Bab 36

36 1 5
                                              

Izhanie menapak bersama Fakhrul dan Syida menuju ke kawasan tanah perkuburan yang terletak di hujung kampung. Dari jauh, Fakhrul menunjukkan tempat ibunya disemadikan. Dilihatnya kubur arwah ibunya sudah dipenuhi lalang. Sayu hatinya melihat keadaan kubur ibunya yang tidak terjaga. Sedangkan kubur arwah ayahnya tampak bersih dari lalang.

Izhanie mencabut rumput liar yang tumbuh di kawasan sekitar kubur satu persatu. Dia kemudian menyedekahkan Al-Fatihah pada orang tuanya. Matanya terpejam. Kenangan bersama arwah menjelma dalam ingatan. Dia tidak pernah cakap lemah-lembut dengan ibu mahu pun ayahnya sejak mereka kembali bersatu. Namun orang tuanya tak pernah meninggikan suara terhadapnya. Mereka sentiasa sabar dan sentiasa melayannya dengan baik.

"Abah hadiahkan ni pada Hanie." Puan Aisyah menghulurkan bungkusan kepada Izhanie.

Izhanie menjuih. "Hanie tak nak terima apa-apa dari dia, mama. Hanie tak suka!"

"Ambillah. Lihat dulu isi di dalamnya. Lepas tu Hanie boleh buat pilihan sendiri, sama ada nak simpankan hadiah tu atau tak."

Izhanie mendengus. Bungkusan tersebut dicapainya. Kertas bunga yang membaluti segera dikoyak. Berderau darahnya bila melihat isi di dalamnya. Senaskhah al-Quran yang lengkap bersama tafsirnya. Mahu tak mahu, dia terpaksa menyimpan hadiah tersebut.

Air mata mengalir deras di pipinya. Izhanie segera bergegas keluar dari kawasan perkuburan. Lagi lama dia di situ, hatinya bertambah sebak. Fakhrul dan Syida terpinga-pinga melihat keadaannya.

"Fakrul dengan Syida balik dulu ye."

"Kak Hanie nak ke mana?" soal Syida kegusaran.

"Ambil angin kejap. Syida dengan Fakhrul balik dulu ye."

Fakhrul dan Syida akur dengan arahannya. Kakinya melangkah tanpa arah sehingga membawanya ke kawasan tanah tinggi. Pemandangan dari situ amat menarik. Kampungnya dapat dilihat dengan jelas dari tempat tersebut. Dulu, dia dan Atikah selalu ke situ untuk melihat matahari terbenam. Indah sekali! Dan selalu juga dia dan Atikah bertemu Arman dan Hafid secara sembunyi-sembunyi di situ.

Izhanie pejamkan mata. Desiran angin sunguh mengasyikkan. Kedengaran pokok-pokok buluh yang sedang bergesel sesama sendiri dek tiupan angin petang. Burung-burung berdecit pulang ke sarang. Memori lalu menerpa dalam ingatan.

"Kau ada impian?" tanya Atikah suatu senja.

"Tentulah!" Izhanie ke situ untuk menenangkan perasaan setelah Hafid pergi tanpa meninggalkan pesan. Dia harus kuatkan semangat untuk menghadapi kenyataan yang Hafid sudah meninggalkannya.

"Apa impian kau tu?"

"Rahsia." Izhanie tersenyum manis membuatkan hati Atikah terlonjak-lonjak untuk mengetahui apakah impian sahabatnya itu.

"Kau nak tak jadikan impian kau tu satu kenyataan? Aku boleh ajarkan kau."

"Nak."

"Pejamkan mata."

"Kenapa?"

"Pejamlah dulu. Nanti aku beritahu langkah seterusnya."

Izhanie menurut kata Atikah. Mata dipejamkan. Dia yakin Atikah sekadar mahu mengusiknya. Tak mungkin apa yang dihajatinya iaitu mahu Hafid berada di depan matanya akan menjadi kenyataan. Hafid kini sudah menghilang entah ke mana.

"Sebut impian kau tu dalam hati satu demi satu."

"Impian aku saat ini hanya satu. Tak ingin kesepian, tak ingin bersendirian. Aku mahu Hafid...."

"Hanie..."

Izhanie tersentak mendengar suara itu. Mimpikah aku? Izhanie segera membuka mata lalu menoleh ke kanan. Darahnya tersirap bila melihat sesusuk tubuh berdiri di sebelahnya dengan senyuman manis terukir di bibir.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now