Bab 38

11 1 0
                                                  

"Dia bertunang dengan Anis sebab nak memenuhi permintaan terakhir gadis tu."

"Kau yakinkan ke dengan cerita dia tu, Hanie?" soal Sofea yang turut merasa ragu. Musibah yang menimpa Anis dan bagaimana Izhan berkorban macam sebuah cerita dongeng yang sukar untuk diterima bulat-bulat. Lainlah jika ada bukti di depan mata.

"Entahlah Sof..." balas Izhanie lemah. Sejak dua tiga hari ini, hanya perkara itulah yang bermain-main di fikirannya. "Mustahil ada lelaki yang semulia tu, sanggup korbankan cinta sendiri untuk membahagiakan wanita lain yang lebih memerlukannya." Izhanie mengaku jika dia berada di tempat Izhan, dia tidak akan sanggup menunaikan permintaan Anis yang terasa berat itu. Kalau Anis minta nak pergi melancong ke... nak makan sedap-sedap ke... nak pakaian hebat-hebat ke... bolehlah dipenuhi permintaan tersebut. Tapi kalau minta kahwin, dia memang tak sanggup.

"Katakanlah apa yang Izhan ceritakan tu benar, aku rasa... kau memang bertuah Hanie. Sebab dapat teman lelaki sehebat Izhan yang sanggup ketepikan kepentingan diri sendiri demi memenuhi permintaan orang lain."

"Dia bukan teman lelaki aku Sof!" Izhanie masih belum menerima cinta Izhan secara rasmi. "Eh, kau percaya ke dengan cerita dia tu?"

"Bagi akulah, kalau aku benar-benar sayang kat lelaki tu, aku tentu akan percaya segala kata-katanya. Kau? Kau pecaya ke?"

"Entahlah... 50-50." Izhanie menjungkit bahu. Perasaan was-was masih ada.

"Tak ada faedahnya Izhan nak mereka cerita tentang Anis tu, Hanie. Fikirkanlah masak-masak. Izhan memang cintakan kau. Cuma, dia terhimpit oleh keadaan. Kau harus memahami keadaannya sekarang. Dia tentu tertekan sekarang. Saat nilah kau kena berada di sisi dia memberi sokongan."

"Mungkin Izhan nak balas dendam pada aku tak?" Izhanie masih was-was.

"Kenapalah ke situ pulak fikiran kau?" Sofea menggeleng-geleng. "Kau dengan dia kan dah berdamai. Saling maaf-memaafi."

"Aku cuma berhati-hati. Tapi kalau dia cintakan aku tentu dia sanggup lakukan apa saja permintaan aku, kan?"

"Amboi, Anis ada permintaan terakhir, kau pun nak buat permintaan juga?" Sofea tergelak kecil. Dia menggeleng-geleng.

"Kau tak nak tahu apa yang akan aku minta dia lakukan?"

"Apa?"

"Minta dia putuskan pertunangannya dengan Anis." Izhanie ingin pendapat Sofea.

"Kau nak minta Izhan putuskan perhubungannya dengan Anis? Kau gila ke apa?" terbeliak mata Sofea. Dia tak percaya Izhanie sanggup melakukannya.

"Aku cuma nak menguji."

"Anis kan sakit? Izhan pasti tak akan menurut permintaan kau tu! Takkanlah Izhan sanggup buat macam tu. Kejam namanya. Kau lagi kejam."

Izhanie menghela nafas. Tiba-tiba sahaja idea tersebut tercetus di dalam kepala otaknya. Kalau Izhan ingin membuktikan cintanya, itulah yang harus Izhan lakukan, desis hati kecilnya. Takkanlah dia nak menjalinkan cinta dengan seorang lelaki yang sudah bertunang? Nak menempah maut?

"Kau cintakan Izhan?" aju Sofea setelah masing-masing terdiam seketika melayan perasaan.

Kalau lelaki itu tak ada komitmen dengan wanita lain, mungkin aku akan menerima cintanya...

"Hanie, kau cintakan Izhan ke?" Sofea mengulangi pertanyaannya. Pertanyaan pertamanya tadi mungkin tidak didengari Izhanie.

"Aku tak tahu."

"Takkan kau tak tahu perasaan kau sendiri?" Sofea menjuih.

"Kalaulah Anis tak wujud..."

Sofea menggeleng-geleng.

* * * * * *

Walaupun sedaya upaya mengelak diri dari Izhan, tetapi akhirnya dia terpaksa mengalah. Izhan masih belum putus asa. Izhan masih cuba meraih perhatiannya. Izhanie sudah nekad untuk tidak mahu mengeruhkan perhubungan Izhan dengan Anis. Caranya adalah dengan menjauhkan diri dari Izhan. Dia mahu membiarkan Izhan terus bersama Anis. Jika Izhan kembali kepadanya suatu hari nanti tanpa Anis di sisi, dia akan membuka ruang hatinya.

