Romantik 4 Hari 3 Malam - Bab 3

562 0 0
                                    

LANA menggigit bibir. Terasa kesal dalam
hatinya. Kesal yang teramat-amat. Apabila kepala didongak,
wajah lelaki yang duduk bertentangan dengannya itu cukup
merimaskan. Perasaan tidak senang semakin beraja. Dia
cukup benci dengan situasi membosankan seperti itu.
Perlahan-lahan Lana mengeluh.
Jika difikir secara waras, dia pasti menolak. Dia tidak
mahu dan sama sekali tidak ingin melaksanakan tugasan
yang diberi. Malah pada saat Cik Nor memberikan arahan
tersebut, mahu sahaja dia meletak jawatan.
'Tak nak!' bentak hati Lana ketika itu. Bibirnya
digigit sakit. Hatinya mula susah. 'Macam mana nak buat?
Gila!' bentak hati Lana lagi.
"Ada apa-apa soalan?" keras nada suara Cik Nor
menyoal.
Lana masih terkelu. Bibirnya diketap. Perasaannya
bercampur baur, serba salah. Hendak dibantah, ini tugasan
pertamanya!
"Hmm..." Lana hanya mampu menggumam.
"Ya? Cakaplah, apa yang awak nak cakap," gesa Cik
Nor.
Dahi Lana berkerut. Berkecamuk fikirannya
memikirkan ayat yang tepat.
"Hmm..." teragak-agak Lana memulakan kata-kata.
Cik Nor memandang tepat ke arah Lana.
"Hmm... perlu ke saya keluar dengan lelaki yang saya
tak kenal?" perlahan kebimbangan itu disuarakan.
Tajam pandangan Cik Nor.
"Beginilah, Lana. Awak bukannya lembap ataupun
lembam. Jadi, awak boleh fikir dengan logik dan bijaksana.
Sekarang saya cuma nak tanya satu saja soalan. Macam mana
awak nak tulis artikel Blind Date, kalau tak berdasarkan
pengalaman sebenar?" sinis sekali kata-kata yang diluahkan
oleh editornya itu.
Lana mengeluh berat.
"Ya, saya tahu Cik Nor. Cuma..."
"Cuma apa?" pantas keraguan itu dipotong Cik Nor.
Lana menggigit bibir.
"Cuma... saya takut," ujar Lana, cukup perlahan.
Kata-kata Lana dibalas dengan ketawa bongkak Cik
Nor.
"Takut?" Cik Nor ketawa lagi. "Tak sangka, saya pilih
seorang wartawan pengecut. Konon dalam profil, nak jadi
wartawan yang hebat. Nak jadi penulis besar yang ada nama.
Dapat byline dalam majalah-majalah terkemuka; oleh Lana
Analia," tempelak Cik Nor dengan wajah kesal. "Jadi, awak
menyerah kalah? Dah tak sanggup?" soal editor muda itu lagi.
'Kalah? Tidak! Aku tak nak balik kampung! Ini cita-cita
aku! Lagipun aku perlukan duit!' hati Lana membentak,
marah dan tercabar. Kepalanya digeleng beberapa kali.
"Tak. Tak, Cik Nor. Okey, saya akan buat," balas Lana
gugup.
"Bagus," ujar Cik Nor tersenyum puas. "Buktikan
dengan sebuah artikel yang bagus. Saya nak tengok siap atas
meja saya Rabu depan."
"Baik," balas Lana tersenyum pahit.
Dipujuk juga hatinya supaya menerima cabaran Cik
Nor. Mungkin ada hikmahnya. Mungkin secara kebetulan dia
akan diketemukan dengan jodohnya. Bukankah jodoh itu
rahsia Allah SWT?
Disebabkan Cik Nor jugalah dia terperangkap dalam
situasi yang janggal dan sukar. Di hadapannya, seorang
lelaki kurus dan tinggi yang agak tampan perawakan. Lelaki
bernama Mikail itu baru sahaja dikenalinya 30 minit yang
lalu.
Mikail Hakimi. Nama itu menarik perhatiannya
sewaktu melayari portal carian jodoh. Biodata Mikail Hakimi
meyakinkannya. Lelaki itu kedengaran seperti bukan
calang-calang. Eksekutif IT, ada kereta, suka teknologi
baharu, baik hati, senyuman yang manis dan tinggal di lokasi
berprestij!
Pantas kemudiannya Lana menghantar mesej untuk
bertemu dengan Mikail Hakimi.
Ya, menerusi portal cintabersemi.com, dia mencari
teman janji temunya yang pertama. Semata-mata untuk
cabaran yang Cik Nor beri. Untuk artikel sulungnya di
