Bab 8

758 25 1
                                    

"Umi tak jadi nak teman Qarin jumpa Kinah, ya. Pak Cik Zubir meninggal pagi tadi. Jadi umi nak pergi ziarah dia."

Terngiang-ngiang suara umi di telinga aku. Teringat apa yang umi cakap sebelum aku bergerak keluar untuk menghantar Qaseh ke tadika. Disebabkan aku memang nak jumpa Sakinah lepas hantar Qaseh, itu yang umi dah beritahu aku awal-awal yang dia tak dapat ikut.

Ada juga aku beritahu umi pasal apa yang berlaku awal pagi tadi. Cukup aku ceritakan serba ringkas memandangkan umi tahu yang arwah Pak Cik Zubir ada membela saka.

Lepas aku panggil Ustaz Malik, ada juga aku hulurkan bantuan setakat mana yang aku mampu. Mulanya aku nak juga tolong sama panjat atap rumah Pak Cik Zubir sebab salah satu cara untuk saka keluar daripada jasad, atap rumah perlu dibuka. Disebabkan aku tak cukup tidur dan Ustaz Malik macam perasan aku tak dapat rehat, dia tak bagi aku naik atap rumah. Sempat lagi dia perli aku dan cakap yang dia takut aku yang tergolek jatuh dan buat lubang pada atap.

Alhamdulillah lepas hampir dua jam bertarung, dapat juga Ustaz Malik keluarkan saka daripada jasad Pak Cik Zubir. Bahkan aku minta ustaz jauhkan saka tu daripada ganggu orang lain. Terutama keluarga Halim. Kesian pula aku tengok anak lelaki dia yang belum tentu dapat jaga saka belaan tu dengan baik. Apatah lagi, bela makhluk begitu mendatangkan dosa besar dan kemungkaran Allah.

"Ayah... Betul ke umi cakap yang atuk sebelah rumah tu dah meninggal?"

Aku mengilas ke arah Qaseh yang duduk di seat sebelah. Comel tubuhnya aku lilitkan dengan tali pinggang keledar.

"Ya, betullah tu. Kenapa?" Aku pandang semula ke arah cermin hadapan kereta. Tak jauh lagi sebelum tiba di tadika Al-Muslim. Lepas tu aku nak gerak untuk jumpa Sakinah pula. Harap-harap mata aku ni masih lagi segar bertahan. Setakat ni tak ada masalah lagi kalau aku tak tidur semalaman.

"Tak ada apa. Dia meninggal tu sebab apa, ayah?"

Aku menggeleng perlahan. Membawang juga anak perempuan aku ni. Kecil-kecil lagi dah sibuk bertanya info yang tak penting. Dahlah celoteh dia tak nampak langsung macam budak tadika. Agaknya bekas isteri aku bagi lebih vitamin pada Qaseh masa dia membesar dulu.

"Sebab dah sampai masanya dia meninggallah. Sama macam tok dengan Pak Cik Qayyum. Allah dah tulis ajal mereka sampai situ."

"Oh... Habis, Allah tulis ajal ayah dengan umi sampai mana?"

Terdiam aku mendengar soalan Qaseh. Kalaulah manusia boleh tahu bila ajal mereka tiba, nescaya manusia takut nak buat dosa. Nescaya neraka tu tak ada penghuninya sebab semua manusia sibuk membuat amal sebelum ditarik nyawa.

"Kenapa Qaseh cakap macam tu?" Gusar aku menyoal. Pelik juga macam mana anak perempuan aku boleh terfikir untuk tanya soalan macam tu.

"Tak ada apa-apa. Qaseh tak nak ayah dengan umi pergilah."

"Insya-Allah. Nanti setiap kali solat, Qaseh doa banyak-banyak dengan Allah. Allah dengar apa yang Qaseh minta." Senyumku. Walaupun Qaseh masih belum pandai mengerjakan solat, dia ikut juga aku dengan umi sembahyang. Sekadar mengikut segala posisi dalam solat tanpa membaca apa-apa memandangkan Qaseh masih belum mampu menghafal dengan baik.

"Qaseh boleh minta apa-apa dengan Allah ke, ayah?" tanya Qaseh dengan nada terujanya.

"Insya-Allah, mintalah. Yang penting Qaseh berdoa dengan Allah."

"Kalau minta Playhouse?"

Aku tersenyum nipis.

"Kalau itu, Qaseh doalah dengan Allah... Minta Allah murahkan rezeki ayah nak belikan untuk Qaseh."

Wanita Khas Untuk QarinWhere stories live. Discover now