BAB 3

1.7K 41 0
                                    

"ASSALAMUALAIKUM. Nek Wan... oh Nek Wan!"

Sepi. Tiada sahutan.

Najuwa menanggalkan seliparnya dan memijak anak tangga. Dijengah kepalanya ke dalam rumah melalui tingkap yang terbuka. Sunyi saja keadaan rumah. Tidak terpasang ayat al-Quran seperti selalu.

"Mana Nek Wan ni?" bisik Najuwa.

Sekali lagi dia memberi salam. Sampai cukup tiga kali.

Hati Najuwa jadi berdebar tiba-tiba. Mulalah dia berfikir yang bukan-bukan. Disebabkan orang tua itu tinggal bersendirian hari ini, Najuwa bimbang kalau terjadi apa-apa yang kepada Nek Wan.

Laju dia melompat turun dari tangga dan berlari ke arah pintu belakang. Hah, pintu tak berkunci!

Tanpa berlengah, Najuwa berlari masuk ke dalam rumah dan mencari nenek Zuhayr di segenap penjuru dapur.

"Nek Wan! Nenek dekat mana?" laung Najuwa.

Di dapur, tiada. Di bilik air juga begitu.

Najuwa berlari naik ke atas rumah. Pintu bilik Nek Wan digegar. Nafas lega ditarik saat melihat Nek Wan sedang berada di atas tikar sembahyang. Buat takut saja!

Najuwa tertawa sendiri. Kepala diketuk beberapa kali memikirkan diri sendiri yang kalut tak bertempat. Perlahan-lahan daun pintu ditutup kembali. Tidak mahu mengganggu Nek Wan yang sedang khusyuk sembahyang.

"Allahuakhbar!"

Jatuh terduduk Najuwa saat berpaling ke belakang. Mana tidaknya, ada mahluk Allah cukup sifat sedang berdiri betul-betul di belakangnya.

"Kau ni dah kenapa? Macam hantu tiba-tiba muncul macam ni? Terkejut aku, tahu tak?" bebel Najuwa tidak puas hati.

Susah payah dia bangkit dan membetulkan posisi tubuhnya. Buat malu saja. Dah rupa nangka busuk tergolek depan Zuhayr. Mujurlah dia pakai seluar sukan. Buatnya pakai kain batik tadi, tidak ke terselak kainnya?

Percuma saja Zuhayr melihat auratnya. Isy!

"Kau yang masuk rumah aku macam orang hilang akal terpekik terlolong. Apesal?" soal Zuhayr selamba.

Najuwa ketap bibirnya, erat. Kan dah kena setepek!

Tangan dibawa menggaru kepala. Kemudian, dia tersengih menayang barisan giginya yang memutih.

"Aku ingatkan kau tak balik lagi. Aku beri salam, tak ada orang yang sahut. Aku risaukan Nek Wan, takut jadi apa-apa," balas Najuwa.

Semalam, Nek Wan kata Zuhayr ke Kuala Lumpur. Atas urusan apa, tidak pula diberitahu. Sebab itu, Najuwa datang hari ini bawakan makanan. Najuwa tahu, Nek Wan selalu tiada selera nak makan kalau cucunya yang seorang ini tiada.

Zuhayr sekadar menjeling Najuwa. Tiada respons yang diberi setelah mendengar penjelasan gadis itu. Dia melangkah ke ruang tamu. Jaket dan kunci motosikal yang tergantung di tepi pintu dicapai. Kemudian, dia melangkah ke tangga.

"Alang-alang kau ada ni, beritahu Nek Wan aku nak pergi bandar sekejap jumpa Abang Mail. Kalau kau rajin, temankan Nek Wan sampai aku balik," ujar Zuhayr.

Najuwa sekadar mengangguk. Dia berdiri di ambang pintu, memerhati Zuhayr yang sedang menyarung kasut. Otot pipinya tidak semena-mena bergerak naik ke atas saat melihat kasut yang disarung oleh Zuhayr. Kasut itu, hadiah pemberiannya sempena hari lahir Zuhayr.

