Bab 9

7.6K 28 0

"KAMU betul-betul ke nak tinggal di sini, Iz?" tanya ayahnya, tidak percaya dengan keputusan Adriz sebenarnya. Tiada angin tiada ribut, Adriz mahu tinggal di sini.

"Betullah, ayah. Kesian pula Haqif dengan ayah kena berulang-alik. Sudah sampai masanya Iz bertanggungjawab. Ayah pun dah lama mahu Iz ke sini, kan?" balas Adriz.

"Kalau macam tu, senang hati ayah. Haqif pun tak perlu bersusah payah ke sini lagi," katanya tersenyum.

Sepatutnya sudah lama Adriz mengambil keputusan berada di sini. Dia datang ke sini hanya untuk menenangkan hati. Namun, bila difikirkan semula, dia memang perlu ke sini lagi. Kasihan melihat ayahnya itu berulang-alik dari Kuala Lumpur. Terpaksa menguruskan hotel dan juga Rumah Azirah. Sudahlah kudratnya bukan kuat lagi. Apalah salahnya dia berkorban. Dan biarlah dia bersusah payah pula.

Adriz hanya mengikut kakinya sahaja pada tengah hari itu. Berehat lagi sehari sebelum memulakan kerjanya sebagai Pengarah di Hotel Azya. Sesekali kakinya menyepak kulit-kulit kerang yang berada di hujung kakinya. Dia berhenti di pohon ru yang besar itu.

Ralit dia memandang gadis yang sedang mendongak ke atas itu. Apa yang ada di atas pokok ru itu pun dia tidak tahu. Mungkinkah gadis yang sama yang dia lihat ketika kali pertama tiba di sini? Dia mendekat ingin melihat apa yang dipandang oleh perempuan itu. Krakk! Dahan kecil pokok ru dipijaknya.

Sarrafia pantas menoleh. Matanya berpadu dengan mata lelaki yang semakin hari semakin kerap berada di depan matanya.

"Awak!" terjerit mereka berdua serentak.

"Saya ingat perempuan manalah. Rugi pula mahu sekodeng,"kata Adriz ketawa.

"Saya suruh awak sekodeng saya ke?" balas Sarrafia agak kasar.

Macamlah dia perempuan tak laku. Kacau saja orang nak lihat bintang siang hari.

"Dulu awak kat sini juga, kan. Apalah yang ada kat atas pokok ru tu?"kata Adriz terus memandang ke atas. Ada cahaya kecil di celah-celah daun ru itu. Tidak lama dia mendongak, kepalanya sudah pusing.

"Tempat ni tak ada pula tulis reserved. Jadi, sesiapa saja boleh duduk kat sini. Kenapa?Salah ke kalau saya duduk kat sini?" tanya Sarrafia sinis.

"Lagipun ni tempat awam. Tanah ayah awak tu tak termasuk sekali dengan pantai ni,"sambungnya lagi.

Sarrafia bangun. Malas dia hendak bertekak dengan Adriz. Adriz yang semakin peramah dengannya. Dulu nak dengar suaranya macam apa. Kena tanya baru nak bersuara. Apa yang dia tahu hanya bagi arahan sahaja.

Adriz membuntuti Sarrafia yang berjalan laju, sengaja meninggalkannya jauh di belakang. Pintu belakang Rumah Azirah ditarik kasar. Ditutup kembali betul-betul di depan wajah Adriz. Main kasar nampaknya si perempuan ini, desis hatinya sambil membuka perlahan pintu itu.

"Eh, dari mana awak berdua ni?" tanya Hirda apabila terlihat mereka berdua di pintu belakang Rumah Azirah.

"Sarra dari tempat biasalah," jawab Sarrafia selamba.

"Iz?"tanya Hirda sambil terangkat keningnya.

"Saya dari rumah, Kak Da," jawabnya. Adriz senyum kepada Hirda.

Dia berlalu ke dalam bilik Bonda Ummi. Pelik, desis hati Hirda. Bagai ada rahsia antara kedua-duanya. Namun, Hirda tidak mahu memikirkannya. Itu hal mereka berdua.

Cukuplah dengan masalah yang penghuni di di sini lakukan. Kadang-kadang bila memikirkan kesalahan yang mereka lakukan, hati jadi geram kerana sanggup seorang perempuan dengan mudahnya menggadaikan maruahnya demi keseronokan bersama teman lelaki. Sedih kerana banyak bangsa Melayu yang jadi begitu. Hirda menggelengkan kepalanya.

"BONDA dengar daripada ayah, Iz nak terus tinggal di sini. Bagi bonda baguslah kerana bonda kesiankan ayah Iz tu. Kena berulang-alik. Jauh pula tu. Walaupun dia tidak memandu, tetapi dengan umurnya begitu, dia tak larat dah," kata Bonda Ummi.

"Insya- Allah, bonda. Iz akan uruskan semuanya di sini," kata Adiz sambil tersenyum.

"Sepatutnya sudah lama Iz ada kat sini," kata Bonda Ummi lagi.

"Itulah Bonda Ummi. Kesian ayah kan. Dulu Iz tahu berseronok saja," balas Adriz. Sungguh dia menyesal atas semua yang berlaku dahulu. Jahilnya dia dahulu. Tidak tahu erti bersyukur.

