Bab 35

16 1 0
                                                  

Jam 3.15 pagi bas yang dinaikinya tiba di stesen bas di pekan. Tidak ramai yang turun dari bas. Hanya tiga orang sahaja termasuk dirinya. Bas terus berlalu, ke destinasi seterusnya. Izhanie dengan sehelai sepinggang terus ke tempat duduk. Dua orang penumpang yang sama destinasinya telah menaiki teksi. Izhanie menyandar di kerusi.

Waktu sebegitu hanya ada teksi untuk ke kampung Mak Senah. Tambang teksi tentunya akan dicaj mahal dari biasa. Dia mengambil keputusan untuk tunggu di situ sehingga bas pertama yang melalui kampung Mak Senah tiba. Lambat pun lambatlah. Dia bukannya perlu tergesa-gesa untuk sampai ke kampung. Taman Jaya tempat tinggalnya dulu dekat sahaja. Berjalan kaki lima belas minit sampailah. Tentu mengamuk kakak sulungnya itu melihat kedatangannya. Izhanie tak akan ke situ. Dia akan terus ke rumah Mak Senah.

Izhanie menguap beberapa kali. Dia mengantuk. Di dalam bas dia tidak dapat melelapkan mata sesaat pun. Pelbagai perkara yang bermain-main di fikirannya. Izhanie memandang sekeliling. Semua kedai masih tutup. Tak dapatlah dia hendak membeli air. Pintu tandas awam juga kelihatan terkunci. Izhanie mengeluh panjang.

"Nak ke mana?" seorang lelaki India yang sudah berusia mengejutkannya. Mujurlah dia tidak menjerit.

"Kampung."

"Kampung apa?"

Izhanie sudah dapat meneka siapa lelaki India tersebut. Tentu pemandu teksi.

"Abang saya datang ambil nanti." Izhanie berbohong.

"Dah setengah jam saya tengok awak kat sini. Bahaya duduk sorang-sorang kat sini."

"Bila-bila masa abang saya sampailah. Saya pun tersilap bagi maklumat kat dia. Saya ingatkan bas sampai sekitar jam empat." Izhanie berharap lelaki itu menerima penjelasan darinya. Kalau dia ada wang yang cukup pun, dia tetap tidak akan menaiki teksi. Membazir sahaja. Kalau naik bas hanya dua ringgit sahaja, tapi kalau naik teksi awal-awal pagi tentu akan dicaj berkali-kali ganda. Wang di tangannya tinggal hanya beberapa ringgit sahaja. Habis untuk tiket. Bila hari semakin cerah dia akan melangkah ke mesin ATM. Nak pergi sekarang tentu keadaan sedikit berbahaya. Dia tidak mahu mengambil risiko.

Lelaki India itu beredar menuju ke teksinya. Sebentar kemudian terdengar ngauman enjin teksi tersebut memecah keheningan waktu pagi. Izhanie melihat jam di tangan. Baru pukul 3.45 pagi. Dia terpaksa menunggu empat jam lagi di situ. Izhanie mengeluh panjang.

Izhanie telah membuat keputusan mendadak, balik ke kampung setelah berbulan-bulan lamanya dia tak menjejakkan kaki ke daerah itu. Hatinya dicengkam perasaan sayu tiba-tiba. Dia teramat rindukan rumah lamanya yang sekarang di duduki Rafiza dan suaminya. Dia juga rindukan keluarga Mak Senah, sekolah lamanya, kedai makan Mak Munah dan macam-macam lagi. Izhanie menahan air mata dari tertumpah. Memori lalu tak mungkin luput dari ingatannya.

Jam 8.05 pagi, Izhanie sudah berada di dalam bas dengan selesa. Awal pagi, tak ramai sangat penumpang. Dia segera memandang ke sebelah kiri sebaik sahaja bas melintasi kawasan Kampung Mawar. Dapat dilihatnya rumah besar milik arwah abahnya yang kini nampak suram. Beberapa tahun lalu, rumah tersebut cukup ceria dengan pelbagai jenis bunga-bungaan menghiasi halaman. Setiap kali menuju ke rumah Mak Senah beberapa tahun lalu, dia akan menoleh ke rumah tersebut, bukan untuk melihat keindahan hiasan halaman tetapi hendak melihat Hafid, kalau-kalau Hafid ada di situ. Dan biasanya, Hafid tidak pernah menghampakannya.

Argh... Hafid! Izhanie segera melenyapkan ingatannya terhadap lelaki itu.

* * * * * *

"Badan kau dah semakin susut, Hanie." Ujar Mak Senah menyambut ketibaan Izhanie penuh gembira. Terkejut Mak Senah melihat Izhanie melangkah turun dari bas. Dia ketika itu sedang menyapu daun-daun kering dari pokok rambutan yang gugur di halaman. Izhanie tidak memaklumkan terlebih dahulu akan kedatangannya.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now