BERTAUT KEMBALI PART 4

47 2 0

MAWAR membuka matanya perlahan-lahan. Syiling putih itu direnungnya. Kali terakhir yang dia ingat, dia berada di atas kerusi batu di sebuah taman. Selepas itu semuanya hanya gelap pada pandangannya. Bergegas dia bangun bila teringatkan anak perempuannya.


"Mawar..."


Terkejut Mawar saat melihat wajah yang menyebut namanya tadi. Tak terluah untuk dia berkata-kata.


"Mawar..." 


"Miranda?" Mawar meliarkan matanya. Memang tiada anaknya di situ.


"Jangan risau. Dia ada dekat tempat yang selamat. Awak rehatlah dulu. Nanti saya datang lagi." Daniel bangun mahu beredar. Dia tidak mahu Mawar tidak selesa dengan kehadirannya saat ini. Kekok dirasakan setelah lima tahun mereka tidak berjumpa.


"Awak tolong saya?" 


Kaki yang baru melangkah tadi terhenti. Daniel berpaling.


"Kenapa tunggu lima tahun baru Mawar jelmakan diri Mawar depan saya?" Ada nada kesal pada tutur katanya itu.


"Awak cakap apa ni?" 


"Kalau Mawar tak bahagia, kenapa Mawar tak cari saya? Kalau Mawar ceritakan perkara sebenar pada saya, tak kan sesekali saya biarkan Mawar menderita sampai begini sekali." Daniel tidak tunggu lagi. Dia terus keluar dan menutup pintu bilik itu.

Mawar diam tapi manik-manik jernih mula menitis daripada matanya.
"Saya yang hancurkan hati awak, Dany. Saya tak layak untuk awak." Mawar merintih sendiri.

**********************************************************************************************

MALIK mendengus kasar. Semua pelosok rumahnya sudah dicari tapi bayang isteri dan anaknya masih belum dijumpai lagi. Sudah ditanya pada tempat kerja Mawar tapi Mawar tiada di situ. Miranda juga sudah tiada di rumah pengasuhnya. Dia yakin Mawar telah melarikan diri daripadanya. Akhirnya berani juga Mawar melarikan diri setelah pelbagai ugutan diberikannya pada Mawar. 


Puas mencari akhirnya Malik menghempaskan dirinya ke atas sofa di rumahnya. Dia sedang memikirkan ke arah mana Mawar melarikan diri. Dia pasti Mawar tidak pergi jauh. Masih berada di sekitar kawasan Kuala Lumpur ini.
Dia sudah berjanji dengan Tokei Long mahu menghantar Mawar kepadanya hari ini. Rosak rancangannya jika Mawar masih belum dijumpai lagi. Dia lebih pentingkan wang saat ini. Maruah isterinya itu tidak perlu dijaga lagi. Wanita itu sudah tidak menarik hatinya lagi. Ada wanita lain yang mahu dikejarnya sekarang ini.

***********************************************************************************************


TAUFIK memandang wajah Daniel. Kepalanya tergeleng-geleng bila memikirkan Mawar. Keadaan wanita itu boleh dikatakan agak teruk juga sebenarnya.Taufik mengeluh.


"Kenapa Fik?" Daniel bertanya.


"Siapa dia sebenarnya?" Taufik sengaja mahu mengetahui gerangan wanita yang dirawatnya itu.


"Kenalan lama." Tenang Daniel menjawab.


"Ini kali pertama kau panggil aku rawat wanita di hotel kau ni. Sebelum ni semua kau hantar ke hospital tempat aku bekerja. Dia istimewa untuk kau kan?" Taufik tersenyum sinis pada Daniel. Selalunya dia akan datang ke sini jika merawat Daniel saja memandangkan dia doktor peribadi Daniel. Tapi kali ini dia dipanggil untuk merawat seorang wanita dan kesan-kesan lebam di wajah dan tubuh wanita itu amat memusykilkan dirinya.


"Macam mana keadaan dia?" Daniel cuba mengalih topik. Tidak mahu menjawab soalan soalan Taufik tadi.


Daniel meraup wajahnya sedikit kasar selepas mendengar penerangan Taufik mengenai Mawar. Ternyata benar andaiannya, Mawar diseksa suaminya sendiri. Kesan lebam pada lengan Miranda yang dia nampak itu pun pasti angkara suami Mawar. Daniel akan membantu Mawar. Dia tidak akan mengharapkan apa-apa daripada Mawar. Dia hanya mahu membantu. Mawar tidak perlu terseksa lagi dengan hidupnya. Akan dibantu wanita itu sehingga terlepas daripada lelaki jahanam itu.

***********************************************************************************************

Mawar sedikit tersentak melihat Daniel yang masuk ke dalam bilik itu. Miranda dicarinya tapi tiada. Bimbang pula memikirkan di mana dia berada sekarang ini. Dia pasti Malik sedang mencarinya saat ini. Itu sangat merisaukannya.


