Bab 42

932 53 21

"Islah, ayah nak cakap dengan kamu sekejap boleh?"

Pak Iman menarik perhatian Islah ketika dia ingin ke dapur. Langkahnya dilencongkan ke arah ruang tamu.

"Ada apa ni ayah? Macam serius je."

Melihat wajah Pak Iman, Islah tahu ada hal yang ingin dikhabarkan.

"Zaidi ke mari tadi. Asalnya nak berjumpa dengan kamu. Tapi kamu tengah sedap tidur."

Melopong mulut Islah mendengar kata-kata Pak Iman. Selepas hampir setahun sejak peristiwa di cafe itu, tiada lagi gangguan dari Zaidi.

"Dia nak apa lagi yah? Kan semuanya Islah dah jelaskan."

Pak Iman menghulurkan dua pucuk sampul surat pada Islah dan dua gugus kunci.

"Dia minta ayah serahkan ni pada kamu. Ayah nak kejut kamu tadi. Tapi dia tak bagi. Katanya tak nak kamu bertambah benci padanya."

Islah mencapai sampul surat yang dihulurkan. Kunci di letakkan semula di atas meja.

Sampul surat kecil segera dibuka.

Buat tatapan insan yang paling abang sayang dan cintai.

Sekiranya sayang baca surat ni, maknanya abang tak dapat jumpa sayang buat kali terakhir. Tapi tak apalah. Perancangan Allah swt yang terbaik. Pasti ada hikmah disebaliknya.

Terlebih dahulu abang mohon maaf di atas segala salah silap abang pada sayang selama kita bergelar suami isteri.

Sayang tak salah apa pun pada abang. Betul apa yang sayang cakapkan. Abang takut dengan bayang-bayang sendiri. Abang tamakkan kasih sayang dan belaian wanita sehingga abang lupa untuk menghargai sayang sebagai seorang isteri.

Sayang,
Hari ini sepatutnya menjadi hari ulang tahun perkahwinan kita yang ke-4. Dan sepatutnya kita meraikannya bertiga atau mungkin berempat. Abang minta maaf kerana abang, kita kehilangan anak kita. Abang berdosa sangat pada sayang. Pada anak-anak kita.

Sayang,
Abang dah lama kumpul duit. Abang dah habis bayar rumah kita. Memang niat abang untuk hadiahkan pada hari ulangtahun perkahwinan kita. Tapi sayangnya, kita tak dapat nak raikan bersama.

Dalam envelope satu lagi ada geran rumah dan juga kereta. Itu hak Islah sepanjang Islah jadi isteri abang. Abang tahu Islah tak nak tuntut apa-apa. Tapi, memang ini bahagian Islah yang dah abang sediakan.

Rumah ni baru je siap renovate. Rumah dan kereta semuanya atas nama Islah. Tak besar mana pun yang mampu abang bagi. Tapi in shaa Allah, cukup selesa untuk Islah. Jaga baik-baik ye sayang.

Abang takkan ada lagi kat sini. Abang kena pergi jauh. Halalkan makan minum abang ye sayang. Maafkan segala salah silap abang. Andai panjang umur kita berjumpa lagi. Tapi abang mohon, jangan anggap abang musuh sayang.

Abang rindu sayang. Rindu sangat-sangat. Setahun lebih yang menyiksakan berjauhan dengan sayang tapi abang pasrah. Semuanya kerana kesilapan abang sendiri. Abang tahu tak mungkin abang mampu merawat lagi luka di hati sayang.

Abang doakan sayang bertemu dengan insan yang sangat menghargai dan menyayangi sayang.

Salam sayang
-Zaidi-

Islah seka airmata yang mula membasahi pipinya. Dicapai pula satu lagi sampul surat dan terlihatlah dua geran di dalamnya.

Buntang matanya saat melihat geran kereta yang berada ditangannya.

"Abang, ada rezeki nanti sayang nak beli Vios,lah. Minat sangat dengan Vios. Tapi boleh tak kalau abang izinkan sayang kerja semula? Sayang bosanlah."

Zaidi ingat lagi rupanya. Masa tu dia sendiri tak tahu yang dia sedang mengandungkan anak sulong. Hari-hari dia merengek nakkan kereta Vios. Sampaikan seminggu dia merajuk dengan Zaidi. Zaidi naik buntu untuk memujuknya ketika itu. Nak mengadakan apa yang diminta saat itu memang mustahil.

Islah mencapai kunci kereta lalu menjengah keluar. Elok cantik terletak di hadapan rumah. Warna Putih. Itu memang yang dimintanya dulu.

"Islah, esok Zaidi tak ada lagi kat sini. Pagi esok dia akan berangkat ke Mekah untuk tunaikan umrah. Balik dari umrah, dia akan dihantar ke Perlis." Pak Iman menjelaskan lagi tentang ketiadaan Zaidi.

"Islah ikhlas maafkan dia. Islah dah cuba lupakan apa yang dia pernah buat. Walau sakit walau perit. Islah tak nak berdendam. Islah nak hati Islah tenang. Islah tak nak semua ni ayah. Islah dah cakap dengan dia." Lirih suara Islah.

"Terimalah pemberian dia Islah. Sebagai mutaah kamu. Itu yang dilafazkan depan ayah kerana dia tahu kamu tak akan menerimanya."

Islah terkedu. Airmata di seka.

"Dahlah tak payah menangis. Buruk rupanya. Pergilah masak cekodok bilis tu. Ayah dah lapar sangat ni." Pak Iman cuba menceriakan hati Islah.

Islah menyerahkan kunci kereta kepada Pak Iman sebelum melangkah menuju ke dapur semula.

Dah buat orang sedih. Lepas tu pandai pujuk balik. Ayah, ayahlah cinta hati sampai ke syurga Islah.

Aku yang Kau Lukai (Complete) - [Editing]Where stories live. Discover now