"Tak apa, sekarang dah sedar kan," kata Bonda Ummi sambil tersenyum. Adriz hanya mengangguk sambil senyum.

Adriz keluar dari pejabat Bonda Ummi. Dia mahu pulang sebenarnya. Tapi, dari jauh dia ternampak Sarrafia sedang bertekak dengan salah seorang penghuni yang ada. Tentu ada lagi yang tidak kena. Macam-macam kes sebenarnya apabila yang datang ke sini kerana dipaksa oleh keluarga yang mahu menutup aib. Adriz hanya melihat dari jauh sahaja. Nanti jika menghampiri, nampak sangat dia kaki sibuk hal orang pula.

Tiba-tiba Adriz ternampak gadis yang mengandung itu meluru ke arah Sarrafia. Ditolaknya Sarrafia hingga hampir terlentang ke belakang. Tetapi, Sarrafia jatuh jua. Terhempas punggungnya itu. Adriz segera berlari ke arah mereka semua. Adriz pantas mahu menolong Sarrafia. Dia sauk ketiak Sarrafia. Sarrafia mendongak memandang gerangan yang menolongnya itu. Matanya berpadu dengan mata Adriz.

"Lepaskan aku, lepas!" jerit Sarrafia naik angin.

Adriz segera melepaskan pegangannya yang sudah ternaik separuh badan Sarrafia. Kedebuk! Punggung Sarrafia terhempas ke dalam longkang yang tak berapa luas itu. Kakinya ternaik sedikit. Semua penghuni yang melihat, terus menghamburkan ketawa.

Sakit hati betul Sarrafia dengan Adriz. Mana tahu action Adriz cepat. Sarrafia cuba bangun. Terkial-kial dia mencuba.

Noh juga ketika itu datang ke arah suara yang riuh-rendah itu. Dia melihat Sarrafia yang sedang berusaha untuk bangun dari longkang itu.

"Ya Allah! Sarra...Kenapa ni?" jerit Noh melihat Sarrafia.

Mereka semua terdiam apabila ternampak Noh. Noh menggelengkan kepalanya.

"Sarra boleh bangun tak?" tanya Noh sambil mencangkung di depan Sarrafia.

"Bolehlah."Dia menahan tangannya dan segera bangun. Dia senyum ke arah Noh.

Sarrafia sudah berdiri elok di depan mereka semua. Dia terus melangkah meninggalkan kelompok itu. Lagi lama dia berada di situ lagi dia akan sakit hati. Tak padan dengan perut yang memboyot ada hati mengata dia macam-macam.

Sarrafia duduk di kerusi tidak jauh dari tempat tadi. Kebas juga punggungnya apabila terhempas begitu. Tapi, dia diamkan saja. Takkanlah mahu melalak di depan mereka semua. Tambah pula di depan Adriz. Dia tidak sanggup lagi menayangkan muka sedihnya di depan Adriz. Dia mesti kuat.

Noh memandang Sarrafia dengan perasaan kasihan. Tahu Sarrafia sakit di punggungnya.

"Nasib baik tak terhempas belakang. Kalau tak, lagi sakit,"kata Noh.

Sarrafia mendongak memadang Noh. Tidak sedar bila Noh mengekorinya. Sarrafia senyum.

"Sikit aje," kata Sarrafia.

Adriz juga menghampiri mereka berdua. Sarrafia terus bangun apabila ternampak kelibat Adriz menghampiri mereka. Dia tidak mahu bertentang mata mahupun ada apa-apa lagi dengan Adriz. Sesungguhnya dia segan dengan perkara silam. Melihat Adriz, apa yang berlaku dulu mulalah satu persatu terlayar di depan matanya.

"Payah betul dengan perempuan seorang ni,"luah Noh. Dia senyum memandang Adriz. Adriz turut membalas senyuman Noh.

"Dah namanya perempuan. Sensitif, dah tu pula cerewet,"kata Adriz. Itu apa yang dia tahu. Contohnya Mak Seri. Walaupun hanya pegurus rumah, tetapi Mak Seri sudah seperti ahli keluarga mereka.

"Itu saya sokong, tapi Sarra tidak pula cerewet sangat. Dia mudah sahaja,"balas Noh, masih lagi memuji Sarrafia. Sejak mengenali Sarrafia, dia tahu Sarrafia terlalu mudah dalam semua perkara.

"Kalau dah suka,buatlah apa pun mesti betul,"ujar Adriz perlahan. Namun, dalam hati ada rasa sakit lagi. Setiap kali mendengar Noh nenyebut nama Sarrafia, Adriz rasa macam mahu tumbuk muka Noh. Wake up! Adriz kau gila ke? Fikirannya ini memang mengarut sungguh.

Noh hanya mendiamkan diri dengan komen Adriz. Walaupun dia terlebih suka dan cinta kepada Sarrafia, dia tahu Sarrafia tidak akan membalas perasaannya. Dia pasti satu perkara itu. Namun, Noh tidak akan cepat mengalah. Dia akan terus menanti Sarrafia.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now