BERTAUT KEMBALI PART 2

51 3 0

Daniel sabar menanti kehadiran pasangan suami isteri itu. Diikutkan hatinya malas sebenarnya mahu bertemu muka lagi dengan Alif dan Aishah. Dia tidak mahu luka yang masih belum sembuh di hatinya kembali berdarah. Tidak mahu dikatakan sombong, dia mengajak suami isteri itu untuk makan malam bersamanya di hotel kepunyaanya ini. Lagipun mereka tetamunya di sini dan mereka tidak bersalah langsung dengan apa yang terjadi di dalam hidupnya. 

    “Assalamualaikum…” Alif menegur. Tangan dihulur kepada Daniel. Daniel menyambut huluran tangan Alif.

    “Waalaikumusalam. Duduklah.” Daniel hanya memberi senyuman buat Aishah.

    “Macam mana kau berjaya sampai macam ni sekali, Daniel. Sumpah aku tak boleh nak percaya.” Alif teruja. Bila mengetahui Hotel Madany ini milik Daniel, hatinya tidak dapat menutup rasa terujanya itu. Dia sendiri pun tidak mampu untuk mengecapi apa yang Daniel ada sekarang ini.

    “Rezeki aku Alif. Aku lorongkan semua yang aku lakukan ke jalan Allah dan alhamdulillah inilah aku sekarang.” Memang itu yang dilakukannya. Sebenarnya tanpa pengetahuan sesiapa pun, dia sebenarnya sudah merencanakan segalanya semenjak dulu lagi. Tiada siapa pun yang tahu tentang usahanya mahu membangunkan hotel miliknya sendiri. Bukan mudah untuk dia mencapai apa yang dia dapat sekarang ini. Beberapa kali dia jatuh dan bangun tapi dia tetap berusaha. Semuanya dilakukan demi Mawar. Demi cintanya pada Mawar. Kepulangannya pada hari itu sebenarnya mahu memberitahu pada Mawar mengenai kejayaannya tapi lain pula yang dihidangkan Mawar untuknya. Mujurlah dia masih mampu untuk kuat meneruskan hidupnya. Tidak sesekali dibiarkan dirinya hanyut dengan kekecewaan dengan cinta palsu Mawar.

    “Tahniah kawan. Aku bangga dengan kau.” Bahu Daniel ditepuk perlahan.

    Daniel memanggil kepada seorang pelayan untuk mengambil order daripada mereka. Melihat bos besar yang memanggil, cepat-cepat pelayan itu mendekati meja yang diduduki Daniel. Selesai membuat pesanan mereka sambung berbicara. Banyak yang dibualkan. Macam-macam sudah berubah rupanya semenjak lima tahun ini. 

    “Kau jangan lari daripada kami lagi Dany.” Alif meneguk minuman yang dihantar pelayan tadi.

    “Aku…” Daniel mati kata. Tiada kata yang mampu diluahkan.

    “Move on Dany. Dia pun dah lama move on rasanya. Lepas dia kahwin, terus terputus hubungan kami dengan dia.” Alif memandang tepat pada wajah Daniel. Berubah sudah wajah lelaki itu.

    Daniel sedikit tersentak. Siapa lagi dia yang dimaksudkan Alif, pastilah Mawar orangnya. Tapi Daniel pelik bila Mawar juga memutuskan hubungan dengan Alif dan Aishah. Setahunya Aishah sahabat baik Mawar. Daniel tertanya sendiri.

“Aku harap dia bahagia dengan apa yang dia buat pada aku.” Tanpa riak Daniel bersuara.

“Dia tak bersalah Dany.” Aishah yang hanya mendiamkan diri mula bersuara. Dia tidak akan benarkan lagi Daniel terus menyalah anggap pada Mawar. Dia harus menceritakan segalanya biarpun semuanya sudah terlambat. Dulu kerana berjanji dan memikirkan kebahagiaan Mawar, dia mendiamkan diri sahaja bila Daniel menyalahkan Mawar dengan apa yang terjadi. Tapi hari ini dia mahu menceritakan segalanya. Suaminya Alif pun masih tidak tahu akan perkara sebenar yang terjadi di dalam hidup Mawar. Sentiasa dia mengelak apabila Alif bertanya akan hal itu. Hari ini biar segalanya jelas. Dia akan membela Mawar biarpun Daniel masih mahu terus menyalahkan Mawar selepas mengetahui perkara yang sebenar.

“Habis aku ke yang salah?” Tajam pandangan Daniel pada Aishah. 

“Sayang, kenapa awak masih nak bela perempuan tu? Dia yang tinggalkan Dany bukan Dany tinggalkan dia.” Alif menyentuh lengan isterinya. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu kisah sebenar antara Daniel dan Mawar. Dia hanya tahu serba sedikit saja. Itupun daripada mulut Daniel sebelum Daniel hilang tanpa khabar berita.

BERTAUT KEMBALI (COMPLETE)Where stories live. Discover now