dari arah sana."
Radford berkerut kening tanda hairan, lalu berkata, "Sangat jauh? Parsi?"
"Melewati Parsi atau Rom. Jauh lagi dari benua India." Senyuman menguntum dari jawapan Arnawama ini.
Kali ini Radford melihat tajam wajah lelaki disir itu. Dia melihat Arnawama seorang pemuda yang rasa-rasanya terlalu muda untuk merentasi jarak sejauh itu. Justeru dia ada mendengar akan legenda tanah sejauh itu, maka tidak boleh tidak dia berasa hairan. Setahunya, suku kaum Viking dan Saxon yang sering membuat pelayaran merentasi lautan. Manakala dia belum melihat kaum-kaum dari dunia Timur merentasi perairan Eropah.
Atau aku yang tidak berpengetahuan akan hal sebegini? Pertanyaan itu muncul dalam benaknya.
Arnawama mengeluarkan sebuah tuib panjang dari mantelnya. Perbuatan itu diperhatikan dengan teliti oleh Radford. Tiub itu tidak pernah dilihat Radford sehingga kini, hampir sebesar lengannya.
"Kami panggil buluh," kata Arnawama setelah melihat kehairanan terlukis di wajah kapten kapal Viking itu.
"Buluh?" Gelengan Radford mengiringi perkataan itu.
"Ini buluh. Sejenis tumbuhan dari wilayah aku datang. Ia tumbuh menegak dan tinggi, sehingga menjadi setinggi pokok yang paling tinggi. Ia berongga di dalamnya, tetapi sangat kuat."
Beberapa orang yang berdekatan turut memberi perhatian kepada perbualan antara ketua mereka dan lelaki disir itu. Mereka turut mempamer wajah kehairanan dan ingin tahu. Bagi Radford pula, banyak sudah kisah ganjil didengari, ada benar dan tidak sedikit sekadar mitos penyedap bahan cerita. Tetapi entah kenapa, dia mahu percaya kepada kisah yang dibawa oleh Arnawama. Ada sinar kejujuran dari senyuman lelaki asing itu.
YOU ARE READING
Chronicle Viking Melayu
Mystery / ThrillerNovel sejarah alternatif dalam bentuk saga sejarah dan thriller. Menggali pengetahuan lama yang ditinggalkan dan digelapkan.