Bab 7

8.2K 20 0

ADRIZ memandang laut lepas yang mana mataharinya semakin melabuhkan tirainya. Baru beberapa jam sahaja dia di sini, hatinya sudah sesak. Tidak tahu kenapa? Perempuan yang dikenalkan tadi nampak terkejut ketika melihat wajahnya. Pelik? Namun dalam hatinya tiba-tiba ada debaran. Setiap kali memandang Sarrafia debaran itu muncul. Adriz memejamkan matanya. Perempuan itu baru pertama kali bersua muka dengannya, namun Adriz rasa mahu melihat dia lagi. Dan lagi.

Adriz pandang ke arah Rumah Azirah yang berada tidak jauh dari rumah banglo ayahnya. Bila ayahnya memulakan semua ini pun dia tidak tahu. Ah! Dia sendiri tidak pernah mahu ambil tahu apa aktiviti ayahnya. Dia terlalu sibuk dengan keseronokan. Sampai melupakan apa yang ahli keluarganya lakukan. Adriz menyalahkan diri sendiri.

"Iz...Tak dengar azan ke?" panggil ayahnya.

Adriz memandang ayahnya dengan pandangan terkejut. Terkejut dek sergahan itu.

"Iz tengok ayah macam tengok hantu aje. Itulah, maghrib-maghrib ni jangan melamun. Kena sampuk nanti,"usik ayahnya sambil ketawa kecil.

"Isy, ayah ni... Kalau pun ada, takkanlah serang orang waktu azan,"balas Adriz pula. Dia sengih sebelum membuntuti ayahnya yang masuk ke dalam rumah. Walaupun otaknya tidak serasi dengan hatinya, dia perlu menunaikan rukun Islamyang kelima itu. Wajib. Labudda. Tidak dapat tidak. Selesai solat, sekali lagi dia merenung ke arah gelap malam di luar banglo ayahnya. Pertama kali di sini membuatkan hatinya tenang, tetapi wajah perempuan tadi mengundang tanda tanya. Kenapa muka dia terkejut? Lagi pasal perempuan tadi. Dia memandang ayahnya yang memakai jubah putih dan berkopiah itu. Mahu ke masjid barangkali biarpun selepas bersembahyang.

"La...Buat apa lagi tu Iz? Ayah hairan betul dengan kamu ni. Melamun aje sejak sampai dari KL. Apa, masih lagi ingat Ufaira?" tebak Encik Rahimin.

"Eh, ayah ni... Kami dah putus tunang. Tak baik Iz asyik fikir pasal dia lagi. Kami memang tak ada jodoh nak bersama pun," katanya pula. Sungguh dia tidak mengingati Ufaira. Ufaira bagaikan hanya angin lalu sahaja yang hadir dalam hidupnya. Bukannya Ufaira tidak baik sebagai seorang perempuan. Dia yang tidak mencintai Ufaira lagi.

"Cepatlah. Kita ke Rumah Azirah. Malam ni ada kuliah lepas maghrib. Noh jemput ustaz dari Alor Setar. Tadi memang ayah cadang nak solat maghrib di sana, tapi tak sempat," beritahu Encik Rahimin.

Jika dia menolak, ayahnya itu akan berteka-teki lagi. Nanti lagi pening kepalanya mencari alasan. Sudahnya, dia mengekor sahaja ayahnya itu. Berjalan kaki sahaja sebab jauhnya hanya 500 meter. Ketika mereka sampai, ruang surau yang agak besar itu sudah penuh dengan jemaah. Ustaz itu juga sudah memulakan kuliahnya, bercerita tentang perkara yang membuatkan hatinya sayu. Zina.

"Perempuan dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera seratus kali dan tidak boleh kasihankan mereka atas apa yang mereka lakukan. Ini ada tercatat dalam Surah An-Nur, ayat 2. Tambahan di dalam hadis telah ditetapkan jika yang berzina itu adalah lelaki dan perempuan yang telah berkahwin, maka mereka berdua hendaklah direjam." Panjang lebar bicara ustaz itu tentang zina.

Adriz berteleku. Menusuk ke jantungnya dengan bicara ustaz tersebut. Hatinya itu terlalu sakit mendengar bicara ustaz tersebut. Rasa mahu menangis. Terasa seperti dia pernah melakukan perkara itu.

