Bab 15

8K 38 19


SARRAFIA masuk ke dalam bilik Bonda Ummi. Ada hal yang perlu dia katakan kepada Bonda Ummi. Menjenguk ke dalam bilik Bonda Ummi. Bonda Ummi mengangguk. Lantas Sarrafia bergerak dan duduk di depan Bonda Ummi.

"Eloklah Sarra masuk ni. Bonda Ummi ada hal nak cakap dengan Sarra,"kata Bonda Ummi.

"Ada apa, Bonda Ummi?" tanya Sarrafia. Perkara yang dia mahu tanya kepada Bonda Ummi terus hilang.

"Ada satu jawatan kosong kat hotel Iz. Iz cadangkan nama Sarra," beritahu Bonda Ummi.

Sarrafia ternganga. Rahangnya itu tidak tertutup. Sarrafia menelan liur.

"Eh, kenapa pula tiba-tiba ada kerja kosong kat situ?" tanya Sarrafia. Dia semakin hairan.

"Banyak aje kerja kosong." Balas Bonda Ummi.

"Mana boleh Sarra kerja kat tempat lain, Bonda Ummi. Nanti Bonda Ummi kurang orang," Sarrafia memberi alasan.

"Itu Sarra jangan bimbang. Iz dah cari orang dah. Okey juga Sarra kerja kat sana. Kalau kerja kat sana tak adalah asyik terperuk macam duduk dalam pusat ni saja. Kat sana Sarra boleh jumpa dengan ramai orang," kata Bonda Ummi.

"Tapi, Bonda Ummi..." Sarrafia mahu menolak.

"Awak takut nak sahut cabaran ke?" tiba-tiba sahaja suara Adriz bergema di dalam bilik tersebut. Muka Sarrafia sudah berubah apabila terdengar suara Adriz. Aduh! Kenapalah mereka kerap bertembung sekarang.

"Bukan takut. Saya tak bercadang nak ubah tempat kerja. Itu saja," kata Sarrafia mengetap giginya. Tidak puas hati apabila dengan mudahnya Adriz menawarkan kerja itu kepadanya. Bagai dibuat-buat kerja kosong itu.

"Bonda Ummi, Iz rasa ada gigi berlagalah," kata Adriz. Dia senyum nakal. Bonda Ummi memandang Sarrafia dan Adriz bersilih ganti. Lambat-lambat dia menggelengkan kepalanya. Adriz mengusik. Bonda Ummi hairan dengan Adriz yang pada awalnya nampak seperti tidak akan melayan perempuan. Tetapi, sekarang lain pula halnya.

"Tak berani sahut cabaranlah tu," Adriz provok Sarrafia pula.

"Pergi aje Sarra. Tengok kerja dalam hotel macam mana pula," giat Bonda Ummi pula. Kasihan pula apabila orang semuda Sarrafia terperuk dalam tempat ini. Lagipun, sudah lama Sarrafia di sini.

Ini belum lagi termasuk Hirda. Jika Hirda ada sekali tentulah Hirda akan menyokong juga. Gerutu Sarrafia.

"Sarra, nak fikir dulu. Sarra keluar dulu Bonda Ummi," kata Sarrafia terus saja keluar. Sakit hati sungguh. Cadangnya itu memang dia mahu berhenti kerja dan mencari kerja lain. Tapi, bukan dalam wakti terdekat. Alih-alih, bila datang pula cadangan begitu Sarrafia tidak mahu berhenti kerja lagi. Biarlah dia di sini sampai bila-bila. Jika di hotel hari-hari dia akan bertembung dengan Adriz. Mampukah dia mahu menahan hatinya supaya tidak berdetak hebat? Sarrafia menunduk sambil memegang dahinya. Matilah dia kalau macam ni.

"Tengah memikir ke Sarra?" tanya Hirda. Sarrafia pantas mendongak.

"Fikir apa pula?" tanya Sarrafia. Dia memandang Hirda.

"Kak Da tahulah pasal kerja Sarra tu. Pergi ajelah Sarra," Hirda juga memberi sokongannya.

"Sarra nak tinggal sini. Kalau Sarra pergi kerja sana Sarra nak tinggal kat mana. Sarra bukannya ada kenderaan nak berulang-alik kalau Sarra tinggal jauh," Sarrafia memberi alasannya.

"Kerja kat sana ada asrama Sarra. Lagi dekat. Jalan kaki tak sampai lima minit aje. Samalah macam kat sini," kata Hirda.

