Bab 11

7.2K 21 1

SEMUA orang melangkah masuk ke dalam restoran ikan bakar yang sudah ditempah Haqif. Noh juga turut serta. Sesekali Noh mencuri pandang ke arah Sarrafia yang sedang berbual dengan Hirda. Bagaimanalah dia mahu membuang rasa cinta yang ada dalam dirinya ini. Cinta yang hanya bertepuk sebelah tangan ini tidak akan ke mana-mana.

"Noh pandang Sarra macam bertahun tak pernah bertemu,"tegur Haqif. Dia sengih.

Noh tengadah. Dia tidak menyangka Haqif perasaan akan pandangannya itu.

"Saya suka tengok dia,"kata Noh, tersenyum kepada Haqif. Mujur teguran Haqif itu perlahan sahaja antara mereka berdua.

"Buat apa tunggu lama-lama, Noh. Masuk aje meminang,"giat Haqif lagi.

"Sarra terang-terangan tidak mempunyai rasa yang sama dengan saya, Abang Qif,"ujar Noh, berjauh hati.

"Belum cuba belum tahu, Noh. Mungkin sebab Noh belum ucapkan apa yang Noh rasa, Sarra tak tahu," ujar Haqif lagi.

"Entahlah...Mungkinkah?" Noh berteka-teki.

Haqif pandang Sarrafia. Sekali pandang, Sarrafia memang mudah dijinakkan. Tapi, bila mengenali tuan empunya diri, baru dia tahu Sarrafia itu bagaimana orangnya. Walaupun kadang-kadang nampak dia agak kebudak-budakan, ada juga ketegasan dalam dirinya. Sudahnya, dia hanya memendam rasa.

"Tak rasa ke kita bertiga tak bertuah dengan perempuan? Nak dapat seorang pun punyalah susah," kata Haqif. Dia ketawa kecil diikuti gelak Adriz dan Noh.

Adriz menghantar Sarrafia dan juga Hirda pulang ke Rumah Azirah selepas makan. Bonda Ummi dan Noh ada hal lain sebab itulah mereka tidak pulang sekali.

"Sarra, Noh tu..." Haqif membuka kata.

"Hah! Jangan nak mula. Sarra tak nak dengar. Cerita pasal Sarra tak ada, ya. Kalau nak cerita, mesti cerita pasal Mr.H dan Kak Da aje," katanya.

"Amboi! Pandai pula suruh cerita pasal kita orang." Hirda cepat sahaja menyambung kata. Dia menjeling geram ke arah Sarrafia. Sarrafia hanya menjelirkan lidahnya.

"Awak tak payah ambil hatilah Da dengan Sarra. Dah betul pun nak cerita pasal dia, Noh tak ada. Kita cakap pasal kitalah," usik Haqif.

Sarrafia di sisi terus gelak.

"Ha... kenenkan Sarra dengan orang yang tengah memandu tu," kata Hirda.

Adriz terbatuk kecil apabila namanya juga diseret masuk sekali. Memang tak boleh jadi mereka ni. Haqif diam tidak membalas kata-kata Hirda. Nanti tak pasal-pasal kena marah dengan Adriz. Dia mengerling ke arah Adriz yang diam itu.

SARRAFIA bergolek-golek di atas tilam. Sesekali kakinya diangkat bagaikan sedang bersenam. Hirda memandang pelik kelakuan Sarrafia. Dia duduk di birai katil sambil menepuk paha Sarrafia. Sarrafia menoleh ke arah Hirda.

"Buat apa ni?" tegur Hirda.

"Saja. Kenyang makan ikan bakar, hasil belanjaan Mr.H tu," kata Sarrafia sambil ketawa kecil.

"Huh! Ada-ada sajalah Sarra ni," ujar Hirda. Dia bangun, namun jemari Sarrafia cepat sahaja menangkap pergelangan tangan kakak angkatnya itu.

"Ada apa lagi?" tanya Hirda, hairan dengan tingkah Sarrafia.

"Pasal Mr. Hlah, Kak Da," katanya sambil mengerdipkan matanya.

"Kenapa pula dengan dia ya? Ada kena-mengena dengan Kak Da ke?" Hirda malas melayan apabila nama Mr. H yang keluar dari mulut Sarrafia.

"Kak Da ni, dia tu sukakan Kak Da. Kak Da tak payah jual mahallah. Nanti kalau tua sangat dah tak ada orang nakkan Kak Da." Sarrafia sengih dengan ayat akhirnya.

"Amboi! Kak Da ni tua sangat dah ke? Sampai hati Sarra doakan Kak Da macam tu," kata Hirda.

"Bukan doalah, dah ada yang nakkan Kak Da. Cukup pakej pula tu. Rugilah kalau tolak. Sarra bukan busybody, tapi sayanglah kalau Kak Da dengan dia tak bersama. Senang cerita tak payah sembunyi dah pasal hati ni." Sarrafia cuba memujuk lagi.

Hirda menjentik dahi Sarrafia. Pandai pula cakap macam tu. Sarrafia menyeringai kesakitan kerana tidak menjangkakan Hirda akan menjentik dahinya. Dia mengusap dahinya.

"Dah Kak Da tak nak,tapi Sarra jadi telangkai pula," kata Hirda tegas.

Hirda bangun dan keluar dari bilik Sarrafia. Dia menggelengkan kepalanya dengan kata-kata Sarrafia. Pandai saja dia nak aturkan hidup orang. Bukan dia tidak berkenankan Haqif, tapi layakkah dia yang serba kekurangan ini mendampingi si lelaki yang punya segalanya? Dia anak yatim piatu yang hanya menumpang kasih dengan Bonda Ummi. Hirda duduk di kerusi berhadapan dengan taman kecil yang dibina untuk beriadah pada waktu senggang. Matanya memandang jauh ke langit yang penuh dengan bintang. Kalaulah dapat dia mengira bintang.

"Bintang tu tak akan jatuh ke tanah kalau pandang penuh perasaan pun," tegur satu suara.

Dup dap, jantung Hirda berdegup apabila terdengarkan suara itu. Haqif berdiri di sisi bangku itu. Dia juga turut memandang ke atas. Banyak pula bintang malam ini.

"Dapat ke kira bintang tu?" tanya Haqif, mahu berbicara dengan Hirda.

"Bukan ke mata awak kat atas juga. Buat apa tanya saya lagi?" tukas Hirda. Bukan tidak suka lelaki ini mahu mengendeng dengannya, tetapi rasa rendah dirinya yang membuatkan dia tidak betah melayan lelaki itu.

Haqif gelak kecil dengan kata-kata Hirda. Sinis sungguh si gadis ini. Dia ingat Haqif ini mudah putus asa agaknya, desis hatinya.

"Memanglah, tapi saya nak tahu daripada awak sebab saya tak bilang pun. Saya tengok aje," ujar Haqif.

"Awak tahu ke saya tengah bilang bintang? Awak sewel ke apa?" kata Hirda, terus bangun.

"Hirda," panggil Haqif.

Namun, Hirda berlalu dengan cepat. Baran sungguh si manis itu. Haqif sengih. Sekarang dia pula yang sedang membilang bintang. Sambil menyeluk kocek seluar tracknya itu, dia memandang ke langit. Lepas ni kita bilang bintang bersama ya, Hirda, desis hatinya.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now