"Mawar okey?" Wajah Mawar ditelitinya. Nampak segar sikit berbanding semalam sewaktu dia membawa wanita itu datang ke hotelnya ini.


"Saya dekat mana sebenarnya ni?" 


"Mawar selamat dekat sini. Jangan risau, dia tak kan dapat cari Mawar dekat sini."
Mawar menunduk. Daniel pasti sudah tahu akan apa yang terjadi di dalam hidupnya. Kesan-kesan yang terdapat di tubuhnya ini jelas menceritakan segalanya.


"Kenapa Mawar terus hidup dengan dia sedangkan Mawar diseksa dia?" Daniel memeluk tubuhnya. Wajah yang lebam-lebam itu direnungnya. Ternyata masih kukuh rasa cintanya buat wanita ini. Selepas mengetahui segalanya daripada Aishah, hilang rasa marahnya terhadap Mawar. Hanya rasa bersalah saja yang ada buat wanita itu. Kehadiran wanita itu semula, menebarkan kembali rasa cinta yang tak pernah mati di hatinya buat Mawar.


"Saya tak ada pilihan. Saya tak boleh biarkan dia hidup dengan Miranda. Saya minta maaf sebab menyusahkan awak. Saya perlu pergi sekarang." Mawar cuba bangun ternyata dia lemah.


"Mawar belum sihat sepenuhnya. Saya akan lepaskan Mawar pergi bila Mawar sembuh sepenuhnya. Kalau Mawar perlukan pertolongan saya, beritahu. Saya seikhlas hati akan membantu. Jangan terus biarkan hidup Mawar menderita. Kasihankan Miranda. Dia tak perlu hadap penderitaan Mawar bila Mawar terus bersama lelaki tu." Daniel bergerak ke arah pintu. Dia masuk ke sini hanya mahu melihat keadaan Mawar. Lega sedikit hatinya melihat wajah itu tidak layu lagi. 


"Saya takut Dany. Dia akan jual Miranda jika saya tinggalkan dia." Mawar hanya merenung jarinya sendiri. Tidak sanggup melihat wajah lelaki itu. Perasaan itu tidak pernah terhapus untuk lelaki itu.


Daniel berpaling. Ada bahang kemarahan jelas terpancar di wajahnya. Tangannya dikepal. Geram sungguh dia dengan Malik. Tidak menyangka Malik sekeji itu.


"Saya akan bantu Mawar asalkan Mawar sudi terima pertolongan tak seberapa saya ini." Daniel terus keluar daripada bilik itu. Dia mahu biarkan Mawar berfikir dahulu.

***********************************************************************************************

MIRANDA memeluk ibunya. Dicium wajah ibunya berkali-kali. Rindu sungguh dia dengan ibunya walaupun baru beberapa jam sahaja dia terpisah daripada ibunya.


"Miranda sayangkan mama."


"Mama pun sayangkan Miranda." Pipi gebu Miranda diciumnya.


"Baik pakcik tu kan Mama. Dia tolong kita. Dia tak macam papa. Dia bawa Miranda jalan-jalan. Lepas tu dia bawa Miranda mandi kolam." Seronok Miranda bercerita kepada ibunya.
Sengaja Daniel membawa Miranda berjalan-jalan kerana mahu biarkan Mawar berehat secukupnya. Dia mahu Mawar sihat sepenuhnya.


"Mama pun tak tahu, berapa lama kita boleh tinggal dekat sini. Nanti mama dah sihat, kita keluar dari si ya sayang." 


"Pakcik kata, dia tak kisah Miranda nak tinggal sini. Miranda suka tinggal sini sebab..." Miranda diam.


"Kenapa sayang?" Wajah muram Miranda dipandangnya. Tadi elok saja mulut comel itu bercerita sekarang wajah itu bertukar muram pula.


"Tinggal sini mama tak kena pukul dengan papa. Miranda tak boleh nak tengok papa pukul mama lagi. Miranda tak mahu balik rumah."


Mawar terdiam. Dia sendiri pun tidak akan sesekali kembali ke rumah itu lagi. Tapi untuk terus berada di sini dengan menerima pertolongan lelaki itu dia tidak mahu. Cukuplah dia pernah menyakiti hati lelaki itu suatu ketika dahulu walaupun itu semua bukan kehendaknya.


"Kita akan pergi tempat yang jauh nanti ya sayang. Tak ada sesiapa pun akan jumpa kita." 


"Tapi pakcik..."


"Kenapa dengan pakcik?"


"Miranda suka pakcik. Pakcik baik."


Mawar mati kata. Sudahnya dia hanya terus mendiamkan diri mendengar bibir comel itu bercerita mengenai pakciknya.

BERTAUT KEMBALI (COMPLETE)Where stories live. Discover now