Hirda siap memberi persamaan lagi. Geram sungguh. Macam manalah Adriz boleh terfikirkan mencadangkan hal kerja ini kepada Bonda Ummi. Ketika itu juga mata Sarrafia terpandangkan Adriz yang baru keluar dari bilik Bonda Ummi. Sempat lagi Adriz mengangkat keningnya sambil senyum. Kembang kempis hidung Sarrafia menahan marah.

"Jangan takut nak sahut cabaran, Sarra," kata Adriz dari jauh. Dan Adriz pun keluar dari ruang pejabat itu. Lagilah Sarrafia sakit hati. Rasa mahu menjerit sekuat hati. Giginya berlaga sesama sendiri. Sambil tangan mencengkam bucu meja.

"Sarra, istigfar banyak-banyak. Meja tu tak akan hancur kalau awak buat macam mana pun," tegur Noh.

Sejak tadi, dia hanya menjadi pemerhati dan juga pendengar. Mereka semua tidak sedar akan kehadirannya. Dan yang paling dia tak boleh lupa, Adriz yang nampak berbeza ketika bercakap dengan Sarrafia. Memang dia tak salah rasa. Adriz dan Sarrafia ada sesuatu. Jika tidak masakan Adriz menawarkan Sarrafia bekerja di hotelnya.

Sarrafia senyum ke arah Noh.

"Patut atau tak patut saya terima kerja yang Encik Adriz cadangkan itu?" tanya Sarrafia kepada Noh.

"Suka hati Sarralah nak terima atau tidak. Saya tiada hak nak berkata apa," kata Noh. Mendatar saja suaranya itu. Mahu menegah Sarrafia, dia sedar dia bukan sesiapapun.

"Haisy, Noh ni. Saya minta pendapat. Buat apa pula tiada hak. Itu saya bagi hak untuk memberi pendapatlah. Tapi, tak boleh nak tolong pula," kata Sarrafia.

"Nampak macam Iz sukakan awak, Sarra," ujar Noh tiba-tiba.

"Gila!" kata Sarrafia pantas bangun.

"Kalau dia nakkan saya, sepuluh kali saya pilih awak Noh," kata Sarrafia terus berlalu. Noh senyum manis. Lega hatinya dengan kata-kata Sarrafia.

HIRDA menghampiri Sarrafia. Mahu berbicara dengan Sarrafia. Sebab itulah Hirda mencari Sarrafia. Puas mencari di dalam bilik , barulah Hirda teringatkan tempat kesukaan Sarrafia.

"Layan perasaan ke?" tegur Hirda. Dia duduk di sisi Sarrafia.

Sarrafia tidak memandang Hirda. Malas melayan pertanyaan Hirda.

"Kak Da tak suka juga Sarra tak ada kat sini. Tapi Kak Da rasa lebih baik Sarra pergi," kata Hirda.

"Kak Da tak suka Sarra tak ada kat sini, tapi Kak Da suruh Sarra pergi. Apalah yang Kak Da cakap ni. Sarra pening nak faham," kata Sarrafia.

Hirda gelak kecil.

"Betullah Kak Da mahu Sarra pergi. Sahut cabaran. Dah hampir tiga tahun Sarra kat sini. Rasanya lebih baik Sarra cuba tempat baru pula," dalam nada pujukan Hirda berkata.

"Kak Da dah bertahun-tahun kat sini. Kak Da tak rasa nak tukar kerja?" tanya Sarrafia tidak puas hati.

"Kak Da tak boleh tinggalkan Bonda Ummi," kata Hirda.

Sarrafia menjuihkan bibirnya. Kalau dia bagi seribu alasan pun mereka semua tetap mahukan dia pergi. Jika bukan Adriz yang menawarkan kerja itu, memang dia akan terus bersetuju. Semakin mahu menjauhi Adriz, Adriz semakin menghampiri. Larilah selaju mana pun, Adriz pasti akan tetap menyainginya. Pandai pula Hirda datang memujuknya.

"Kak Da nak balas dendam sebab Sarra selalu buat macam ni. Yalah, bila berkaitan dengan Mr. H?" tanya Sarrafia. Masih tidak puas hati apabila Hirda sudah dua kali memujuknya.

"Aisy, taklah. Kak Da suka Sarra cari pengalaman baru," Hirda menafikannya.

"Hmm... Sarra bukan boleh baca isi hati Kak Da,"

"Kak Da ni ikhlas pujuk Sarra tau. Bukannya disuruh oleh Iz." Kata Hirda sambil mengutil lengan Sarrafia. Geram juga apabila dituduh begitu. Sarrafia menjerit.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now