BAB 41

16 1 0
                                                  

Apa yang sedang dilakukan Izhan sekarang? Adakah dia bersama Anis ketika ini? Apa yang sedang mereka lakukan? Adakah aku masih di ingatan Izhan saat ini? Atau adakah dia terus melupakan aku bila ada gadis cantik di sisinya? Bila ada orang yang sentiasa melayan kehendaknya. Izhanie rasa nak menangis. Pen diletakkan di dalam bekas alat tulis. Diari ditutup. Dia jarang menulis diari. Namun sejak mengenali Izhan, mencatat sesuatu di dada diari kini menjadi kewajipan. Izhanie tidak mahu kenangan pahit dan manis bersama Izhan berlalu begitu saja.

"Hoi!" bahunya di tepuk kuat.

"Sakitlah!" Izhanie menarik muka masam. Bahunya digosok-gosok.

"Aku gurau aje, takkan itu pun nak marah." Sofea meletakkan buku di atas meja.

Izhanie mengukir senyum. "Tak adalah. Merajuk ke?"

"Tak kuasa aku nak merajuk." Sofea terus merebahkan diri di atas katil. Dia mencapai bantal berbentuk hati lalu memeluknya erat-erat. Dia dan Izhanie sudah jarang berbual sekarang. Sejak masing-masing sudah punya buah hati.

"Aku tengah khusyuk baca buku. Kau tiba-tiba kejutkan aku, tentulah aku bengang." Balas Izhanie, tidak mahu mengalah. Sofea merajuk tak bertempat.

"Ye ke baca buku? Menongkat dagu je aku tengok. Fikiran entah ke mana."

Izhanie tersengih-sengih. Sindiran Sofea tepat mengena. Fikirannya saat itu melayang jauh ke kampung Izhan.

"Dah berapa hari Izhan balik kampung?"

"Lima hari." Nada suara Izhanie kedengaran lemah. Izhanie merasakan tempoh lima hari itu seperti berkurun pulak lamanya. Sedangkan sebelum ini tempoh seminggu dirasakan macam sehari saja. Sampaikan nak buat tugasan pun tak sempat.

"Baru lima hari tapi keadaan kau setengah mati. Baru lima hari je tu. Berapa lama Izhan kata nak duduk kampung? Dua minggu? Ha... dua minggu lagi aku tak tahulah macam mana keadaan kau."

"Macam ni ke keadaan orang yang tengah bercinta?" Izhanie tak rasa pun apa yang dirasainya sekarang ketika berpisah dengan Hafid. Dia masih mampu mengatasi, tapi sekarang... arghh.... Izhanie melepaskan keluhan berat.

"Relaxlah. Aku pun bercinta gak. Tapi tak le macam kau tu."

"Ye eleh, senanglah kau cakap sebab Faiz tak pernah berpisah dengan kau macam aku dengan Izhan sekarang."

Sofea tersengih menayang gigi. "Kau janganlah risau. Aku yakin Izhan sentiasa mengingati kau walau di mana pun dia berada."

"Harap-harap." Sukar untuk menduga perasaan Izhan ketika ini. Tak ada kucing yang nak menolak ikan di depan mata.

"Kenapa kau cakap macam tu? Bunyi macam tak yakin aje."

"Ni yang aku bengang ni! Dia cakap hari-hari nak hantar aku email. Tipu! Satu pun tak de. Buat habis je duit aku masuk cyber café." Izhanie merungut. Sakit hatinya bila buka mail inbox, tak ada satu pun dari Izhan. Semunya surat yang entah apa-apa.

"Kau janganlah risau. Aku yakin abang kau tu sentiasa mengingati kau walaupun dia tidak menunaikan janjinya. Mungkin dia ada masalah." Sofea menepis fikiran yang bukan-bukan. Apakah benar semua lelaki apabila sudah mendapat apa yang diingini, mereka tak akan bersungguh-sungguh lagi?

"Masalah apa pulak! Bila jumpa Anis tentu Izhan terus lupa aku. Tak guna betul!" Izhanie terus membebel. "Ah, lupakanlah!" dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang Izhan. Banyak benda lagi yang harus difikirkannya selain dari Izhan. Kuliah dan kerja. Cuma dia berdoa agar lelaki itu akan terus setia kepadanya.

"Kau masuk kerja pukul berapa hari ni?"

"Jam 6.00. Mungkin hingga jam 10.00 malam. Kau makanlah dulu. Tak perlu tunggu aku." Kalau dia tak pesan, pasti Sofea akan menunggunya untuk makan bersama-sama.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now