Bab 6

8.6K 24 0

ADRIZ menghampiri pintu belakang yang bertulis Rumah Azirah. Rupa-rupanya ayahnya mengabadikan nama ibunya. Ada suara riuh-rendah yang kedengaran di telinganya. Dia menolak perlahan pintu pagar itu, bertembung dengan seorang gadis yang lengkap berpakaian sukan. Ada travelerbag di belakangnya.

Gadis itu terus keluar. Adriz malas bertanya kerana baginya mungkin sewel memakai pakaian sukan waktu tengah hari. Dia menghampiri tempat riuh-rendah tadi. Kelihatan ayahnya agak serius berbicara dengan seorang perempuan bertudung labuh yang sebaya ayahnya barangkali.

"Macam mana boleh terlepas pandang? Dah lama kes ni tak berlaku, kan?" tanya Encik Rahimin.

"Lamalah juga, sejak empat tahun lepas. Tapi, itulah, sejak awal masuk lagi dia dah cuba untuk keluar dari sini. Keluarga dia dah tak tahu nak buat apa lagi. Noh, kamu ikut pintu depan. Bonda Ummi rasa dia tak jauh lagi dari sini,"arah Bonda Ummi kepada Noh.

Noh mengangguk dan terus berlari keluar dari situ. Ada dua tiga orang lagi pekerja Rumah Azirah yang dikerah mengejar gadis itu. Adriz menghampiri ayahnya.

"Kenapa ayah?" tanya Adriz yang sememangnya tidak tahu langsung apa sebenarnya peranan rumah ini. Mulutnya berat untuk bertanya.

"Ada penghuni nak larikan diri,"beritahu ayahnya.

Sarrafia tiba dari belakang diikuti oleh Noh. Gadis itu berada di sisinya. Bonda Ummi segera berlari ke arah mereka bertiga.

"Kenapa nak lari,? Awak ingat dengan melarikan diri boleh selesaikan masalah awak?" tanya Bonda Ummi.

Gadis itu menundukkan wajahnya, tidak berani bertentang mata dengan Bonda Ummi.

"Janganlah macam ni. Dengan perut yang memboyot macam ni, ke mana lagi kamu nak pergi?" tanya Bonda Ummi lagi.

"Kamu ingat budak lelaki tu nak terima kamu lagi? Ingatlah, keluarga kamu yang bersusah payah hantar kamu ke sini," nasihat Bonda Ummi lagi. Bonda Ummi menarik tangan gadis itu masuk ke dalam biliknya. Tidak tahu apa yang akan Bonda Ummi lakukan.

"Sarra jumpa dia kat mana?" tanya Ayah Min.

"Sarra keluar dari tandas kat luar terus nampak dia. Sarra pegang tangan dia. Kebetulan nampak Noh, terus Sarra jerit panggil Noh,"kata Sarrafia.

"Dia nak lari balik kepada kekasih dia tu,"sampuk Noh.

"Eii...Tak boleh nak fikir pasal kehidupan dia, tapi boleh pula fikir pasal pakwe dia. Pening kepalalah dengan budak-budak akal pendek ni,"kata Sarrafia lagi. Dia menggelengkan kepalanya.

"Ha...Ayah Min lupa nak kenalkan dengan anak Ayah Min,"kata Ayah Min sambil mencuit bahu Adriz yang duduk membelakangkan mereka. Dia sedang membelek telefonnya.

"Iz...Ni, kenalkan Sarra dan Noh. Iz dah kenal, kan? Mereka berdua ni antara yang banyak tolong ayah dengan pusat ni." Encik Rahimin memperkenalkan mereka bertiga.

Sarrafia mendongak. Tubuhnya segera terasa mahu tumbang. Kakinya tiba-tiba lembik. Tuan punya badan itu, Subhanallah. Dialah yang paling mahu dielak. Tapi, hari ini, tuan punya badan itu berada di depannya. Adriz hanya senyum sahaja ke arah mereka berdua.

"Ni anak Ayah Min. Adriz." Encik Rahimin memperkenalkan Adriz.

Sarrafia senyum dalam kekelatan. Air liur bagaikan tonik yang pahit untuk ditelan. Noh sudah nampak mesra dengan Adriz. Dia? Hanya memandang tidak berkelip. Lelaki yang paling dia tidak mahu jumpa seumur hidupnya ini kini berada di depan matanya. Apa yang harus dia buat? Tapi, yang peliknya kenapa Adriz seperti tidak pernah mengenalinya.

Dunia ini bulat. Sebab itulah mereka bertemu hari ini. Mungkinkah Allah masih lagi mahu menguji mereka berdua? Sarrafia beralih ke arah mejanya, membiarkan ketiga-tiga lelaki itu berbual. Namun, walaupun dia sudah duduk di mejanya, dia tetap tidak dapat menumpukan perhatian. Segalanya bercelaru. Tidak tahu apa sebenarnya yang dia mahu lakukan.

