Bab 14

7.3K 35 0

ADRIZ melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Masih lagi terbayang-bayang Sarrafia dengan wajah geramnya. Adriz sengih.

Pintu diketuk, mengejutkannya daripada terus melamun. Dia memandang ke arah pintu yang sudah dikuak itu. Terjengul Annura di depannya. Ha...Ini seorang lagi perempuan yang baginya baik. Pengurus Pemasarannya itu sudah berada di depannya.

"Iz, ni dokumen tentang ballroom yang ditempah bulan lepas. Dia orang mahu menambah lagi tiga meja. Meja tu pula dia orang mahu warna lain untuk alasnya," beritahu Annura.

Adriz membelek dokumen tersebut. Dia memandang tarikh yang tertera. Lagi satu minggu.

"You ada masalah ke nak uruskan kain alas tu?" tanya Adriz, mendongak memandang tepat ke dalam mata Annura.

"Tak...Taklah, tapi kain alas untuk tiga meja itu berlainan. Bukankah pelik," kata Annura.

"Awak tahu tak perkara paling utama untuk hotel kita ni?" Ayat Adriz tergantung.

"Customercomesfirst," jawab Annura.

"Ha...Tahu pun. Jadi, biarlah dia nak sepuluh kain alas berbeza pun. You dah dapat bajet daripada bahagian kewangan kan, biarlah. Lagipun, kita dibayar untuk menyenangkan pelanggan." Kata Adriz. Annura memandang tepat ke wajah Adriz. Untunglah andainya lelaki ini mudah jatuh cinta.

"Annura...Ada lagi yang you tak puas hati ke?" tanya Adriz apabila Annura statik di depannya.

"Hah! Sorry, Iz. Tak ada apa-apa. Ann keluar dululah," katanya terus mengambil dokumen yang telah diletakkan di depannya. Buat malu saja, desis hati Annura. Siapa yang tidak tertarik dengan lelaki sekacak Adriz. Berkarisma. Pakaiannya pula selalu saja menarik, tak kiralah sut itu berwarna apa. Dia sendiri begitu tertarik dengan Adriz sejak kali pertama mengenalinya. Tapi, Annura tak mahulah terburu-buru.

Adriz memandang keluar tingkap biliknya yang berada paling atas dalam bangunan Hotel Azya. Langit biru yang cantik dipandang. Bagai mimpi Adriz berada di sini. Ada sebabnya dia berada di sini sekarang.

Kali pertama bertemu dengan Sarrafia dia sudah tidak keruan. Sebab itulah dia mengambil keputusan untuk terus berada di sini. Ingin tahu apa yang membuatkan Sarrafia boleh membuatkan dia jadi begitu. Tidak pernah lagi seorang perempuan memberi impak yang kuat begini kepada dirinya.

Petang itu selepas pulang dari hotel, dia membawa diri ke Rumah Azirah. Mahu melihat Sarrafia lagi. Mungkin ada lagi peluangnya untuk bercakap dengan Sarrafia. Dia menjenguk ke dalam pejabat. Tempat Sarrafia kosong. Ke mana pula dia?

"Iz...Cari siapa?" tegur Bonda Ummi apabila dia yang baru masuk ternampak Adriz menjenguk ke dalam pejabat.

Adriz terkejut, tetapi dia cepat saja mengawal riak wajahnya dan menjawab.

"Cari Kak Da." Maaflah, Kak Da. Terpaksa petik nama Kak Da, desis hatinya.

"Hmm...Kak Da keluar dengan Sarra. Katanya nak membeli barang di Pekan Kuah," beritahu Bonda Ummi.

Untung sebut nama Kak Da. Orang yang dicari sudah diketahui ke mana perginya.

"Nantilah saya datang semula," ujar Adriz.

"Tak nak masuk tunggu dalam ke?" tanya Bonda Ummi.

"Tak apalah, Bonda Ummi. Iz balik dulu," balasnya.

Dia segera melangkah ke keretanya. Kalau dia menanti kedua-dua mereka pulang nanti, tak pasal-pasal kena menjawab kenapa dia mencari Hirda.

Baru sahaja Adriz mahu membuka pintu keretanya itu, orang yang dicari-cari sudah muncul. Mereka berdua keluar dari kereta. Jelingan Sarrafia kepadanya itu memberitahu bahawa dia tidak suka Adriz datang ke sini.

"Iz, tolonglah Sarra tu. Banyak barang nak kena bawa," kata Hirda. Dia memuncungkan mulutnya ke arah Sarrafia. Sarrafia ketika itu terkial-kial memegang plastik barang. Adriz senyum lantas menutup pintu keretanya.

"Mari sini saya tolong Sarra," kata Adriz sambil tanganya itu mengambil beg plastik di tangan Sarrafia. Tersentuh kulit jemari Sarrafia membuatkan Sarrafia terus melepaskan beg plastik itu. Sarrafia jeling.

"Kena sikit aje pun. Tu pun terkejut," usik Adriz seraya mengenyitkan mata. Bulat bebola mata Sarrafia memandang Adriz. Ini sudah melampau.

"Sikit pun tak boleh, Encik Adriz. Haram. Encik Adriz tak tahu ke apa makna haram?" Sindir Sarrafia.

"Tahu, tapi saya bukan sengaja bagi tangan saya terkena dengan kulit awak tu. Dah namanya nak tolong," Adriz membela diri.

"Kenapa tak tunggu saya letak dulu beg plastik ni?" Sarrafia tidak puas hati.

"Awak letaklah dulu," kata Adriz apabila tangan Sarrafia penuh semula dengan beg plastik.

"Ini saya yang nak bawa. Awak bawalah yang tu," muncung mulut Sarrafia terarah ke beg plastik di tangan Adriz.

"Itupun saya nak tolong," kata Adriz terus juga menyambar tangan Sarrafia. Tidak peduli kulit mereka bersentuhan.

"Encik Adriz!" jerit Sarrafia apabila beg plastik itu sudah bertukar tangan. Dengan ketawa nakal Adriz terus sahaja berlalu.

Sarrafia mendengus. Sakit hati dengan Adriz. Kenapa Adriz begitu? Kenapa dia tidak seperti dulu? Yang hanya tahu berbicara kasar sahaja. Kenapa dia berubah jadi gila-gila macam ni? Jika Adriz seperti dahulu tentu lebih menyenangkan.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now