majalah Cinta.
"Awak tak nak makan?" soal Lana, berusaha
menghidupkan suasana.
"Tak," balas Mikail ringkas. Lelaki itu langsung
tidak mendongak ke arah Lana. Lelaki itu terus tunduk dan
tertumpu ke bawah. Pada gadget yang berada di genggaman
lelaki itu.
Lana mengeluh.
"Kita nak ke mana lepas ni?" soal Lana lagi.
Soalan Lana tidak berjawab. Mikail masih tekun
dengan gadget di tangan.
"Mikail..." nama itu disebut. Masih tiada respons.
"Encik Mikail!" ujar Lana menguatkan suara.
"Ya?" Mikail mendongak sedikit. Namun hanya
untuk seketika. Pandangan lelaki itu tertumpu kembali ke
bawah. Wajahnya kelihatan resah. "Ada apa?"
Kali ini Lana memang benar-benar bengang. Dari
tadi, teman janji temunya itu asyik menghadap telefon bimbit!
"Kita nak ke mana lepas ni?" soal Lana, menahan
geram.
"Hah? Ikut awaklah," balas Mikail dengan pandangan
yang tertumpu semula pada telefon bimbit di tangan.
Lana benar-benar bengang. Dating dengan dia atau
dengan telefon tu!
"Boleh tak awak berhenti main telefon tu?" luah
Lana, bengang dan marah. Nada suaranya bergetar.
Mikail tersentak.
"Maaf, awak. Saya betul-betul tengah sibuk ni," ujar
Mikail dengan wajah serba salah.
Lana merengus.
"Kalau sibuk, kenapa setuju nak keluar dengan
saya?" soal Lana.
Mikail menghelakan nafas berat. Wajah lelaki itu
berkerut.
"Saya memang nak keluar. Dah lama saya tak keluar
dengan sesiapa pun," balas Mikail.
"Habis tu?"
"Saya ingat saya tak sibuk," balas Mikail dengan
wajah berkerut.
'Huh. Apa ni?' gumam Lana dalam hati.
"Apa yang awak sibuk sangat?" soal Lana, hairan.
Lehernya dipanjangkan. "Tak boleh ke awak berhenti main
telefon tu dan berbual macam orang lain?" bentak Lana lagi.
Ekspresi wajah Mikail semakin serba salah. Beberapa
kali dia mengerling ke arah skrin telefon bimbit di tangan.
"Saya minta maaf. Betul-betul minta maaf. Kampung
saya kena serang ni," ujar Mikail.
Berkerut wajah Lana.
"Kampung apa?"
"Kampung saya."
"Yalah, kampung apa? Siapa yang serang? Kat
mana?"
"Kampung saya dalam The Powerful Warrior ni,"
balas Mikail menyeringai, isyarat ditunjukkan ke arah telefon
bimbit di genggamannya.
"Permainan?"
"Ya. Permainan dalam talian," balas Mikail,
bersungguh-sungguh. "Maaf ya, Lina. Saya kena jaga
kampung kejap. Nanti kita sambung sembang," ujar Mikail
lagi sebelum menumpukan perhatian kembali ke paparan
skrin telefon. Berkerut-kerut wajah lelaki itu menghadap
permainan dalam talian tersebut.
Bengkak betul! Bulat mata Lana. Tidak percaya dia
dengan kata-kata yang baru didengar. Huh!
Saat itu, Lana terasa amat kecewa dan bodoh. Lelaki
itu tidak mempedulikannya. Malah, tidak ingat pun namanya!
Mikail baru sahaja memanggil dia 'Lina'!
'Padanlah kau tak ada awek! Siapa ajelah yang
sanggup jadi awek kau!' hati Lana menyumpah. Geram!
Mungkin tempoh hari Lana tidak faham akan
kehendak Cik Nor. Namun, hari ini dia sudah cukup-cukup
faham dan berterima kasih kepada editornya itu.
Pertemuannya dengan Mikail Hakimi membuatkan
dia menyedari sesuatu. Lelaki memang makhluk yang aneh.
Pelik! Ya, aneh dan pelik. Pengalaman ini memang harus
dikongsi dengan semua orang. Biar semua tahu, kepelikan
makhluk bernama lelaki.
'Sibuk sangat kau main Powerful Warrior. Siaplah
kau nanti dengan kutukan dan ketukan keyboard warrior,'
bisik Lana dalam hati. Bibirnya tanpa sengaja tersenyum puas
membayangkan tajuk artikel pertamanya. 

Romantika 4 Hari 3 Malam - Wizana EmiliaWhere stories live. Discover now