Jari telunjuknya digesekkan pada permukaan pintu, mengawal rasa malu. Terharu. Dalam masa yang sama, dia rasa bahagia sebab Zuhayr menghargai pemberiannya.

Zuhayr mengerling Najuwa yang sedang tersenyum.

"Kasut aku basah kena hujan semalam. Sebab tu aku pakai. Mana kau tahu saiz aku?" soal Zuhayr.

Sebenarnya, kasut yang Najuwa bagi longgar sikit. Tapi, okeylah. Boleh dia pakai untuk tempoh masa lama. Kasut berjenama pula tu. Entah mana Najuwa dapat duit. Dia malas nak tanya.

"Nek Wan beritahu," bohong Najuwa.

Padahal, dia curi-curi tengok saiz kasut Zuhayr malam sebelum dia pergi membeli kasut itu di pekan. Gila kalau Zuhayr tahu. Nanti dicopnya aku stalker, bisik Najuwa dalam hati.

"Kau... okey ke?" soal Najuwa.

Tidak mampu untuk membuang rasa ingin tahu. Dah lama dia tak berbual dengan Zuhayr. Sejak peristiwa lelaki itu menangis, ini kali pertama rasanya mereka bercakap semula. Rindu suara emas dia.

"Okey," balas Zuhayr ringkas.

Najuwa mengukir senyuman nipis. Cukuplah jawapan itu.

"Nak pesan apa-apa?" soal Zuhayr setelah siap memakai kasut.

"Choki Choki," jawab Najuwa tanpa berfikir panjang.

Tersengih dia saat Zuhayr memandang wajahnya dengan kerutan. Salah ke aku minta Choki Choki?

Zuhayr sekadar menggeleng dan memanjat motosikal. Topi keledar disarung ke kepala dan gear dilaras.

"Belikan tau!" laung Najuwa.

Setelah motosikal Zuhayr hilang daripada pandangan matanya, Najuwa melangkah masuk ke dalam. Terkejut saat matanya bertembung dengan Nek Wan yang sedang berdiri di belakangnya.

"Nek Wan ni, terkejut Najuwa. Bila Nek Wan keluarnya?"

"Orang sibuk bercinta dekat tangga tu, mana nak nampak kita dah," balas Nek Wan.

Terdiam Najuwa dengan perlian Nek Wan itu.

"Mana ada Nek Wan. Kita orang berbual aje pun. Zuhayr minta Najuwa temankan Nek Wan sampai dia balik," balas Najuwa.

"Dia ke mana tu? Baru aje sampai. Dah keluar lagi. Sibuk mengalahkan menteri," soal Nek Wan.

Najuwa menjongket bahu. "Nak jumpa Abang Mail katanya."

Nek Wan sekadar mengangguk.

"Nek Wan dah makan? Najuwa ada bawa asam pedas. Tapi, tak banyaklah. Ingatkan Nek Wan seorang dekat rumah tadi," ucap Najuwa.

"Nek Wan tak mahu makan nasilah hari ni. Kamu tinggal ajelah dekat dapur tu. Zuhayr makanlah bila dia balik nanti. Nek Wan ingat nak buat pengat labu. Nanti Nek Wan buat lebih sikit. Boleh bawa balik untuk adik-adik kamu sekali," ujar Nek Wan.

Orang tua itu bangkit menuju ke dapur. Najuwa mengekori langkahnya dari belakang. Saat melintasi bilik Zuhayr, langkah Najuwa terhenti. Ada sebuah beg tarik dan sebuah beg sandang berwarna hitam di atas katil lelaki itu. Dahinya membentuk kerutan.

"Besarnya beg? Bukan dia pergi KL sehari aje semalam?"

"Najuwa, tolong Nek Wan petikkan daun pandan dekat depan!"

Laungan Nek Wan itumematikan persoalan di kepala Najuwa. Dia melepaskan nafas panjang. Nantilah,tanya Zuhayr sendiri. Soal beg itu dilupakan dan dia berlalu ke depan untukmelaksanakan suruhan Nek Wan.

LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYRWhere stories live. Discover now