BAB 7

1.6K 42 0
                                    

10 tahun kemudian...

"ASSALAMUALAIKUM!"

Jeritan itu mengejutkan Najuwa yang sedang menyusun roti di atas para. Syakirah yang tersengih lebar memandangnya, dijeling tajam.

"Tak cakap pun nak datang?" soal Najuwa.

Syakirah tersengih lagi. Tangannya naik memeluk bahu Najuwa.

"Saja nak buat kejutan. Rindu dekat kau," balas Syakirah.

Dia memandang sekeliling kafe Abang Johan. Hanya ada beberapa orang pelanggan yang sedang makan. Dah masuk waktu bekerja begini, memang agak sunyilah kafe ini. Tunggu waktu tengah hari nanti, memang tidak menang tanganlah sahabatnya yang seorang ini hendak melayan pelanggan yang keluar masuk.

Najuwa menarik tangan Syakirah dan mereka sama-sama duduk di meja makan berhadapan kaunter.

"Jadi tak nak daftar?" soal Syakirah.

Najuwa sekadar tersenyum hambar.

"Kenapa lagi?"

"Banyak nak pakai duitlah. Mak uda pun tak sihat sangat. Siapa nak jaga dia kalau aku tak ada?"

Syakirah menjeling Najuwa.

"Alasan. Memang mak uda tak bagi, kan?"

"Taklah. Cuma aku terfikir. Mak uda tu, sejak kebelakangan ni, selalu jatuh sakit. Pasal duit pun satu hal. Nanti kalau dah masuk kuliah, banyak nak pakai duit. Simpanan aku berapalah sangat. Ubat mak uda tu, sebulan dekat 200 ringgit juga. Belanja sekolah adik-adik aku lagi. Izam pula nak kahwin tahun ni. Kalau pergi kuliah, aku kena kerja part-time aje. Sikitlah gaji aku," ucap Najuwa.

Dahi Syakirah berkerut seribu.

"Izam nak kahwin, lantaklah dia. Apa kena-mengena dengan kau? Kalau nak fikirkan duit tak cukup, sampai bila-bila pun kau takkan dapat peluang nak sambung belajar, Wa. Kalau kos pelajaran, berapalah sangat. Pinjaman pelajaran pun ada. Kau tu jenis berjimat cermat, aku tahu. Memang boleh hiduplah, senang ceritanya.

"Lagipun, duit peninggalan dan pencen arwah ayah kau, masih ada. Takkan semuanya mak uda telan seorang? Lebih daripada cukup aku rasa, nak buat tampung kos perubatan dia dan belanja sekolah adik-adik kau. Apa mak uda kau ingat, kau orang adik-beradik bukan tanggungan dia ke? Wah, sedaplah hidup kalau macam tu!"

Najuwa mengukir senyuman paksa.

"Takkan aku nak diam aje. Izam tu, gaji tak besar mana. Mana cukup nak buat majlis? Hantaran lagi. Aku kenalah bantu mana yang boleh. Kalau tak bantu, mak uda bising pula nanti. Duit pencen tu, aku malas nak tanyalah, Syak.

"Datang baik dia, dia bagilah aku dan adik-adik. Kalau tak ada, tak adalah. Kau tahulah mak uda tu. Kalau aku tanya nanti, melentinglah dia. Kalau dia marah aku seorang, tak apa juga. Ini tidak, dengan adik-adik aku semua jadi mangsa. Kesian dia orang. Sebab itu, aku diamkan aje."

Syakirah mengeruh.

"Dah tahu tak ada duit, gatal nak kahwin. Itu mesti berangan nak buat majlis besar, kan? Aku tak fahamlah dengan kau ni, Wa. Baik sangat. Sampai bila kau nak korbankan masa depan kau untuk dia orang? Mak uda tu, tak layak dipanggil seorang ibu, tahu tak? Kejam dengan anak-anak sendiri. Macam mana kau boleh bersabar, Najuwa?" soal Syakirah.

Kali ini Najuwa mengukir senyuman nipis.

"Tak baik kau cakap macam tu. Kalau tak ada mak uda, aku dengan adik-adik dah lama hidup merempat, Syak," balas Najuwa.

Mujur mak uda masih sudi menjaga dia adik-beradik setelah kematian ayah. Jika bukan kerana ibu tirinya itu, mungkin dia dan adik-adiknya sudah hilang tempat bergantung.

LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYRWhere stories live. Discover now