BERTAUT KEMBALI PART 7

57 2 5


"Kau Malik ke?" Tanya Tina kepada seorang lelaki yang sedang elok berpelukan dengan seorang wanita itu. Hidungnya ditutup dengan tangan kiri. Tak tahan bau yang ada di dalam kelab malam ini. Kalau tidak kerana mahu menjejaki Malik, tidak ingin dia masuk ke sini.


"Kau siapa?" Bulat mata Malik memandang pada wanita kurang cantik di hadapannya itu. Bedak berkilo tertempek pada wajah yang sendu itu.


"Kau Malik?" Tanya wanita itu lagi.


Malik berdecit geram. Marah kerana dirinya yang sedang bahagia diganggu. Dia mahu berjoli sepuasnya dengan duit judi yang baru dimenanginya semalam.


"Ya aku Malik. Kau siapa?" Wanita yang dipeluknya tadi dilepaskan. Malik bangun berdiri mengadap Tina. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki Tina dibeleknya. Tak ada benda yang menarik pun untuk dia tertarik pada wanita yang berskirt pendek ini.


Menyedari pandangan pelik Malik kepadanya Tina pantas berdehem.


"Kita cakap dekat luar. Aku ada hal penting nak bincang dengan kau." Tina yang mula berasa geli dengan pandangan pelik Malik kepadanya, pantas bergerak daripada situ. 


"Aku tak ada urusan dengan kau." Pekik Malik kepada Tina yang semakin jauh daripadanya. Tina berpaling. Ada senyuman sinis yang tersunging di bibir merahnya.


"Kalau kau nak tahu pasal bini kau, ikut aku." Tanpa menunggu, Tina terus melangkah. Malik yang terkejut, terus saja mengikut langkah Tina yang semakin menghampiri pintu keluar kelab malam itu.

********************************************

Berkali-kali Daniel cuba menghubungi Mawar tapi dia hanya mampu mengeluh dengan hampa. Mawar mungkin sudah menukar nombor telefonnya, teka Daniel.


"Dapat?"


"Tak dapat. Aku risau ni. Dah seminggu Mawar dengan Miranda hilang. Aku takut Malik apa-apakan mereka." Daniel meraup wajahnya.


"Kau ada cari Malik?"


"Aku minta tolong daripada Tina. Aku minta dia carikan Malik dan aku cari Mawar. Ya Allah, janganlah terjadi apa-apa pada dua orang kesayangan aku tu." 


Mukhlis menepuk bahu sahabatnya. Kasihan dia melihat Daniel yang sedang berserabut itu. Ingin ditolong tapi dia tak mampu. Buat laporan polis? Macam tak kena pula sebab Mawar bukannya diculik tapi wanita itu yang sendiri mahu pergi.


"Doa banyak-banyak bro. Doa semoga Mawar dengan anaknya, selamat. Aku yakin mereka berada di tempat yang selamat."


Daniel hanya mampu menghadiahkan senyuman tawar buat temannya itu. Hati masih resah memikirkan keadaan Mawar dan Miranda.

********************************************

Malik merenung wanita di hadapannya ini. Daripada tadi hanya senyuman sinis sahaja yang terbit di wajah wanita itu. Jam tangannya dibelek. Sudah lima belas minit mereka berada di restoran itu. Tempat yang dipilih Tina pun, agak tersorok sedikit. Mungkin hal sulit yang mahu dibincangkan bersama. Kalau bukan kerana hal Mawar, tak ingin dia berada di sini. Mengulit Liza kekasih gelapnya lebih baik daripada buang masa bersama wanita menjengkelkan ini.


"Cakap sekarang, apa yang kau mahu cakap. Aku tak ada masa nak hadap senyum jengkel kau tu." 


Tina menjeling Malik. Dalam hati membebel menyumpah seranah lelaki di hadapannya itu.


"Mawar..." Sepatah perkataan keluar daripadanya kemudian sengaja dia meleretkan senyumannya.


"Kau yang sorok dia selama ni." Tuduh Malik. Kembang kempis hidungnya. Menahan rasa marah yang mula terbit buat wanita bernama Tina itu.

BERTAUT KEMBALI (COMPLETE)Where stories live. Discover now