Bab 12

7K 16 0

ENCIK SAMSUL memandang isterinya yang sedang menjahit. Sejak Sarrafia keluar dari rumah ini, dia tidak pernah lagi menyebut nama Sarrafia. Entah kenapa dia merasakan dia perlu menjernihkan semula hubungan dua beranak itu.

"Rina,kalau abang cakap sikit boleh tak?" tanya Encik Samsul kepada Puan Sabarina.

"Hah?" Puan Sabarina terkejut dek kerana asyik menjahit sembat susut pada hujung baju kurung pelanggannya.

Dia mendongak memandang suaminya. Encik Samsul tersengih.

"Abang ni...Macamlah Rina ni orang lain. Apa yang abang nak tanya?" tanya Puan Sabarina sambil terus menjahit.

"Kita cari Sarra," kata Encik Samsul, berhenti ayatnya itu dengan nada yang agak tegas. Puan Sabarina diam. Puan Sabarina bangun untuk ke dapur.

Dia tidak mahu berbicara tentang satu-satunya anak yang membuatkan hatinya begitu terluka sekali. Encik Samsul sedar, diamnya Puan Sabarina tiada kompromi mahu mencari Sarrafia. Tegasnya dia, lebih keras hati lagi isterinya itu. Pening kepalanya. Sarrafia pun langsung tidak pernah menghubungi mereka. Itupun keras hati juga. Ah! Mama dia sendiri tidak lagi mahu mengaku dirinya anak, tentulah dia tidak akan menghubungi mereka. Kuah mesti akan tumpah di atas nasinya. Macam mana emak, begitulah anaknya.

Encik Samsul duduk diam di kerusi di luar rumah itu. Matanya memandang ke luar pagar rumah teresnya itu. Dia yakin dia memang ternampak Sarrafia di Pulau Langkawi bulan lepas. Tapi, dia tidak tahu sama ada Sarrafia tinggal di situ ataupun hanya datang sebagai pelancong. Dua tahun mereka tidak mendengar khabar berita daripada Sarrafia, selepas dihalau keluar oleh isterinya itu.

Kenapalah begitu mudah sekali dia menyerahkan satu-satunya mahkota wanita miliknya kepada lelaki yang bukan suaminya. Kerana wangkah? Atau kerana suka-suka?

Puan Sabarina keluar semula dengan sebekas keropok ikan goreng di tangannya dan juga sebotol air sirap. Encik Samsul senyum sambil mengambil bekas itu di tangan isterinya. Dalam marah-marah pun dia masih lagi ingat akan perut suaminya itu.

Dia melabuhkan duduk di sisi suaminya. Baju yang diletakkan di atas kerusi itu dipegang semula. Mula menjahit semula.

"Ni keropok yang abang beli kat Langkawi hari tu," kata Puan Sabarina. Encik Samsul senyum.

" Abang masih fikir orang yang abang nampak dulu, Sarra ke? Rina masih lagi belum dapat terima apa yang Sarra buat. Abang jangan sekali-kali cari Sarra. Dan Rina takkan sekali-kali maafkan dia!" Puan Sabarina memberi arahan. Laju sungguh. Encik Samsul mengunci mulutnya. Terus hilang kata.

"Rina tak boleh lupa apa yang telah dia lakukan. Rina betul-betul kecewa dengan dia. Rina tak sangka anak yang Rina lahirkan jadi begitu. Menjadi hamba seks kepada lelaki," sambung Puan Sabarina lagi.

"Abang tak kata apa yang dia buat tu betul. Cuma abang rasa kita patut cari dia," kata Encik Samsul.

"Abang tak pernah lahirkan dia. Sebab tu abang tak rasa apa yang Rina rasa. Jangan sesekali abang cari dia," balasnya dengan tegas.

Encik Samsul memandang isterinya. Hmm...Nampak gayanya, hanya dia saja yang mahu mencari Sarrafia. Dia diam sahaja, tidak membalas kata-kata isterinya.

"Tempahan yang banyak hari tu dah siap ke?" tanya Encik Samsul, mengubah topik. Kalau dia masih lagi bercakap tentang Sarrafia, tak pasal-pasal malam ini dia tidur di luar bilik.

"Ada lagi dua helai. Dia orang nak ambil dua minggu lagi. Sempatlah Rina siapkan yang lain sama," beritahunya.

Dia sudah melepaskan Sarrafia pergi dari hidupnya. Biarlah apa mahu jadi dengan anaknya itu. Yang pasti, sakit hatinya tetap berbekas dalam hatinya. Tidak pernah berkurang walaupun sedikit. Puan Sabarina tidak tahu apa yang akan dia lakukan jika dia bertemu dengan Sarrafia. Sudah dua tahun Sarrafia tidak muncul di depan mata mereka.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now