BAB 5

6K 72 1
                                    

Sudah beberapa kali Andika cuba memakai samping tapi masih tidak menjadi.

Kalau dulu ada isteri yang tolong pakaikan tapi sekarang nak pakai sendiri pun tak pandai. Dia sedar sekarang betapa bekas isterinya serba tahu apa saja keperluannya. Baik makan minum hinggalah kepada pakaian semua diambil tahu.

Hanya dia saja yang tak pernah bersyukur dan tak sedar nilai seorang isteri seperti Aira.

"Argh! Susah sangat tak payah pakai lagi senang!" marah Andika.

Ditanggalkan semula kain samping itu lalu dicampak ke atas katil. Sejak tahu Aira balik, apa yang dia buat serba tak kena. Dia kerap mengelak setiap kali perlu berkumpul dengan sanak saudara. Apatah lagi nak bertembung dengan Aira, dia rasa segan dan yang pasti dia akan jadi tak tentu arah.

"Apa yang kamu renguskan tu Andi..." Tegur Kamariah.

Sebaik dia masuk ke bilik tidur anaknya itu dia nampak Andika sedang marah-marah.

"Susah sangat nak pakai samping ni ibu... Tak payah pakai lagi senang" gerutu Andika.

Dia sudah lengkap memakai baju melayu bewarna ungu. Andika mencekak pinggang sambil menghadap cermin.

Kamariah tenang saja melayan kerenah anak sulungnya itu. Dia mengambil kain samping di atas katil.

"Mari ibu tolong pakaikan..."

lembut suara seorang ibu memujuk anaknya. Andika tanpa bicara menyarung semula samping. Dengan bantuan Kamariah, samping itu dipakai dengan kemas.

"Ibu teringat masa kamu kahwin dulu. Itu kali terakhir ibu pakaikan kamu samping. Kemudian, Aira datang jumpa ibu minta ajarkan cara pakai samping yang kamu suka.Segala makan pakai kamu dia yang jaga.

Bila kamu bercerai, ibu antara orang yang paling sedih apatah lagi Aira sampai pergi jauh tinggalkan kita.."

"Ibu nak salahkan Andi lagi sebab menantu kesayangan ibu tu pergi jauh"

"Dia bukan menantu ibu lagi dah"

Andika rasa terpukul. Dia tahu ibunya marah tapi ibunya tak pernah tunjukkan kemarahannya. Dia tahu dia salah tapi untuk dia minta maaf kepada ibunya dia rasa malu.

"Ibu tak tahu nak kata apa Andi. Bila Aira pergi ibu sedih. Sekarang dia dah balik tapi ibu nak peluk dia pun ibu segan. Mungkin salah ibu tak pandai didik anak jadi orang yang setia..."

"Andi yang salah. Ibu tak perlu nak rasa malu dengan Aira atau dengan pak ngah sekeluarga."

Andika tahu, kalau tak disebabkan Reyhan nak bernikah ibunya tentu tak ikut abah pulang ke kampung itu.

Sejak dia bercerai, ibu banyak mengelak bertemu saudara mara sebelah abah. Ibu selalu sibukkan diri dengan organisasinya mencari dana untuk membantu orang-orang yang memerlukan.

" Jaga tingkah laku kamu supaya tak menyakitkan hati Aira lagi"

"Nak sakit apa ibu... Kita orang bukan suami isteri dah pun"

"Ibu ni yang lahirkan kamu Andi. Ibu tahu setiap gerak geri kamu. Sejak semalam kamu larang anak kamu bermain di luar. Suruh Pia tidur awal dan kamu beri alasan macam-macam tiap kali atuk dan neneknya nak ambil. Kamu tak nak anak kamu jumpa mama dia kan?"

"Ibu cakap apa ni... Mana ada Andi buat macam tu. Dah memang Pia tak nak main di luar. Lagipun, ramai orang kat luar sana. Pak ngah dengan mak ngah kan sibuk. Kalau orang tak ada jaga Pia nanti kena culik, macam mana?"

"Siapa yang nak culik? Mama dia?" sindir Kamariah. Andika diam tak menjawab.

"Kalau Aira nak jumpa Pia... Biarkan. Itu anak dia juga"

Seindah Tujuh Warna PelangiWhere stories live. Discover now