Ternampak Adriz sahaja, kisah yang dia mahu lupakan mula terlayar di depan mata. Haru sungguh. Nampak sangatlah Sarra, kau tu sukakan dia lagi walaupun hati cakap tidak. Sarrafia mengutuk diri sendiri. Hati ini memang pelik sejak dulu lagi. Memang benarlah kata mama, cinta pertama cinta yang penuh dengan memori yang tidak dapat dilupakan. Sebab itulah dia mengahwini lelaki yang merupakan cinta pertamanya itu selepas bercerai dengan ayahnya. Sekarang dia pula yang terkena badi mama. Terjumpa cinta pertamanya, tetapi Sarrafia tahu dia tidak akan bersama-sama dengan Adriz. Jauh panggang dari api. Entah-entah Adriz sudah beranak-pinak. Hampir tiga tahun mereka tidak bersua, itu adalah satu jangka masa yang lama. Dalam waktu itu, mungkin sudah dua orang anaknya. Lihatlah dia, sejak tiba di sini macam-macam yang berlaku. Berjumpa Noh, kenal dengan semua penghuni yang bermasalah di sini dan yang paling penting, dia sudah berubah.

Sarrafia tidak menyalahkan sesiapa pun atas apa yang berlaku dengan dirinya. Dia sendiri yang cari pasal. Dia menawarkan diri hanya kerana cinta. Bukan salah diri sendirikah? Dan dia memang bodoh. Kebodohan yang tidak boleh diputarkan semula.

Sarrafia mengerling ke arah Adriz yang berhadapan dengan ayahnya itu. Masih seperti dahulu, kacak dan bergaya. Siapalah isteri dan anak-anaknya? Sarrafia bertanya kepada dirinya sendiri. Hush! Sarra, sedar diri sikit. Banyak pula kau nak tahu. Sarrafia menampar pelipisnya.

"Hah, Sarra... Apasal ni? Tampar diri sendiri. Dah tak boleh nak buat benda lain?" tanya Hirda. Dia muncul dengan tiba-tiba sahaja di tepi meja Sarrafia.

"Rasa macam gatal aje kat situ. Nyamuk kut,"katanya perlahan. Dia menyapu perlahan pelipisnya. Kononnya ada sesuatu di situ.

"Siapa tu? Kacak benar orangnya," tanya Hirda. Dia memuncungkan bibir ke arah mereka bertiga.

"Anak Ayah Min. Eh, Kak Da tak pernah jumpa dia ke?" tanya Sarrafia pelik.

"Tak pernah juma anak Ayah Min yang ni. Selalu jumpa Haqif saja. Kacak macam Haqif juga,"kata Hirda perlahan.

"Mr. H tu memang segak dah kalau di mata Kak Da. Tengok dia saja, jangan tengok orang lain." Sarrafia tergelak kecil. Suka benar dia mengusik Hirda.

"Sarra ni, macamlah Haqif tu berkenankan Kak Da.Kak Da tak mimpi pun nak sukakan orang macam Haqif tu. Eii... Kak Da tak beranilah."Hirda membuat muka.

"Kak Da ni...Merepek tengah hari ni buat apa. Dah terang-terang dah Mr. H tu nak kat Kak Da. Kak Da aje yang jual mahal. Nanti bila Mr.H tu bosan, merana Kak Da tengok secretadmirer tiba-tiba nak kahwin dengan orang lain. Masa tu jangan cari Sarra. Sarra malas nak layan tangis Kak Da,"usik Sarrafia lagi.

"Eii, Kalau sehari tak usik Kak Da dengan Haqif tak boleh ke?" rengus Hirda. Geram dengan usikan Sarrafia.

"Tak boleh sebab Sarra suka buat macam tu," kata Sarrafia sambil ketawa kecil.

Sebelum berlalu, Hirda sempat mengutil kulit lengan Sarrafia. Mengaduh Sarrafia. Sampai hati Hirda buat dia macam tu. Tak apa, nanti tahulah bila dah kahwin dengan Haqif. Peluang untuk mengusik Hirda akan ada lagi. Selepas Hirda berlalu, barulah Sarrafia tahu apa yang patut dilakukan di mejanya itu.

"Amboi, kerja sampai tak ingat nak makan ke?" tegur Noh perlahan.

Sarrafia mendongak sambil tersengih.

"Ha...Kenapa? Makan dah ke?" tanya Sarrafia sambil menekan butang shutdown pada laptopnya.

"Nak makanlah ni. Sebab budak tu, semua orang lambat makan. Tapi, Sarra pula macam tak nak makan aje,"kata Noh lagi.

Mata Sarrafia melilau mencari kelibat Adriz. Tiada, mungkin sudah pulang ke rumah ayahnya barangkali. Sarrafia bangun dan mengangguk ke arah Noh.

Noh dan Sarrafia segera bergerak ke ruang makan. Semua orang di dalam Rumah Azirah sedang makan. Mereka menghampiri meja. Hah! Masih di sini rupa-rupanya. Tengah menikmati makan tengah hari.

"Buat apalah sampai lupa waktu makan, Sarra?" tegur Bonda Ummi.

"Habiskan apa yang tak habis lagi, bonda,"jawabnya perlahan.

Macam manalah dia akan makan. Berdegup kuat aje jantungnya. Tak tahu pasal apa. Takutkah? Masih cintakah? Tak tahu.Sungguh dia tidak tahu.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now