Bab 37

15 1 0
                                                  

"Hanie, ada surat untuk kau," ujar Jaji sebaik sahaja Izhanie melangkah masuk.

"Surat? Mana?" dahi Izhanie berkerut. Siapa pulak hantar surat pada aku ni? Seingatnya dia tidak pernah memberikan alamat rumah sewanya kepada sesiapa pun. Izhanie kehairanan. Lagi pun zaman sekarang orang dah jarang mengutus surat, melainkan surat-surat penting. Email dan sms menjadi alat komunikasi paling meluas saat ini.

"Atas meja sana tu." Jaji memuncungkan mulutnya.

Izhanie mencapai sampul surat berwarna putih di atas meja. Kad undangan perkahwinankah? Hanya itu sahaja yang berada dalam fikirannya. Undangan perkahwinan masih memerlukan khidmat posmen. Siapa pulak yang nak kahwin ni? Izhan? Tiba-tiba nama itu terlintas difikirannya. Izhanie segera ke bilik. Dia harus membuka sampul surat dan menghayati isi kandungannya dalam keadaan tenang.

Surat tersebut masih di tangannya. Perlukah aku membukanya? Bagaimana jika benar telahanku, ini adalah kad undangan perkahwinan Izhan dan Anis? Lututnya rasa lemah sangat. Tangannya pula terketar-ketar. Telahannya mungkin benar. Tempoh hari dia telah terang-terangan menolak cinta Izhan. Hatinya berberlah bagi sama ada mahu membuka sampul tersebut atau tidak.

Ah, kenapa dengan aku ni? Takut sangat! Izhan tak ada pun bagitahu yang dia akan berkahwin dalam masa terdekat. Dan lagi pun, Anis masih belum tamat belajar.

Atas keyakinan itulah Izhanie terus mengoyak sampul surat. Sekeping kad dikeluarkan. Bukan kad undangan perkahwinan, tetapi ...

Honey, berilah peluang untuk saya

buktikan cinta saya ini memang ikhlas... Izhan.

Gila! Izhanie terus lempar kad tersebut ke atas meja. Lelaki ni memang dah gila! Gerutu Izhanie. Nak buktikan cintanya pada aku? Gila apa! Macamlah aku tak tahu yang dia dah nak kahwin beberapa bulan saja lagi! Honey? Izhan panggil aku Honey? Bencinya aku! Aku tak suka dia panggil aku macam tu! Aku tak suka! Dia tak ada hak nak buat macam tu. Sayang konon! Dia ingat hati aku akan cair bila dengar panggilan macam tu? Dia ingat hati aku akan cair dengan kiriman kad yang tak seberapa tu?

Entah kenapa hatinya langsung tidak gembira bila menerima kad berbentuk hati tersebut. Terasa Izhan sedang mempermainkan perasaannya.

"Hanie, apasal muka kau berkerut-kerut?" tegur Sofea yang baru sahaja masuk ke dalam bilik. Diletakkannya beg ke atas kerusi. Matanya masih melekat pada Izhanie, sabar menanti jawapan. Muka sahabatnya masam mencuka seperti dalam keadaan marah.

"Aku tersalah berkenalan dengan lelaki gila." Izhanie melepaskan kesalan. Izhanie menyesal kerana membantu Izhan membayar harga makanan. Kalau dia tak tolong Izhan ketika itu, masalah di antara dia dengan lelaki itu tentu tak akan berlaku. Dia tak akan mengenali Izhan atau pun Anis. Izhanie mengeluh panjang. Segalanya telah berlaku! Masa tak boleh diundur kembali.

"Lelaki gila?" Sofea tercengang-cengang. Kerut di dahinya hampir mencantumkan keningnya yang tebal.

"Tu." Izhanie memuncungkan mulut pada kad di atas meja. Dua hari lepas, dalam perjalanan pulang dari kampung, Izhan tak sentuh langsung pun tentang perasaannya. Apatah lagi perhubungan Izhan dengan Anis. Izhanie tertunggu-tunggu juga Izhan menyebut tentang Anis. Tetapi hampa. Alih-alih hari ni... Izhanie menggeleng-gelengkan kepala, bingung dengan sikap Izhan. Entah-entah Izhan terlupa yang dia pernah memperkenalkan Anis kepadanya. Kalau Izhan tak memperkenalkan Anis sebagai tunangnya sekali pun, Izhanie sudah tahu perkara yang sebenar akan status lelaki itu. Dasar lelaki semuanya sama! Satu saja masih tak cukup!

Sofea terus mencapai kad lalu membaca isi di dalamnya. Dia tersengih.

"Bukan ke si Izhan ni dah bertunang, Hanie?" soal Sofea. Dia membelek-belek depan dan belakang kad. "Cantik kad ni." Suaranya antara dengar dengan tidak.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now