BAB 15

5.8K 105 6
                                    

Beberapa tahun yang lalu…

“Abang Rey, jomlah kita balik”

“Kenapa nak balik pulak? Abang dah drive dua jam lebih nak sampai ke sini tau! Abang tak kira, selagi tak terbukti apa yang Farouk beritahu, kita tak akan balik”

Reyhan kembali mengatur langkah. Sudahlah kena menapak agak jauh untuk ke rumah banglo di dalam kawasan ladang teh itu.

“Aira takut…”

“Takut apa? Takut dengan Andi? Abang kan ada…”

“Takut kalau kita salah terjah!”

“ Ni, kunci rumah yang Farouk bagi. Jaga Bangladesh kat pondok depan sana pun dah bagi kita masuk. Takkanlah Farouk tu nak hantar kita salah tempat”

Reyhan menarik tangan Aira. Mereka terus mengatur langkah menghampiri rumah banglo yang tidak berpagar. Sampai di halaman, Aira nampak sebuah kereta BMW bewarna hitam milik Andika.

“Tengok tu… Kereta dia pun ada kat sini” Bisik Reyhan.

Kemudian mereka tiba di pintu rumah. Kali ini ada sepasang kasut lelaki dan perempuan di rak tepi pintu.

Muka Aira berubah sebaik saja melihat kasut tinggi itu. Jadi betulah kata Farouk. Andika ke Cameron Highland bukan dengannya tetapi dengan orang lain.

Patutlah sejak semalam dia telefon Andika tidak berjawab. Rupanya, sedang berdua-duaan dengan perempuan lain di kawasan tanah tinggi itu.

Suhu yang sejuk dan pagi yang masih awal sebegitu, entah apalah yang dibuat oleh suaminya di dalam rumah itu bersama perempuan lain! Ya Allah… Aku tak sanggup nak terima semua ni.

“Kita masuk..” Ajak Reyhan.

Hatinya juga sudah mula panas. Dia sudah nekad datang ke situ sebaik saja mendengar cerita daripada Aira bahawa Andika curang dengannya.

Andai salah apa yang diberitahu Farouk, dia sendiri yang akan pastikan lelaki itu tak mampu gunakan mulutnya untuk memfitnah sesiapa lagi!

Tanpa berlengah Reyhan membuka pintu yang berkunci dengan kunci yang diberikan Farouk kepadanya. Perlahan-lahan dia membuka pintu utama rumah itu.

“Kita kena masuk senyap-senyap…”

Aira angguk. Reyhan masuk terlebih dahulu diikuti Aira. Kemudian pintu itu ditutup semula. Rumah itu agak besar dengan ruang tamu yang luas. Ada beberapa perabot yang bertutup dengan kain putih.

Beberapa hari yang lalu, Andika ada beritahu dia mahu ke Cameron Highland dengan Farouk untuk melihat ladang teh yang baru dibelinya dengan Farouk sebagai orang tengah.

Kata Andika, ladang itu ada rumah dan kemungkinan besar dia akan bermalam di situ. Aira tidak begitu ambil kesah apa yang Andika lakukan semenjak lelaki itu menipu dan memindah hak milik tanahnya.

Sejak mereka bertengkar soal tanah itu, dia juga sudah tidak tidur sebilik dengan Andika. Dia banyak menghabiskan masanya bersama Sofia dan lebih memilih untuk tidur bersama bayinya berbanding tidur sekatil dengan suami yang penipu.

Mungkin kerana tidak dilayan oleh isteri dengan baik, Andika memilih mencari hiburan dengan perempuan lain.

Aira pejam mata. Dia takut saat itu. Redah masuk rumah itu tanpa pengetahuan Andika satu hal, nak tengok apa yang suaminya buat di rumah itu lebih menakutkan.

Ruang tamu sunyi sepi. Akan tetapi sebaik saja mereka mendekati bahagian dapur, terdengar ada suara nyanyian kecil. Suara perempuan!

Aira rasa cuak. Dia lebih rela tersalah rumah daripada terpaksa terima hakikat suaminya ada perempuan simpanan.

Seindah Tujuh Warna PelangiWhere stories live. Discover now