BERTAUT KEMBALI PART 2

Start from the beginning

“Mawar menderita Dany. Selepas dia berkahwin, Malik bawa dia pindah. Dia tak pernah balik ke kampung dia lagi. Malah ibu dan ayah dia meninggal pun, Mawar tak balik. Dia menyepi. Kami terputus hubungan. Puas aku cari dia tapi aku tak jumpa.” Aishah memulakan ceritanya. Ada rasa kesal dengan apa yang berlaku di dalam hidup Mawar.

“Dia yang pilih lelaki tu. Dia kena hadaplah. Mungkin itu balasan yang setimpal untuk apa yang dia dah buat pada aku.” Daniel mengeluh. Luka yang lama itu kembali terbuka sedikit demi sedikit. 

“Sayang…” Alif memanggil isterinya. Dia tak sanggup melihat wajah terluka Daniel.

Aishah menahan suaminya daripada terus berkata-kata. Dia mahu lepaskan segalanya hari ini biar Daniel sendiri membuat keputusan sama ada mahu terus membenci atau tidak pada Mawar.

“Mawar terpaksa berkahwin dengan Malik hanya kerana perlukan wang untuk kos pembedahan jantung ibunya. Dia tiada pilihan lain bila ayah dia sendiri terus mendesak. Lagipun…” Aishah jeda. Dia tidak sanggup mahu meneruskan kata-katanya. Ada maruah yang perlu dijaga.

“Lagipun apa sayang?” Alif menunggu isterinya bersuara.

“Kenapa kau tak teruskan?” Daniel menjongkitkan keningnya pada Aishah. Aishah resah.

“Dia…” Aishah teragak-agak mahu bercerita.

“Sudahlah Aishah, jangan nak bela dia lagi. Cukup rasa sakit yang dia tinggalkan untuk aku. Dia pilih duit daripada cinta aku. Kalau dia beritahu aku tentang penyakit ibu dia tu, aku lambakkan saja wang depan mata dia.” Daniel mendengus lagi.

“Kau sanggup terima dia kalau kau tahu dia dah rosak pada waktu tu?” Tajam Aishah menghunus pandangan matanya pada Daniel. Daniel tersentak.

“Apa maksud kau?” Daniel sudah tidak bersandar pada kerusinya lagi. Kata-kata Aishah menghuru-harakan rasa hatinya.

“Sekali saja aku ceritakan pada kau. Lepas ni kau jangan tanya aku lagi. Ini melibatkan maruah Mawar. Aku cuma nak kau buka telinga kau luas-luas supaya kau tak terus salahkan Mawar. Dia hanya mangsa keadaan.” 

Aishah menunggu balas kata daripada Daniel tetapi lelaki itu hanya diam saja di kerusinya. Suaminya pula sudah menayangkan wajah tidak sabar mahu mendengar kata-kata yang seterusnya daripada dirinya.

“Kau pergi setahun daripada hidup dia Dany. Kau hanya berhubung beberapa kali saja dengan dia. Kau tak tahu apa yang terjadi pada hidup dia. Dia menderita Dany. Aku yang selalu hadap tangisan dia. Bila aku suruh dia beritahu kau, dia tolak. Dia tak nak ganggu kerja kau di sana.” Aishah mengetap bibirnya. Dia cuba menahan dirinya daripada menjatuhkan air mata. Ada perasan sebak setiap kali mengingatkan penderitaan yang harus ditanggung Mawar.

“Sambung sayang…”

Aishah menjeling suaminya. 

“Selepas tiga bulan kau pergi sana, Mawar mula diganggu Malik. Macam-macam cara dia lakukan untuk dapatkan Mawar termasuklah…”

“Apa yang lelaki tu buat pada Mawar?” Daniel pula tidak sabar mahu mengetahuinya. 

“Malik rogol Mawar.” 

Semua diam. Masing-masing tidak tahu mahu berkata apa lagi.

“Selepas kejadian itu, Malik masuk meminang Mawar tapi Mawar menolak. Sehinggalah ibu Mawar disahkan menghidapi penyakit jantung. Masa itulah Malik memainkan peranannya sehingga Mawar tiada jalan mahu keluar lagi.” Basah juga kelopak matanya dengan air mata. 

“Kenapa tak report polis?” Berdebar-debar jantung Daniel saat ini. Betapa teruk Mawar menderita tanpa dia sedari.

“Kalau report, ayah Mawar akan ikut masuk penjara juga.” Aishah tidak dapat membendung air matanya lagi. Dihamburkan tangisannya di bahu suami. Alif mengusap perlahan belakang tubuh isterinya. Cuma memberi ketenangan buat si isteri.

“Aku tak faham.” Ada rasa bersalah terhadap Mawar yang mula bertandang pada dirinya.

“Ayah Mawar penyebab Mawar dirogol Malik. Kau tahukan ayah Mawar tu kaki judi jadi…” Aishah tak dapat meneruskan kata-katanya lagi. Cukuplah dengan apa yang diberitahu. Rasanya tiada lagi cerita yang masih disimpannya.

“Ya Allah… Kejamnya ayah Mawar. Aku tak sangka....” Alif berhenti berkata-kata bila Daniel bersuara.

“Mana Mawar sekarang?” Daniel sudah berdiri. Dia sudah tidak mampu untuk terus berada di situ. Dia mahukan ketenangan. Apa yang diceritakan oleh Aishah benar-benar menyesakkan dadanya. Dia tidak sepatutnya menyimpan rasa benci buat wanita itu. 

“Aku tak tahu. Dia hilang macam tu aje lepas dia kahwin dengan Malik.” 

Daniel terus saja beredar selepas mendengar bicara Aishah. Dia hanya mengikut langkah kakinya saja. Sedar-sedar dia sudah berdiri di sebelah keretanya. Tanpa menunggu lagi, dihidupkan enjin keretanya dan dia terus memandu tanpa mengetahui hala tujunya. Fikirannya jauh melayang teringatkan Mawar. Bahagiakah Mawar sekarang ini.

BERTAUT KEMBALI (COMPLETE)Where stories live. Discover now