"Iz, jangan buat Ira macam ni. Ira tak boleh hidup tanpa Iz," kata Ufaira lagi.

"Ira, saya yakin awak akan boleh teruskan hidup. Hari ini mungkin awak masih lagi sedih kerana tidak dapat menerima perpisahan ini. Tapi, saya yakin awak akan lupakan semua ini," ujar Adriz.

"Iz... Iz ingat orang macam Ira senang nak lupakan lelaki yang dicintai," Ufaira sudah menangis. Kasihan melihat Ufaira begitu tetapi Adriz memang tidak boleh berpatah balik. Ufaira bagaikan orang asing sekarang.

"Saya minta maaf, Ira," kata Adriz lantas melangkah pergi. Tepukan di bahu mengejutkannya. Encik Rahimin mengangkat keningnya ke arah Adriz. Sejak tadi anaknya itu diam saja. Adriz hanya mengukirkan senyuman untuk ayahnya. Jauh dia melamun.

ADRIZ pandang sekeliling Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ini. Pertama kali menjejakkan kaki di sini, tiba-tiba terasa seperti tidak mahu pulang lagi. Dia terkena sumpahan Mahsurikah? Kerana disebabkan sumpahan tujuh keturunanlah Langkawi baru membangun selepas tujuh keturunan.

Tersenyum Adriz seketika apabila mindanya tiba-tiba terfikirkan sumpahan Mahsuri. Adriz membuntuti ayahnya yang berjalan selesa kerana beg ayahnya itu dia yang membawanya. Ayahnya menghampiri seorang lelaki yang berkopiah putih. Masih muda, namun wajahnya berseri-seri dengan kopiah itu. Jarang orang muda berkopiah. Ayahnya itu juga sudah biasa begitu. Biasalah sudah separuh abad umur ayahnya itu. Ralitnya orang tua memang begitu. Berkopiah bagai.

"Noh...Ni anak Ayah Min. Adriz. Iz, ni Noh. Pembantu ayah di pusat jagaan itu." Encik Rahimin memperkenalkan mereka berdua. Noh pandang lelaki yang baru pertama kali berjumpa. Tahu bahawa majikannya itu ada anak lelaki selain Haqif, tetapi mereka tidak pernah bertemu. Inilah kali pertama mereka bertemu muka. Adriz senyum sambil menyalami jemari lelaki muda bernama Noh itu.

"Maaflah, Ayah Min susahkan kamu, Noh. Dah telefon pekerja hotel tadi, dia sibuk pula nak ambil Ayah Min kat sini,"katanya, ralat kerana terpaksa menyusahkan Noh yang mungkin juga sibuk.

"Alah... Ayah Min ni. Ambil aje kat sini. Hantar kat rumah Ayah Min. Habis cerita. Bukan jauh pun Langkawi ni. Pusing-pusing duk tang tu juga," kata Noh dalam loghat Kedah yang agak pekat. Hyundai Starex milik pusat jagaan itu dipandu meninggalkan lapangan terbang.

"Ayah Min nak jumpa Bonda Ummi. Kita balik sana dululah,"beritahu Ayah Min.

Noh mengangguk. Setibanya di pantai yang berdekatan dengan pusat jagaan, Hyundai Starex itu berhenti.

"Kamu nak lihat-lihat pantai ke, Iz? Sini paling cantik. Lagipun pusat jagaan itu dekat aje dari sini. Nanti kamu terus aje ikut pantai tu. Nanti akan nampaklah Rumah Azirah tu. Senang sahaja sebab Rumah Azirah terletak di hujung sekali. Lagipun ayah tak pernah tengok kamu bercuti di pantai. Pergilah jalan-jalan kat pantai sana," kata ayahnya.

"Hmm... rasa macam rugi pula kerana baru hari ini, Iz sampai sini," kata Adriz sambil mengukirkan senyuman untuk ayahnya.

"Sekali datang ke sini, sepuluh kali tak mahu balik," sampuk Noh. Dia ketawa kecil.

"Semoga apa yang awak cakapkan tu, benarlah Noh," kata Adriz juga ketawa kecil. Noh mengangkat ibu jarinya.

Adriz segera melangkah turun dari Hyundai Starex. Dia semakin hampir dengan gigi pantai. Dia menyusuri gigi air. Bukan dia tidak sukakan pantai, tapi daripada dia ke pantai, lebih baik dia tidur. Itulah puncanya dia jarang ke pantai.

Adriz mencari tempat teduh apabila suhu panas pantai itu terasa seperti membakar kulitnya. Benarlah kata orang, cuaca di Langkawi memang panas. Mungkin kerana tanahnya itu dikelilingi lautan.

Dia berteduh di bawah pokok ru itu. Dia berpaling ke sebelah kirinya apabila terasa ada orang selain dirinya di situ. Ya, memang ada orang. Seorang gadis yang bertudung sedang duduk di atas sebatang pokok yang telah tumbang sambil mendongak ke langit. Ada cahaya kecil yang berkelip-kelip di wajahnya. Ingin tahu siapa, dia mendekat sedikit ke pokok ru yang berada selang dua pokok dari tempat gadis itu duduk.

Si gadis berhenti mendongak. Dia memandang ke kanannya. Terasa ada yang memandangnya. Gadis itu tiba-tiba memanggil nama Noh. Mungkinkah Noh yang tadi? Adriz menyembunyikan diri di sebalik pokok ru tersebut. Bimbang si gadis itu terkejut. Si gadis itu kembali mendongak semula. Ralit sungguh Adriz memerhati gadis itu. Matanya itu tidak dapat dilarikan daripada memandang tingkah gadis itu. Buat pertama kali selepas sedar daripada koma dia mahu memandang seorang perempuan. Namun, sayang dia tidak dapat melihat sepenuhnya wajah gadis tersebut. Terlindung dek pokok-pokok tersebut.

Tidak lama selepas itu gadis itu itu bangun dan terus melangkah meninggalkan pokok ru tersebut. Pandangan mata Adriz juga tidak dilepaskan daripada memandang lenggok gadis itu. Kenapa dia merasakan bagaikan pernah melihat lenggokkan itu. Matanya itu masih lagi memandang sehinggalah gadis itu hilang daripada pandangannya.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now