"Sebab itulah untuk anak-anak yang telah terlanjur ini, bertaubatlah. Rendahkan pandangan supaya jangan melihat yang haram serta menjaga kehormatannya. Bukannya saya kata perempuan sahaja yang patut merendahkan pandangannya, lelaki juga sama, hendaklah merendahkan pandangannya melihat perempuan. Sebab itulah dalam Islam melarang lelaki dan perempuan berpandang-pandangan jika tiada hubungan halal. Jika pandangan itu menarik kepada berbuat jahat."Ustaz itu menaikkan jari telunjuknya di hujung bicaranya.

"Allah telah menerangkan bahawa lelaki penzina hanya berkahwin kepada perempuan penzina. Sebab itulah kita selalu dengar orang akan berkata perempuan baik untuk lelaki yang baik. Sebab inilah peraturan perkahwinan dalam Islam. Oleh itu, sang lelaki yang mendengar ini berkahwinlah dengan perempuan mengikut kata hati kamu. Jangan pula ikut cakap orang lain, ya tak? Nak bahagia, kan?" Jemaah lelaki tergelak dengan akhir bicara ustaz tersebut.

Adriz terdiam dengan bicara ustaz tersebut. Memang benar kata-katanya itu. Hatinya benar-benar terasa dengan bicara itu. Kenapa hatinya terlalu sakit apabila mendengar kuliah tentang penzina. Apa yang telah dia lalukan sebelum ini?

"Hai... Iz, tak makan ke?" tanya Noh. Dia duduk di sisi Adriz yang hanya ada gelas kosong di depannya.

"Hmm...Masih kenyang lagi. Tadi dah makan kat rumah," katanya perlahan. Pandangannya dialihkan kepada Noh.

"Kami kat sini macam nilah, Iz. Kuliah wajib kena buat untuk kesedaran penghuni kat sini. Kami sudah mencuba segalanya, tetapi andainya mereka keluar dan terjebak kembali, kami tidak mampu buat apa-apa. Tetapi, kebanyakannya ramai yang berubah,"cerita Noh.

"Semua yang ada di sini semuanya pernah mengandung ke, termasuk pekerjanya?" tanya Adriz. Soalan itu nampak pelik sekali.

Noh ketawa. Lucu dengan pertanyaan Adriz. Nampak sangat dia tidak pernah ambil tahu tentang Rumah Azirah.

"Agak-agaklah, Iz. Kak Da dan Sarra mana pernah kahwin. Sahlah mereka tu tak pernah mengandung.Kalau mengandung pun, mungkin lepas kahwin. Yang lain tu dah tua-tua. Masing-masing ada anak dan suami,"terang Noh, ketawa lagi.

Adriz senyum segan. Agak-agaklah dengan pertanyaannya itu. Ketika itu, matanya terpandangkan Sarrafia yang sedang bercakap-cakap dengan Hirda. Entah apa yang mereka bualkan, nampak sangat serius. Tidak lama selepas itu, Sarrafia berlalu selepas Hirda nampaknya gelakkan Sarrafia.

"Sarra tu...Lain daripada perempuan yang saya pernah kenal. Suka main tarik tali," kata Noh tiba-tiba. Dia perasan akan pandangan Adriz ke arah Sarrafia dan Hirda tadi.

"Saya tengok mereka tu ke? Awak ni pandai-pandai aje," kata Adriz, menyembunyikan gelagatnya.

"Tak salah kalau tengok, Iz. Ustaz Rozi dah cakap tadi tak salah pandang-memandang asalkan tiada apa-apa. Lagipun, Sarra tu bukan pandang lelaki macam kita ni dengan istimewa. Dia buat serupa Kak Da dengan Bonda Ummi aje," ujar Noh.

"Awak ada hati dengan dia tu ke? Cara awak cakap macam pernah kena tolak," tebak Adriz.

"Bohonglah kalau saya kata tak, kan. Sarra tak pernah menolak saya Iz, sebab saya pun tak pernah cakap saya sukakan dia. Cuma tingkah laku saya kepada dia sudah menyebabkan dia tahu saya sukakan dia. Tapi, Sarra tak pernah beri harapan untuk membuatkan saya salah faham dengan apa yang dia lakukan,"kata Noh tersenyum.

"Tapi, daripada penglihatan saya, awak masih menanti dia?" teka Adriz lagi. Debaran muncul lagi dalam hatinya ketika berbicara tentang Sarrafia.

Noh ketawa saja dengan pertanyaan Adriz. Biarlah setakat itu sahaja Adriz tahu. Noh segera melangkah menghampiri Ustaz Rozi dan Encik Rahimin yang sedang berbual di kereta Ustaz Rozi. Tidak manis pula dia tidak menghantar Ustaz Rozi pulang ke rumah saudaranya.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now