Bab 34

902 47 2

Kedatangan Puan Mariah benar-benar mengejutkan Islah. Entah macam mana berita tentang kegugurannya sampai pada wanita itu, dia sendiri tak pasti.

Dengan rasa berat hati dia menerima kunjungan Puan Mariah. Walaupun belum bersedia untuk menerima kunjungan sesiapa, namun Islah tidak mampu untuk menolak.

"Islah, sihat?" Tegur Puan Mariah sebaik sahaja Islah duduk di kerusi dihadapannya.

"Alhamdulillah, saya sihat puan." Jawab Islah.

Sempat dia memandang ke halaman rumahnya. Dilihatnya Zamani sedang berbual dengan Arwisy dan Pak Iman.

"Maaf. Saya yang ajak Zam ke sini sekali." Puan Mariah seakan faham apa yang bermain difikiran Islah.

"Tak apa puan. Macam mana puan tahu mengenai saya?" Soal Islah untuk menghilangkan tanda tanya yang bermain difikirannya ketika itu.

"Melinda bagitahu. Kebetulan dia di Kundasang. Terjumpa dengan classmate dia. Tu yang dia tahu."

Islah terdiam. Semenjak peristiwa itu, telefon bimbitnya langsung dia tak sentuh. Naddy pun dia tak sempat jumpa sebelum Naddy balik ke Kundasang.

"Islah okey?" Tegur Puan Mariah seraya memegang lembut tangannya.

"Sabar ye sayang. Saya tahu macam mana sedih dan peritnya kehilangan anak yang kita kandungkan. Saya juga pernah rasa. Tapi Islah kena kuat. Doakan dia. Nanti dia tunggu Islah kat sana. Untungnya kita ada anak syurga."

Pujuk Puan Mariah. Namun hati Islah masih belum mampu untuk menerima semuanya. Perit pedih. Ye mungkin Puan Mariah rasa sakit dan peritnya kehilangan anak yang dikandungkan tapi dia tak merasa betapa sakit dan peritnya bila anak yang dikandungkan itu dikatakan anak haram hasil berselingkuh dengan lelaki lain.

Dengan tak semena airmata Islah jatuh. Dia teresak-esak menangis. Terngiang-ngiang kata-kata Zaidi ditelinganya.

Pak Iman yang mendengar esakkan Islah segera melangkah masuk ke dalam rumah di ikuti Zamani dan Arwisy.

"Islah, bawa mengucap. Istifar banyak-banyak." Pujuk Pak Iman cuba untuk meredakan emosi anaknya.

Puan Mariah kelihatan bingung. Adakah kata-katanya menyinggung hati dan perasaan Islah. Dia tertanya-tanya sendiri.

"Islah, saya minta maaf kalau saya punca semua ni jadi." Kata-kata Zamani menarik perhatian mereka semua.

Islah terdiam. Segera diseka airmatanya.

"Maaf Puan. Saya nak berehat. Terima kasih kerana sudi datang ziarah saya." Islah terus melangkah masuk ke dalam biliknya tanpa sedikit pun memandang Zamani.

"Apa sebenarnya yang berlaku?" Soal Pak Iman.

"Sebenarnya kami pernah bercinta masa Islah bekerja di syarikat papa." Terang Zamani ringkas.

Buntang mata Arwisy mendengarnya. Setahu Arwisy, Zaidilah lelaki pertama yang buat Islah jatuh cinta.

"Tapi saya permainkan perasaan dia. Saya buat dia sayangkan saya hanya sebab saya dan kawan-kawan saya bertaruh siapa yang dapat curi hati Islah."

Zamani melepaskan satu keluhan berat. Tak terdaya nak menjelaskan semuanya. Namun dia harus jelaskan juga.

"Tanpa saya sedar, saya betul-betul cintakan Islah. Dan sehingga hari ini perasaan tu tak pernah hilang. Sejak terserempak dengan Islah di Teluk Kemang, saya ikut jejak dia. Mana dia tinggal. Semua pasal dia saya siasat."

Tersandar lemah Pak Iman mendengar penjelasan Zamani. Tahulah dia mengapa anaknya yang konon nak hidup berdikari akhirnya berhenti kerja dan pindah duduk bersamanya semula.

Satu persatu Zamani ceritakan sehinggalah hari dia bertemu Islah di mahkamah.

"Saya rasa bersalah sangat sebab Zaidi fikir Islah mengandungkan anak saya."

Pak Iman tak mampu berkata apa-apa. Tak diduga disebalik riak tenang anaknya itu terselit pelbagai duka.

Aku yang Kau Lukai (Complete) - [Editing]Where stories live. Discover now