Apa khabar pembaca. Aku harap kalian sihat dan mungkin juga masih ingat pada aku.
Terlalu banyak yang aku ingin kongsikan namun tidak semua aku perlu perincikan. Cukup sekadar apa yang penting dan apa yang perlu. Telah aku ceritakan bagaimana hidupku sewaktu masih kecil dan bagaimana aku dibesarkan di rumah anak yatim sebelum dibela oleh Ayah Borhan.
Selepas Ayah Borhan dipenjara aku hidup bersama dua adik angkatku Salina dan Zain. Waktu itu aku sudah meningkat remaja. Kehidupan aku ketika remaja sangat berbeza dengan remaja lain. Aku tidak mendapat kasih sayang yang cukup dan terpaksa bekerja sambilan selepas sekolah untuk menampung hidup serba kekurangan.
Ianya bukanlah pengalaman yang manis tapi aku belajar untuk bersyukur dan menerima apa adanya.
Dan aku tahu ramai yang tertanya-tanya tentang kehidupan awal perkahwinan aku bersama Rahimah. Jangan khuatir, akan aku kongsikan.
Kisahnya begini..
***
Luqman mengeluh berat. Terasa ingin menjerit untuk meluahkan isi hati yang berendam dengan kepiluan. Dia telah cuba sedaya upaya namun tetap gagal. Berkali-kali Luqman berfikir di mana silapnya?
Slip keputusan SPM di tangan kanan Luqman membuat hatinya berkecamuk. Kebanyakkannya bertanda gred D, ada satu subjek saja bertanda C iaitu Pendidikan Agama Islam. Impiannya untuk berjaya dengan keputusan cemerlang bagi semua mata pelajaran terkubur. Walaupun janjinya dengan Cikgu Ariffin tertunai namun dia tetap tidak berpuas hati. Dia tahu dia mampu lakukan lebih baik tapi nasib tak menyebelahinya.
"Tahniah Luqman, cikgu bangga dengan kamu" tegur Cikgu Ariffin yang tiba-tiba muncul dan duduk di sebelah Luqman.
Dari tadi dia melihat Luqman duduk di berdekatan longkang kecil pada salah satu blok kelas di sekolah itu. Sendirian tanpa teman atau ibu bapa sedangkan anak murid yang lain sedang berkumpul sambil meraikan keputusan mereka.
"Kamu tak mahu kongsi keputusan kamu dengan kawan lain?" soal Cikgu Ariffin setelah melihat Luqman berdiam diri merenung slip
Entah apa yang tengah difikirkan oleh muridnya itu.
"Buat apa? bukannya cemerlang. Nanti saya juga yang malu" kata Luqman dengan nada kecewa.
"Perjalanan masih panjang Luqman. Jangan putus asa sebab SPM bukan segala-galanya. Kamu masih boleh berjaya" pujuk Cikgu Ariffin
"Tak mengapalah cikgu, saya minta diri dulu" balas Luqman yang kemudian bangkit dari duduknya dan meninggalkan Cikgu Ariffin yang terpinga-pinga.
Cikgu Joshua melihat Luqman berlalu pergi dan dia mahu menegur namun sekumpulan anak murid perempuan berkerumun untuk berkongsi keputusan mereka pada Cikgu Joshua. Pabila selesai, kelibat Luqman telah tiada, Cikgu Joshua hampa kerana tidak sempat bertanya keputusan anak muridnya itu.
***
"Jadi abang nak masuk Universiti mana?" soal Salina yang teruja
"Mana ada orang nak ambil abang masuk dengan keputusan macam ni" balas Luqman sambil mencuci beras untuk di masak.
"Kenapa pula? abang tak gagal pun" balas Salina
"Mereka ada syarat tertentu. Bukan semudah itu dan abang yakin abang tak layak" kata Luqman
"Habis tu abang nak buat apa?" soal gadis itu lagi
"Kerja" balas Luqman pendek
Salina memandang wajah abang merangkap ibu dan bapanya itu dengan pandangan keliru. Luqman tahu Salina sedang binggung tapi dia juga sama. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dia lakukan dan kemana hala tuju hidupnya selepas ini.
Keesokkan harinya, Luqman tidak membuang masa. Dia perlu mencari kerja untuk menampung kehidupan dua adik angkatnya. Biarlah dia gagal dalam pelajaran asalkan Salina dan Zain mendapat pendidikan yang sempurna. Di dalam hati, Luqman memasang angan-angan melihat Salina dan Zain ke menara gading sambil memegang segulung ijazah. Luqman tersenyum sendiri memikirkan hal itu.
Luqman juga tidak lagi bekerja dengan Abang Awang di bengkel motorsikal kerana Abang Awang telah berpindah ke Miri. Mahu tidak mahu Luqman terpaksa mencari kerja lain demi sesuap nasi. Disaat rakan-rakannya sibuk memilih kolej dan universiti untuk melanjutkan pelajaran, Luqman pula sibuk mencari kerja yang sesuai.
"Jadi kamu boleh mula esok?" soal seorang wanita berusia 30an bernama Nita itu
"Iya, boleh" balas Luqman
Akhirnya, hampir dua minggu keluar mencari kerja, Luqman diterima bekerja sebagai penjaga stor di sebuah pasaraya di bandar. Gaji yang bakal diterima cukup untuk menampung kehidupan hariannya bersama adik-adik.
Luqman tersenyum riang dan senang hati. Tapi hidupnya baru saja bermula, senyuman itu bakal hilang dan diganti dengan air mata.
Bersambung....

YOU ARE READING
MR. OTOT : MEMORI (Siri 3.1)
General FictionDrama (Lengkap) (18SX) Terima kasih pada yg Vote & add dalam list cerita anda Prequel Siri Mr. Otot. Mengisahkan kenangan dan memori Luqman pada awal usianya sehingga bergelar dewasa. Luqman, seorang anak yatim piatu cuba mencorak kehidupan yang ba...