Part 28

123 1 0
                                                  


Debaran di hati tak dapat dikawal lagi. Izhanie masih bimbang jika semua ini adalah perangkap. Walaupun dalam perjalanan, uncle telah menceritakan serba sedikit tentang isteri dan anak-anaknya, dia masih dihantui perasaan bimbang. Entah-entah uncle hanya mereka cerita supaya dia tidak syak sesuatu. Dan entah-entah uncle mahu menjadikannya seorang ...

Kereta membelok masuk melepasi pintu pagar besar. Sebuah banglo indah tersergam di hadapan matanya. Cantik! Sangat cantik! Terbukti uncle bukan calang-calang orang. Seseorang yang betul-betul berjaya dalam perniagaan sahaja yang boleh membina kediaman seperti ini, bisik hati kecil Izhanie.

Izhanie melangkah turun dari kereta dalam debar. Kebimbangan di hatinya terus lenyap kerana terpesona dengan keindahan landskap halaman banglo tersebut.

Seorang wanita berkebaya menghampiri. Wanita tersebut diekori dua orang kanak-kanak comel. Seorang berambut separas bahu dan seorang lagi berambut pendek macam lelaki. Izhanie kian gemuruh. Dia bimbang kehadirannya tak diterima. Tiba-tiba penyesalan tumbuh di hatinya kerana menerima pelawaan uncle untuk menumpang di rumah tersebut. Sepatutnya sekarang dia sudah berada di dalam bas yang akan membawanya ke Pudu Raya.

"Izhanie, ini isteri uncle, aunty Maria. Dan ini anak bongsu uncle, Era dan Eja."

Izhanie segera menghulurkan tangan. Senyuman sengaja dilebarkan. Dia bimbang jika kehadirannya tidak disenangi Datin Maria dan anak-anaknya. Banyak novel yang dibaca dan drama yang ditonton berkisarkan kisah orang kaya yang sombong. Taraf masih diagung-agungkan.

"Apa khabar?" aju Datin Maria. Dia memandang Izhanie penuh simpati. Suaminya telah menceritakan latar belakang gadis itu yang keseorangan di semenanjung tanpa saudara-mara.

"Baik." Izhanie angguk, masih malu-malu. Dia memang lambat menyesuaikan diri.

"Nak panggil Izhanie ke? Atau... ada nama singkatan lain?" bibir Datin Maria tak lekang mengukir senyum, mengurangkan sedikit debaran di hati Izhanie.

"Hanie dahlah." Izhanie sudah mula merasa bunga-bunga kemesraan yang bakal terjalin. Datin Maria dapat menerima kehadirannya.

"Mari ke dalam. Hidangan dah terhidang untuk menyambut kedatangan Hanie." Lembut sekali suara Datin Maria. Memang padan dengan uncle. Bertuahnya Era dan Eja kerana mempunyai orang tua yang baik hati. Dan yang penting, memiliki keluarga bahagia. Hati Izhanie tiba-tiba terasa sebak... Arwah orang tuanya juga melayannya begitu. Tetapi dia sahaja yang sengaja tidak mahu menerima layanan mesra mereka...

Izhanie terasa kekok kerana diberi layanan mesra oleh keluarga uncle. Pada hal mereka langsung tidak mengenali latar belakangnya. Tetapi layanan yang mereka berikan kepadanya, seolah-olah dia adalah sebahagian dari keluarga mereka. Izhanie rasa terharu. Terharu yang teramat. Indahnya kalau aku memiliki keluarga sebegini. Sayangnya, segalanya sudah terlambat. Abah dan mama tak akan kembali lagi untuk merealisasikan impianku.

Pelbagai masakan untuk hidangan makan tengah hari terhidang di atas meja. Dia rabun mata dibuatnya.

"Ini Mak Mah, isteri Pak Ali." Datin Maria memperkenalkannya pada wanita yang sudah agak berumur itu. Mak Mah yang sedang menuangkan minuman ke dalam gelas menghadiahkan senyuman. Izhanie segera menghulurkan tangan pada Mak Mah. Mak Mah meletakkan jag, menggosok-gosok tangannya pada kain batik yang dipakai lalu menyambut tangan Izhanie.

"Uncle cakap Hanie masih belajar. Kat mana tu?" Datin Maria mengajukan pertanyaan. Apabila suaminya menghubunginya dan memberitahu tentang Izhanie yang akan dijemput untuk tinggal bersama mereka, dia dengan senang hati menerimanya. Dia memang inginkan anak yang ramai. Namun takdir menentukan dia tidak mampu melahirkan anak.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now