"Saya tak akan sekali-kali mencintai lelaki yang sudah berpunya."

"Hati saya ni bukan milik Anis. Tapi... okey, saya akui, pada zahirnya saya terikat dengan Anis. Tetapi hati saya ni hanya untuk awak."

"Berapa kali saya nak cakap yang saya tak akan menerima cinta dari lelaki seperti awak, yang sudah ada komitmen lain! Faham!" Izhanie meninggikan suara. Kalau terpaksa menjerit sekalipun dia rela asalkan Izhan faham keinginan hatinya.

"Cinta seperti mana lagi yang awak harapkan? Cinta dari lelaki bernama Hafid? Cinta terlarang dengan abang sendiri? Itu yang awak harapkan?"

"Cukup!" Izhanie menutup telinga. Dia tidak sanggup mendengar tuduhan Izhan lagi. Apatah lagi apabila nama Hafid dikaitkan. Dia benci lelaki itu. Benci! Matanya berkaca-kaca. Tuduhan Izhan berat sekali.

"Maaf." Izhan meraup mukanya. Dia gagal mengawal perasaan. "Maaf, saya tak berniat nak tuduh awak." Dia menyesal kerana terlepas cakap.

Izhanie hanya mampu menggetap bibir. Tak habis-habis dia menyumpah seranah dirinya kerana menerima pelawaan Izhan.

"Awak bagitahulah saya apa yang perlu saya lakukan untuk membuktikan perasaan saya terhadap awak." Ujar Izhan setelah terdiam seketika. Nada suaranya kembali mendatar.

"Tak ada apa yang harus dibuktikan." Izhanie ingin beredar segera dari situ. Menyesal pula kerana menerima pelawaan Izhan. Dia menerima pelawaan Izhan setelah Izhan berjanji tidak akan mengganggunya lagi. Ini adalah pertemuan terakhir mereka jika dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak menerima cinta Izhan.

"Saya rela lakukan apa saja asalkan awak menerima saya. Saya tak sanggup kehilangan awak." Luah Izhan penuh mengharap.

Izhanie menarik nafas panjang-panjang dan melepaskannya. Dia menenangkan fikiran. Pendiriannya sudah mula goyah. Dia tidak mahu mendengar lagi rayuan Izhan. Dia bimbang pendiriannya akan berubah.

"Putuskan pertunangan awak kalau awak memang ikhlas cintakan saya." Izhanie sekadar menguji. Dia pasti Izhan tidak akan menurut permintaannya itu. Dia sudah berjaya memerangkap Izhan.

Izhan terdiam lama. Izhanie sudah menduga reaksi Izhan itu. Izhan pasti tidak sanggup melukakan perasaan orang di sekelilingnya.

"Tengok!" Izhanie tersenyum sinis. Dia tidak akan memaksa Izhan untuk memilihnya. Dia memahami kedudukan Izhan. Dan sekarang dia berharap Izhan akan sedar perhubungan di antara mereka bukan mudah untuk dijalinkan.

"Awak fahamilah kedudukan saya." Rayu Izhan. Dia tidak mahu Izhanie menuduhnya tidak ikhlas menghulurkan cinta. Permintaan Izhanie tak terdaya diturutinya. "Saya dah lama kenal dengan Anis dan keluarganya. Anis mencintai saya sepenuh hatinya. Tak mungkin saya dapat menuruti permintaan awak kerana Anis sakit sekarang. Saya tentu akan dituduh lelaki tak berhati perut."

"Saya harap awak menunaikan janji awak. Jangan datang cari saya lagi." Izhanie bingkas bangun dari bangku itu. Izhan turut bangun lalu mengekorinya.

"Awak mungkin masih menganggap yang saya menipu awak. Awak boleh pastikan cerita saya ni dari kawan awak. Atikah sepupu Anis. Dia tentu tahu tentang penyakit Anis. Awak hubungilah dia kalau awak nak pastikan sama ada saya berbohong atau tidak." Izhan masih beria-ia mempertahankan kenyataannya.

"Selamat tinggal!" Izhanie tidak perlu ragu-ragu lagi dengan dakwaan Izhan itu. Dia percayakan Izhan. Dia juga menyedari keikhlasan cinta Izhan yang dihulurkan kepadanya. Jika dia menerima cinta Izhan, pasti masalah lain akan timbul. Itulah yang cuba dielakkannya. Biarlah Izhan bersama Anis, dia rela berkorban. Air matanya mula menitis satu demi satu.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now